Halaman

Jumaat, 17 Jun 2011

Gerhana Bulan Bagaikan Warna Darah Pekat

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca WADi sekalian, semalam berlakunya gerhana bulan penuh. Anda dapat saksikan tak? Memang berlaku gerhana bulan penuh namun saya dan keluarga tidak dapat menyaksikannya akibat awan mendung dan hari hujan. Bagi yang dapat melihatnya, alhamdulillah anda dapat saksikan kebesaran Allah sendiri kan. Kali terakhir gerhana sebegini pada tahun 2000 @ 2001 rasanya. Wallahua'lam. Bagi umat Islam, kita pula dituntut untuk melakukan solat sunat gerhana apabila berlakunya gerhana sebegini.

Beginilah urutan kejadian gerhana bulan semalam diambil di Baitulmaqdis selama 100 minit

LONDON: Ahli astronomi di Eropah, Afrika, Asia dan Australia, berpeluang menyaksikan gerhana bulan paling lama dalam tempoh 11 tahun dan yang pertama tahun ini malam semalam. Ahli astronomi di Britian bagaimanapun tidak berpeluang menyaksikan peringkat awal gerhana, kerana ia berlaku sebelum bulan muncul. Matahari terbenam di Britain pada kira-kira jam 9.19 malam waktu tempatan.


Sebilangan penduduk yang cuba menyaksikan gerhana bulan di seluruh negara termasuk di Lake District dan London, kecewa apabila ia dilindungi awan. Ramai di kalangan mereka berharap dapat menyaksikan gerhana penuh, apabila bulan ‘tenggelam’ dalam bayangan Bumi ketika ia bergerak ke ufuk dari Britain dan Ireland. Pemerhati bintang di langit cerah di seluruh dunia berpeluang menyaksikan fenomena yang jarang dilihat apabila bayang-bayang bumi mula bergerak turun jam 6.24 petang dan naik semula sebelum tengah malam. 

‘Gerhana penuh’ iaitu apabila permukaan bulan ditutup sepenuhnya oleh bayang bumi, berlangsung selama kira-kira 100 minit. Kalangan saintis berkata, ia adalah tempoh paling lama sejak ia berlaku pada Julai 2000. 
Penduduk di Hemisfera selatan terutama Australia dan Asia Tenggara pula berpeluang menyaksikan pemandangan gerhana yang menarik berikutan awan debu dari gunung berapi di Chile. 

Krisis awan debu menyebabkan keadaan lalu lintas menjadi kelam kabut di Australia, dengan beratus-ratus penerbangan di seluruh wilayahnya terpaksa dibatalkan. Rakyat Amerika bagaimanapun tidak berpeluang menyaksikan gerhana berkenaan. Gerhana bulan berlaku apabila Bumi membayangi keseluruhan bulan. 

Kadangkala permukaan bulan boleh bertukar warna menjadi kemerahan, coklat tembaga atau oren, berikutan biasan cahaya matahari yang melintasi atmosfera. Fenomena yang berlaku malam semalam dikenali sebagai ‘deep lunar eclipse’

Namun, kepekatan warna bergantung kepada jumlah abu dan debu di atmosfera, manakala saintis berkata gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa memerlukan perlindungan. Di beberapa negara Asia, orang ramai mula berpusu-pusu mencari lokasi sesuai kira-kira empat jam sebelum gerhana bermula manakala beratus-ratus ahli astronomi profesional dan amtatur berhimpun sebelum subuh untuk membuat pemerhatian. 

Bagaimanapun, ada pihak tidak berminat dengan perubahan planet menganggap fenomena ini membawa malang. Pentadbir di beberapa buah kuil Hindu dilaporkan menutup pintu bagi mengelak terkena ‘kuasa jahat’ daripada gerhana bulan. – Agensi 

Semoga dengan berlakunya gerhana bulan ini, dapat memberikan keyakinan kita terhadap kebesaran Allah s.w.t. InsyaAllah


WADi