Halaman

Jumaat, 14 Mac 2014

Pengertian Engkau Yang Kami Sembah Dan Meminta Pertolongan



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Ayat ini tidak asing lagi bagi ummat Islam. Ia merupakan ayat ke 5 dalam surah Al-Fatihah yang dibaca berulang-ulang kali dalam solat. Ayat yang dimaksudkan ialah

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

       Ulama' Bahasa Arab menyatakan bahawa ayat ini didahului dengan maf'ul bih (objek) iaitu ayat (Kepada Engkau, Allah) kemudian barulah fi'il (kata kerja) iaitu perkataan (kami sembah) dan ayat (kami meminta pertolongan). Ayat ini mengandungi erti yang jelas, kuat dan tepat maksudnya iaitu ummat Islam beribadah dan meminta pertolongan khusus kepada Allah subhanahu wa ta'ala semata-mata, tidak kepada selainNya. 

           Ayat ini dibaca berulang-ulang kali bagi seorang Muslim sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali sehari iaitu sebanyak jumlah rakaat dalam solat fardhunya. Bahkan mungkin lebih banyak lagi jika seseorang Muslim itu mengerjakan solat sunat dan berdoa dengannya. Ayat ini merupakan intisari surah Al-Fatihah bahkan merupakan intisari atau tema utama daripada Al-Quran keseluruhannya. 

            Perkataan (Kami menyembah atau beribadah) yang dimaksudkan di dalam ayat ini mencakupi pengertian ibadah yang luas sebagaimana luasnya Islam itu sendiri. Ibadah yang dimaksudkan termasuklah solat, zakat, puasa, membaca Al-Quran, berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran, bahkan berdoa juga dikira sebagai ibadah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Doa itu ialah Ibadah. [Riwayat Al-Tirmizi, Beliau mengatakan hadith ini darjatnya Hasan Sahih]

Semua ummat Islam maklum bahawa asasnya semua ibadah yang dilakukan hanyalah untuk Allah subhanahu wa ta'ala. Ikhlas kepadaNya dan hanyalah untukNya. Bukan untuk orang lain atau kerana sesiapa pun. Begitulah juga konsepnya dalam berdoa atau meminta pertolongan. Meminta pertolongan, doa, harapan dan sebagainya semestinya kepada pemilik segala kekuasaan iaitu Allah subhanahu wa ta'ala, bukan kepada bomoh, wali, tokoh atau manusia tertentu hanya kerana ketinggian dan kemuliaan darjatnya. Allah ta'ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُو رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun". [Al-Jinn 72:20]
Jika kita beribadah hanya kepada Allah subhanahu wa ta'ala kenapa berdoa dan meminta tidak kepadanya? Kenapa berdoa kepada para bomoh, wali atau tokoh tertentu? Adakah kerana kemuliaan dan kedudukan mereka yang tinggi? Jika begitu apakah Allah ta'ala lebih rendah kedudukannya berbanding mereka? Adakah Allah ta'ala tidak mendengar doa orang lain selain mereka? 




Jawabnya tentu sekali tidak. Allah mendengar semua permintaan hamba-hambanya. Bahkan syaitan yang terkutuk lagi dilaknat itu juga didengar dan dimakbulkan permintaannya untuk ditangguhkan kematian untuk menyesatkan anak adam. Syaitan yang paling keji dan jahat dimakbulkan doa oleh Allah, maka sudah tentu doa orang-orang Islam didengari dan dimakbulkanNya. 


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ

Doa yang dibaca oleh Nabi Zinn Nun (Nabi Yunus) ketika berada di dalam perut ikan ialah: Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau (Ya Allah), Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Tidaklah sesekali seorang Muslim membaca doa ini untuk meminta sesuatu melainkan Allah akan mengabulkannya (menerimanya). [Riwayat Al-Tirmizi, Al-Hakim, dan An-Nasai dalam Sunan Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Asqalani menilai hadith ini Hasan (baik) dalam Al-Futuhat Al-Rabbaniyyah 4/11 dan Takhrij Misykat Al-Masobih 2/431]


Di dalam hadith lain, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hakikat tauhid dan doa sebagaimana yang diajarkannya kepada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma


يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

"Wahai anak, sesungguhnya aku akan mengajarkanmu beberapa kalimat; Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemuiNya dihadapanmu, bila kau meminta, mintalah kepada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya ummat manusia bersatu untuk memberikanmu manfaat (kebaikan), mereka tidak akan dapat memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan dapat membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering. (maksudnya takdir telah ditetapkan) " [Riwayat Al-Tirmizi no. 2516, Berkata Abu Isa (Al-Tirmizi): Hadits ini hasan shahih]


