Halaman

Jumaat, 1 Julai 2011

Islamkah Pakaian Mu ??



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Moga penulisan yang tidak seberapa ini memberi manfaat dan kesan kepada diri saya khususnya, dan sesiapa jua di luar sana. Kali ini saya menulis tentang sesuatu yang sangat familiar atau biasa di kalangan kita namun sering kali kita abaikan. Ia tampak remeh namun kesannya amat bahaya sekali. Apakah ia? Ia adalah pakaian kita. Pakaian seorang hamba yang mengucap syahadah dan mengaku hamba kepada Tuhan. Namun acap kali gagal dalam hal yang mudah bernama Pakaian.

BERFESYEN kini dilihat satu kemestian. Ia begitu sinonim dengan golongan hawa. Memang menarik sekali apabila melihat seorang wanita tampil berjubah atau bertudung kepala dengan pelbagai rekaan menarik. Namun, bertudung bukan sekadar berfesyen, tetapi niat si pemakai adalah menutup aurat. Islam tidak menetapkan syarat khusus etika berpakaian asalkan bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Siapakah yang mengharamkan (memakai) perhiasan dikeluarkanNya untuk hambaNya dan rezeki (makanan) yang baik-baik? Katakanlah: Semua itu untuk orang yang beriman ketika hidup di dunia dan khusus untuk mereka pada hari kiamat. Demikian Kami terangkan ayat itu untuk kaum yang mahu mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya yang diharamkan TuhanKu, hanya semua yang keji, baik zahir atau yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran atau kamu sekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diberi keterangan kepadanya dan kamu katakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui”. (Surah al-A’raaf ayat 32 hingga 33).

Memakai perhiasan (pakaian yang baik dan bersih) sangat besar faedahnya untuk menjaga kesihatan manusia. Begitu juga menjaga kehormatan. Memakai pakaian yang baik itu melahirkan nikmat Allah dan terima kasih kepada-Nya. Orang mukmin diberikan pahala menerusi niat atas pekerjaan baik itu. Perhiasan menjadi tidak baik jika ia berlebih-lebihan, seolah-olah hidup hanya untuk tujuan berhias
Malah, tidak keterlaluan dikatakan melihatkan perkembangan fesyen semasa kini ia turut tempias kepada golongan lelaki yang semakin bijak bergaya.

Lelaki metroseksual. Itulah istilah yang digunakan bagi menggambarkan lelaki moden yang menjaga setiap inci penampilan mereka. Namun, di sebalik perubahan yang dilihat menuju pemodenan adakah Islam melarang umatnya bergaya atau berfesyen? Jika diteliti setiap orang pasti ingin tampil menarik apabila menghadiri majlis keraian seperti hariraya, perkahwinan, ke tempat kerja atau bersantai. Islam memandang cara berpakaian mengikut gaya semasa diharuskan asalkan menutup aurat serta sopan, tidak terlalu ketat sehingga menampakkan susuk tubuh, bersederhana, dapat membezakan antara lelaki dan perempuan serta jangan nipis hingga menampakkan warna kulit atau bentuk badan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: 
“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: Hendaklah mereka merendahkan pandangan dan menjaga kehormatannya, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali apa yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka tutupkan tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau anak mereka atau anak suami mereka atau saudara mereka atau anak saudara lelaki mereka atau anak saudara perempuan mereka atau perempuan Muslimat atau hamba sahayanya atau pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (syahwat) kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan. Janganlah kamu berjalan sambil menggoyangkan kaki supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (gelang kaki). Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan”. (Surah An-Nur ayat 31).


Nabi Muhammad ketika hayatnya suka pakaian berwarna putih terutama untuk solat Jumaat dan menghadiri majlis keramaian. Ini kerana putih itu asal daripada segala warna lain selain dilihat suci dan bersih. Walaupun Nabi amat suka kepada pakaian berwarna putih, apabila hariraya Nabi memakai pakaian berwarna dan baru (bersih). Dalam soal berpakaian Rasulullah sendiri bersifat terbuka dengan syarat ia tidak melanggar batas syariah. Baginda memakai pakaian dari Yaman, Najran dan Mesir. Dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, beliau berkata, “Sesungguhnya Nabi Muhammad memakai jubah Rom- dalam sebahagian hadis disebut jubah Syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua-dua tangan bajunya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai).

Angin peralihan daripada pakaian tradisi seperti baju Melayu bagi lelaki manakala wanita dengan baju kurung dan kebaya yang lebih moden menghakis ciri menutup aurat seperti digariskan dalam Islam. Dari awal lagi, Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen selagi ia bertepatan dengan hukum agama. Yang penting, pastikan pakaian itu daripada jenis kain tebal, tidak nipis, jarang atau terlalu ketat. Jika bertudung, pastikan penampilan kemas.

Elakkan terlalu selekeh, comot atau memakai pakaian sehingga berbau dan mengganggu orang lain terutama ketika bersolat. Kaum wanita boleh memakai seluar jeans yang dipadankan dengan kemeja atau blaus, tetapi perlu memenuhi syarat. Bagi lelaki, walaupun aurat mereka dari pusat ke lutut, tidak bermakna mereka boleh berpakaian sesuka hati. Amalan berseluar pendek atau memakai pakaian koyak tidak sesuai dan melanggar peraturan menutup aurat. Malah, jika seseorang mahu dilihat seorang yang zuhud sehingga mengenakan pakaian yang buruk, koyak serta kelihatan selekeh, ia turut dilarang. wallahua'lam


 - Amal Dengan Ilmu -


WADi