Halaman

Sabtu, 22 Januari 2011

Bahasa Melayu terpinggir jika guna istilah Inggeris

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu bimbang bahasa Melayu akan terjajah apabila terlalu banyak istilah Inggeris digunakan dalam bahasa kebangsaan itu. 


Katanya, bahasa Melayu juga akan ketinggalan jauh jika ia tidak dimartabatkan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai.
Berucap merasmikan wacana bahasa Melayu bertemakan ‘Realiti dan Cabaran’ di sini semalam, beliau berkata bahasa Melayu kini dituturkan oleh kira-kira 300 juta manusia dan adalah bahasa ke lima terbesar di dunia selepas bahasa China, Inggeris, Hindi, Urdu dan Sepanyol.

“Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu adalah perjuangan mempertahankan perlembagaan negara kerana sudah termaktub dalam perkara 152 bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini,” katanya.

Katanya, rakyat dan pemerintah negara maju juga memartabatkan bahasa rasmi negara masing-masing dan wajar sekali rakyat serta pemimpin negara ini turut mempunyai semangat yang serupa.

Md Isa turut menyifatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan kerana ia bahasa yang difahami seluruh rakyat, begitu juga dengan tulisannya.
Sementara itu, wacana sehari anjuran Persatuan Melayu Perlis (Pemanis) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara itu dihadiri kira-kira 400 peserta termasuk dari Kedah dan Pulau Pinang selain Perlis.


Tiga kertas kerja dibentangkan pada wacana itu iaitu Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar dan bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman.

Turut menghadiri wacana itu ialah Yang Dipertua Pemanis, Datuk Mohd Zain Hamzah; Yang Dipertua Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Yusof Latif dan wakil persatuan penulis dan bahasa dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. – BERNAMA