 والله أعلم بالـصـواب 


Ahad, 2 Mac 2014

Talbis Iblis: Muqaddimah dan Ringkasan Biografi Ibn Jauzi


Muqaddimah Talbis Iblis oleh Imam Ibn Jauzi rahimahullah



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


       Puji-pujian bagi Allah yang telah menyerahkan timbangan keadilan kepada tangan orang-orang yang berfikir, yang mengutuskan para Rasul sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, pahala dan seksa, yang telah menurunkan kitab-kitab kepada mereka, menjelaskan yang salah dan yang benar, menjadikan syariat yang sempurna tiada kekurangan dan tiada cela. 

        Saya memujiNya dengan pujian orang yang mengetahui bahawa Dialah pencipta sebab, saya bersaksi terhadap keesaanNya dengan kesaksian orang yang tulus dalam baitnya, tanpa disertai keraguan dan saya bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan RasulNya yang diutuskan untuk merombak kekurufan dengan iman sehingga kegelapan menjadi sirna kerana cahaya petunjuk dan tabir pun tersingkap. 

      Beliau (Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam) menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka, menjelaskan kandungan Al-Kitab yang sukar lalu meninggalkan mereka berada pada hujjah yang putih tanpa ada kepalsuan dan tanpa ada penipuan. Selawat Allah semoga dilimpahkan kepada beliau, seluruh keluarga, para sahabat dan tabi’in, melimpahi mereka dengan kebaikan hingga hari kiamat serta kesejahteraan keatas diri mereka. 

Amma ba’du 

      Sesungguhnya nikmat terbesar yang dilimpahkan kepada manusia ialah akal fikiran. Kerana akal fikiranlah yang menjadi alat untuk mengetahui Allah dan merupakan sebab yang membawa kepada kebenaran para Rasul. Hanya sahaja kerana akal ini tidak boleh diangkat ke suatu darjat yang diinginkan dari hamba, maka para Rasul pun diutus dan kitab-kitab diturunkan. Syariat boleh diibaratkan seperti matahari dan akal boleh diibaratkan seperti mata. Jika mata dibukan dan normal tentu dia boleh melihat matahari. Ketika akal menerima kepastian perkataan para Nabi yang dikuatkan dengan dalil-dalil mikjizat, maka akal itu pun tunduk kepada mereka dan bersandar kepada mereka (dalil-dalil mukjizat daripada kitab yang diturunkan Allah) dalam perkara-perkara yang tidak dapat diterima oleh akal. 

         Ketika Allah melimpahkan nikmat berupa akal kepada alam manusia ini, maka dia memulainya dengan nubuwwah bapa mereka, Adam ‘alaihissalam. Beliau mengajarkan kepada mereka apa yang diwahyukan Allah sehingga mereka berada pada kebenaran. Hanya dengan nafsunya sendiri Qabil (anak Adam ‘alaihissalam) membunuh saudara kandungnya. Setelah itu tersebar pelbagai macam nafsu dalam kalangan manusia dan lama-kelamaan mengheret mereka ke dalam keyakinan dan perbuatan sehingga mereka menyelisihi para Rasul dan akal fikiran, hanya kerana memenuhi tuntutan nafsu, cenderung kepada tradisi dan meniru pemimpin mereka. Iblis pun bertepuk tangan berbangga dengan dugaannya sejala mula, kerana mereka mengikutinya (jejak langkah iblis) kecuali hanya sedikit di antara mereka yang beriman. 

        Ketahuilah bahawa para Nabi membawa keterangan yang mencukupi, menghadapi pelbagai penyakit dengan ubat penawar yang mujarab dan meniti jalan yang tidak saling bertentangan, lalu syaitan datang mencampuri ubat penawar dengan racun, membelokkan jalan yang lurus kepada jalan yang menyesatka. Syaitan terus-menerus mempermainkan akal sehingga memecahkan jahiliyyah kepada beberapa mazhab dan bid’ah (perkara-perkara baru dalam urusan agama-pent.) yang buruk. Akibatnya mereka menyembah berhala dalam Baitul Haram, menyucikan kepulan asap dan anak lembu, membunuh anak perempuan secara hidup-hidup, tidak menganggap wanita sebagai ahli waris dan pelbagai macam kesesatan lain yang telah diatur oleh iblis. Maka Allah mengutuskan Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam untuk menyingkirkan pelbagai macam keburukan dan mensyariatkan perkara yang baik-baik. Para sahabat berjalan bersama beliau dan setelah di bawah pancaran sinar yang selamat dari tipu dayan dan tingkah laku syaitan. 



