Halaman

Jumaat, 25 Disember 2009

Hubungan Islam Dengan Sains Dan Teknologi









PERANAN UMAT 










Sebagai umat Islam yang bijak, agama itu tidak seharusnya dilihat hanya sebagai ibadat ditikar sembahyang sahaja, tetapi ianya perlu dilihat dari perpektif yang lebih luas dan menyeluruh. Hubungan manusia bukan hanya terhad dengan Allah sahaja tetapi juga dengan manusia yang lain dan alam sekelilingnya.

Hubungan Islam Dengan Sains Dan Teknologi





Hubungan antara Islam dengan sains dan teknologi adalah ibarat isi dan kuku, tidak dapat dipisahkan kerana sama-sama mempunyai peranan dan sumbangan yang penting dalam membina tamadun manusia. Sains dan teknologi membawa kemajuan, kemudahan dan keselesaan, manakala Islam pula memimpin manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat.


Sains wujud daripada perasaan ingin tahu manusia terhadap alam sekelilingnya dan merupakan salah satu cabang utama ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk meningkatkan keimanan. Sungguhpun Islam telah memberikan garis kasar terhadap kaedah dan jawapan kepada banyak persoalan sains, namun ianya masih memerlukan pengkajian yang mendalam untuk membuktikan kebenarannya. Atas sebab inilah maka Islam sangat menuntut umatnya mencari, mengembang dan menguasai ilmu pengetahaun.


PENCAPAIAN DAN REALITI


Sejarah telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu, umat Islam adalah umat yang sangat dihormati kerana ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Nama-nama seperti Ibn Sina, Ibn Rush, Al Khawarizmi, Al Biruni adalah di antara tokoh-tokoh yang tidak asing lagi samada di dunia Timur ataupun Barat. Penghormatan yang diterima ini adalah melalui pencapaian mereka di bidang sains dan teknologi serta pegangan yang kukuh terhadap Al Quran dan Hadis.


Sungguhpun umat Islam telah menunjukkan kehebatan yang tiada tandingnya pada masa lampau, tetapi kini suasana yang wujud adalah jauh berbeza. Umat Islam sekarang tidak lagi menguasai bidang sains dan teknologi, sebaliknya ilmu tersebut telah berpindah dan dikuasai oleh masyarakat Barat dan Timur Jauh. Apa yang lebih malang lagi ialah bilamana umat Islam itu sendiri sudah hilang identiti Islamnya dan tidak lagi dihormati.


ANUGERAH AKAL


Islam yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada baginda junjungan nabi Muhammad s.a.w. adalah lengkap dan sempurna serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Sementara kejadian manusia yang serba indah ini pula dihiasi dengan anugerah akal oleh Allah kepada manusia untuk berfikir.


Oleh itu peranan akal yang telah dianugerahkan ini sangatlah besar. Ianya bukan sahaja dapat digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi juga untuk "melihat" kebenaran. Dengan sebab itulah Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari kebenaran. Di dalam Al Quran banyak ayat-ayat yang diakhiri dengan Allah bertanya kepada manusia seperti, "Tidakkah kamu menggunakan akal" dan "Tidakkah kamu memikirkan".


SAINS DAN TEKNOLOGI


Islam telah menetapkan bahawa setiap perkara itu adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Nabinya, dan tidak terkecuali juga ilmu sains dan teknologi. Oleh itu ilmu sains dan teknologi yang diterima oleh Islam adalah ilmu yang dipimpin dan disuluh oleh Nur Ilahi, kerana hanya dengan itu ilmu tersebut tidak akan bersifat menindas dan menganiaya makhluk lain.


Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri sudah terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna yang tertentu yang perlu digali, diteliti dan direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan yang terbesar dan terpenting. Jika tidak mutiara Al Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia.


Berdasarkan kepada hakikat inilah maka umat Islam perlu mengambil manfaat daripadanya dengan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah untuk menjalankan pengkajian yang bersifat empirikal dan saintifik. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman kegemilangan Islam dapat dikembalikan dan Islam sekali akan menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan tamadun dan kekuatan ummah.



KEPENTINGAN ISLAM


Ilmu sains dan teknologi tanpa Islam adalah seperti sebilah pedang di tangan seorang yang mabuk, atau cahaya api di tangan seorang pencuri yang memungkin dia mencuri barang-barang yang terbaik. Atas sebab inilah pemisahan antara Islam dengan sains dan teknologi hanya akan membawa kepada kemusnahan kerana mereka yang menguasai ilmu tanpa pimpinan agama akan dipimpin oleh nafsu haloba.


Oleh itu peranan agama adalah sangat penting dalam memastikan segala ilmu termasuk sains dan teknologi tidak disalahgunakan untuk kepentingan individu ataupun golongan tertentu. Senario dunia masakini juga seolah-olah menuntut umat Islam untuk kembali untuk menguasai ilmu sains dan teknologi sebagai saluran untuk mencapai kemajuan dan pemodenan.





Oleh itu, tanggungjawab-tanggungjawab ini perlulah disempurnakan dengan sebaik-baiknya, kerana Islam bukanlah hanya sekadar slogan untuk dilaungkan tetapi menuntut supaya dilaksanakan. Agama tanpa sokongan sains dan teknologi akan mudah pincang dan meletakkan umatnya dalam keadaan serba lemah dan kekurangan. Oleh itu umat Islam perlulah menjadikan dirinya seorang Muslim yang berilmu dan bertaqwa.


Gabungan ilmu, iman dan taqwa serta akhlak yang mulia adalah faktor yang utama untuk memungkinkan Islam kembali diterima sebagai agama yang universal dan progresif.