        Ketika perjalanan siang hari dari kehidupan para sahabat mulai surut dan suram, bermulalah baying-bayang kegelapan lalu bisikan-bisikan nafsu mula menciptakan pelbagai bid’ah (perkara-perkara baru dalam urusan agama-pent.). Jalan yang tadinya lapang mula sempit lalu mereka memisah-misahkan agama dan mereka pun menjadi tidak bersatu. Disinilah iblis bangkit menciptakan perkara-perkara yang serba gemerlapan dan mencabik-cabik serta memecah-belahkan. Sebelah mata pun dia tidak pernah berhenti mengintip. 

      Maka dari itu saya merasakan perlu untuk memperingatkan tingkah laku syaitan dan menunjukkan perangkap-perangkapnya kerana dengan mengenali kejahatan boleh membangkitkan diri untuk bersikap waspada agar tidak terheret ke dalam kejahatan itu. 

Di dalam As-Sahihain (dua kitab hadith sahih iaitu sahih Al-Bukhari dan Muslim-pent.) dari hadith Huzaifah radhiallahu ‘anhu dia berkata: 

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - عَنِ الْخَيْرِ ، وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِى
Orang ramai bertanya tentang kebaikan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan saya bertanya tentang kejahatan kerana saya takut akan mengerjakannya. [Riwayat Al-Bukhari no. 3606; Muslim no. 4890] 


Daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu dia berkata: 

وَاللَّهِمَا أَظُنُّ عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ الْيَوْمَ أَحَدًا أَحَبَّ إِلَى الشَّيْطَانِ هَلاكًا مِنِّي ، فَقِيلَ : وَكَيْفَ ؟ فَقَالَ : وَاللَّهِ إِنَّهُ لَيُحْدِثُ الْبِدْعَةَ فِي مَشْرِقٍ أَوْ مَغْرِبٍ ، فَيَحْمِلُهَا الرَّجُلُ إِلَيَّ ، فَإِذَا انْتَهَتْ إِلَيَّ قَمَعْتُهَا بِالسُّنَّةِ ، فَتُرَدُّ عَلَيْهِ كَمَا أَخْرَجَهَا
“Demi Allah saya tidak rasa di bumi pada ketika ini ada yang lebih disukai oleh syaitan binasa melainkan diri saya” 

Seseorang bertanya maksudnya itu? 

Ibn Abbas menjawab: “Semi Allah kerana dia (syaitan) menciptakan bid’ah di Timur dan Barat lalu seseorang membawakannya kepadaku. Ketika dia sudah tiba dihadapanku maka aku akan menumpaskannya dengan As-Sunnah, lalu dia pun sedar kembali (daripada bid’ah yang dilakukannya-pent.).” [Syarh Usul I’tiqad Ahl Sunnah wal Jama’ah lil Imam Al-Lalikaie 1/30, hadith no.9 ] 

         Saya sengaja menulis buku ini sebagai peringatan daripada cubaan syaitan agar takut kepada ujiannya, menyingkap tabirnya, menjelaskan perangkapnya yang terselindung. Sesungguhnya Allah akan menghulurkan bantuan dengan kemurahanNya dan setiap jiwa yang benar tentu akan meraih tujuannya. 

         Saya membahagikan buku ini menjadi tiga belas bab yang kesemuanya mengungkap tentang talbis iblis (tipu daya iblis). Semoga Allah melimpahkan taufik kepada saya tentang apa yang ingin saya raih ini dan mengilhamkan kebenaran tentang apa yang saya kehendaki. 


Bab 1: Perintah mengikuti Ahl Sunnah wal Jamaah
Bab 2: Celaan terhada bid’ah dan ahli bid’ah
Bab 3: Waspada terhada tipu daya Iblis
Bab 4: Pengertian muslihat dan tipu daya
Bab 5: Tipu daya Iblis dalam masalah I’tiqad (keyakinan) dan agama
Bab 6: Tipu daya Iblis terhada ulama’ dengan segala disiplin ilmunya
Bab 7: Tipu daya Iblis terhadap pemerintah dan pegawai kerajaan
Bab 8: Tipu daya Iblis terhadap ‘Ubbad (ahli ibadah), dengan segala jenis ibadahnya
Bab 9: Tipu daya Iblis terhadap Zuhhad (Ahli Zuhud)
Bab 10: Tipu daya Iblis terhadap Sufi
Bab 11: Tipu daya Iblis terhadap orang yang mengaku mendapat karamah dan ilham
Bab 12: Tipu daya Iblis terhadap orang-orang awam
Bab 13: Tipu daya Iblis terhadap sesiapa yang berangan-angan tinggi 


Biografi Pengarang Kitab Talbis Iblis 



       Beliau ialah Abu Al-Faraj, Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad Al-Jauzi Al-Qurasy Al-Baghdadi. Seorang alim pada zamannya dalam ilmu hadith dan tarikh (sejarah). Dilahirkan di Bagdad pada tahun 508 Hijrah/ 1114 Masihi. Pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau sangat berbeza dengan mereka yang seusia dengannya dizamannya. Beliau banyak mengarang kitab-kitab yang berkualiti dalam ukuran berjilid-jilid atau dalam bentuk yang nipis kira-kira sebanyak 300 buah karangannya. 

        Beliau juga memiliki kelebihn dalam bidang tausiah, mau’izah (nasihat/peringatan) atau berceramah yang belum pernah didahului oleh sesiapa pun sebelumnya. Sangat fasih dalam retorik bahasa dan kata-katanya sangat mendalam maknanya dengan jelas. Beliau mahir membuat pendekatan terhadap masalah-masalah yang rumit dengan perumpam yang mudah difahami serta mampu mengumpulkan kalimah-kalimah yang banyak maknanya dengan perkataan yang mudah. 

     Keluarganya ialah pedagang. Ketika meningkat dewasa dia dibawa oleh ibu saudaranya ke Masjid Muhammad bin Nasir Al-Hafiz kemudian dia mengikutinya, membaca dan memperdengarkan hadith daripadanya. Dia belajar ilmu bahasa Arab dari Abi Al-Mansur Al-Jawaliqi. Dia selalu menjaga mau’izah (peringatan/nasihat) dan mampu memberikan mau’izah ketika berusia 20 tahun atau kurang. Dia juga sering menghadiri majlis mau’izah para khalifah, menteri, raja-raja dan ulama’ serta orang awam. Dikhabarkan majlis mau’izahnya mencecah hampir 10,000 orang yang menghadirinya atau mungkin lebih dari itu. 

Pujian Para Ulama’ terhadap beliau:


              Abu Abdillah bin Ad-Dabitsi dalam kitab tarikhnya mengatakan, “Syaikh kami Jamaluddin (Ibnu Al-Jauzi) adalah pemilik banyak karya dalam bidang tafsir, fiqh, hadith, sejarah dan lain-lain. Beliau adalah orang yang paling menguasai ilmu-ilmu hadith dan mengetahui sahih dan dhaifnya. Beliau adalah orang yang sangat baik perkataannya, sangat sempurna aturan yang dianutnya dan sangat indah lisan dan keterangannya.

        Al-Muwaffaq Abdullatif mengatakan, “Ibnu Al-Jauzi adalah rupawan, baik perangainya, indah suaranya, santun gerakannya dan menyenangkan sendau guraunya. Majlis ilmiyahnya dihadiri oleh seribu orang atau lebih, beliau tidak mensia-siakan waktu sedikitpun. Setiap harinya, beliau menulis karya ilmiyah lebih dari empat kitab kecil. Beliau mengetahui pelbagai ilmu namun yang paling menonjol adalah bidang tafsir, hadith dan sejarah. Meskipun demikian, beliau juga ahli puisi. Dalam bidang kedokteran beliau mengarang buku yang berjudul Al-Luqath sebanyak dua jilid.

         Ibnu Ma’tuq Al-Mahfuz menerangkan, “Ibnu Al-Jauzi adalah orang yang mempunyai kecakapan dalam berbagai ilmu, orang yang terpandai dalam bidang prosa dan puisi, orang yang melebihi sasterawan dan ulama’-ulama’ besar sezamannya dan orang yang memiliki karya lebih dari 340 buah yang tiap-tiap karya tersebut terdiri dari beberapa bahagian bab sampai dua puluh jilid. Aku berfikir bahawa zaman tidak akan mengizinkan ada orang yang menandinginya.

            Az-Zahabi mengatakan, “Ibnu Al-Jauzi adalah ketua para da’i, seorang penulis sya’ir dan prosa yang terkemuka. Kitab-kitab karyannya sungguh menakjubkan para pembaca dan menghanyutkan mereka dalam keindahan. Tidak pernah ada sebelumnya dan sesudahnya orang yang mempunyai kecakapan seperti kecakapanya. 

         Beliau adalah pemegang bendera nasihat agama yang mempunyai penampilan indah, suara yang merdu, perkataan yang mengena dihati dan perilaku yang baik. Ia adalah orang yang mempunyai pengetahuan luas dibidang tafsir, sejarah, ilmu hadith, fiqh, ijma’ dan khilaf ulama’; mempunyai pengetahuan dalam bidang kedokteran dan mempunyai pemahaman, kecerdasan, hafalan dan ingatan yang kuat. 

      Hari-harinya digunakan untuk mengumpulkan ilmu dan menyusun karya. Beliau orang yang selalu menjaga dirinya agar terlihat rapi dan indah dengan memakai pakaian yang baik, ungkapan kata yang sopan dan perilaku yang lemah lembut, menetapi sifat-sifat terpuji dan sangat dihormati orang awam dan ulama’. Aku tidak pernah melihat seseorang yang mempunyai karya seperti karya-karya Ibnu Al Jauzi.”

        Az-Zahabi juga mengatakan, “Ibnu Al-Jauzi adalah syaikh, Imam ulama’ besar, Al-Hafiz, Mufassir, Syaikul Islam, kebanggaan islam dan yang mendapat gelar Jamaluddin.” [Siyar A’lam an Nubala’: 21/365] 


Guru dan murid-muridnya: 


         Guru-gurunya: Az-Zahabi mengatakan, “Guru-gurunya adalah Abu Al-Qasim bin Al-Husain, Abu Abdillah Al-Husain bin Muhammad Al-Bari’, Ali bin Abdil Wahid Ad-Dainuri, Ahmad bin Ahmad Al-Mutawakkili, Ismail bin Abi Shaleh Al-Muazzin, Al-Faqih Abu Al-Hasan bin Az-Zaghuni, Hibatullah bin At-Thabari Al-Hariri, Abu Ghalib bin Al-Banna’, Abu Bakar Muhammad bin Al-Husain Al-Mazraqi, Abu Ghalib Muhammad bin Al-Hasan Al-Mawardi, Abu Al-Qasim Abdullah bin Muhammad Al-Asbihani Al-Khatib, Al-Qadhi Abu Bakar Muhammad bin Abdil Baqi Al-Ansari.”

           Juga tercatat sebagai gurunya; Ismail bin As Samarqandi, Yahya bin Al Banna’, Ali bin Al Muwahhid, Abu Manshur bin Khairun, Badar Asy Syihi, Abu Sa’ad Ahmad bin Muhammad Az Zaurani, Abu Sa’ad Ahmad bin Muhammad Al Baghdadi Al Hafidz, Abdul Wahhab bin Al Mubarak Al Anmathi Al Hafizh, Abu As Suud Ahmad bin Ali bin Al Majalli, Abu Manshur Abdurrahman bin Zuraiq Al Qazzaz, Abu Al Waqt As Sajzi, Ibnu Nashir, Ibnu Al Baththi dan guru-gurunya yang lain yang jumlahnya lebih dari 80 orang.

        Murid-muridnya: Az-Zahabi mengatakan, “Murid-muridnya adalah Muhyiddin Yusuf (anaknya yang menjadi guru besar di Dar al-Mu’tashim billah), Ali An-Nasikh (anaknya yang paling besar), Al-Waizh Syamsuddin Yusuf bin Farghali Al-Hanafi (cucunya, penulis Mir’ah Az-Zaman), Al-Hafiz Abdul Ghani, Syaikh Muwaffaquddin Ibnu Qudamah, Ibnu Dubaitsi, Ibnu An-Najar, Ibnu Khalil, Adh-Dhiya’, Al-Yaldani, An-Najib Al-Harrani, Ibnu Abiddaaim, dan murid-muridnya yang lain. Sedangkan murid-muridnya yang mendapatkan ijazah darinya adalah Syamsuddin Abdurrahman, Ibnu Al-Fari, Ahmad bin Abi Al-Khair, Al-Khadr bin Hammuyah dan Al-Quthb bin Ashrun.” [Siyar a’lam an nubala’: 21/367]


       Beliau rahimahullah wafat pada tahun 597 Hijrah/1201 Masihi. Antara karya-karyanya ialah: 

1. Talbis Iblis 

2. Saidul Kathir 

3. Al-Wafa fi Ahwal al-Mustafa 

4. Ruuhul Ma’ani 

5. Manaqib Umar ibn Abdul Aziz 

6. Manaqib Al-Baghdad 

7. Daf’u Subahti Tasybib wal Radd ‘ala al-Mujassimah 

8. Taqwim Al-Lisan 

9. Funun Afnan fi Ulumil Quran 

10. Mukhtasar Al-Sair wal Akhbar dan banyak lagi. 

Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang bertaqwa. Amin. 



 والله أعلم بالـصـواب