Halaman

Khamis, 4 Ogos 2011

Sahur Itu Apa???



Assalamualaikum warahmatutllahi wabarakatuh buat semua pembaca WADi sekalian. Hari ini masuk hari ke 4 kita semua serta umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa. Bulan Ramadhan sememangnya bulan pesta ibadah bagi mereka yang beriman, soleh dan solehah. Tidak kurang juga bulan ini menjadi paksi untuk mereka yang ingin berubah ke arah kebaikan. Alhamdulillah, puji-pujian hanya kepada Allah s.w.t.

Sahur adalah sesuatu yang akrab dengan mereka yang berpuasa di Bulan Ramadhan atau puasa sunat yang lainnya. Sahur dan puasa umpama adik-beradik, berkait rapat umpama isi dengan kuku. Sahur diambil dari kata as-Saharu yang bererti bahagian akhir malam yang hampir dengan waktu Subuh atau terbitnya fajar. Makna asal Sahur ialah sibuk atau kesibukan dengan sesuatu perkara yang menghampirinya. Perkataan SAHUR digunakan kerana pada waktu ini kita disibukkan dengan mengambil makanan dan makan tatkala waktu subuh semakin menghampiri. 

Hukum Sahur

Hukum Sahur adalah Sunat. Imam Nawawi (631H-676H) menyatakan bahawa jumhur ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa sahur adalah istihbab (amat digalakkan/dituntut). Perlu kita ingat kembali bahawa ibadah sunat adalah ibadah tambahan untuk mengisi kekosongan yang ada pada ibadah fardhu kita. Ibadah wajib yang kita lakukan sudah tentu tidak sempurna seperti Baginda dan para sahabat. Oleh itu, ibadah sunatlah yang akan menampung dan menyempurnakan ibadah wajib kita semua. Menghidupkan Sahur bererti kita telah menghidupkan amalan sunat yang akan diberikan ganjaran oleh Nya, insyaAllah.

Waktu Sahur

Persoalan waktu sahur ini bukanlah suatu yang asing lagi. Ramai diantara kita yang masih kurang jelas perihal sebenar waktu sahur ini. Ada yang mengandaikan makan sebelum tidur itu dikira sahur dan sebagainya. Ulama' telah bersepakat bahawa waktu sahur itu adalah bermula pertengahan malam hinggalah menjelang Subuh. Namun begitu, adalah disunatkan agar melambatkan sahur sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a bahawa Zaid bin Thabit r.a berkata :

"Kami telah bersahur bersama Rasulullah s.a.w kemudian kami bangun untuk mendirikan solat. Anas bin malik bertanya berapakah kadar masa untuk keduanya (antara selesai sahur dengan azan Subuh). Zaid bin Thabit berkata, kadar bacaan 50 ayat" (riwayat Muslim, no.47)

Dalam Fath al-Mun'im, Ibnu Hajar Al-Ashqalani (773H-852H) menganggar bahawa ia (kadar bacaan 50 ayat) di antara 4 minit atau selama mengambil wuduk. Dalam satu riwayat lain, tatkala Ibnu Mas'ud bersegera berbuka puasa dan melambatkan sahur, Aisyah r.ha. berkata:

"Begitulah yang Rasulullah s.a.w lakukan (segera berbuka puasa dan melambatkan sahur)"
 (riwayat an-Nasa'i, no.2158)

Makanan Untuk Sahur

Tidak ada makanan yang khusus sewaktu sahur. Ia bergantung kepada keadaan dan kesesuaian kita semua. Namun perlu diingat bahawa ketika bersahur, adalah penting untuk menjaga pemakanan dan tidak makan dengan melampaui batas dan berlebih-lebihan, sama seperti yang dituntut ketika berbuka puasa. Biarlah sederhana dan mencukupi sahaja. Apa sahaja makanan yang dimakan (halal) ketika bersahur akan mendapat keberkatan dari Allah s.w.t hatta hanya dengan segelas air. Dari Abu Said al-Khudri r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

"Makan sahur itu ada keberkatan, maka jangan kamu tinggalkannya walaupun salah seorang dalam kalangan kamu hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat (rahmat Allah dan pengampunan) atas mereka yang bersahur" (riwayat Ahmad, no.11086)



Makanan yang terbaikdan dianjurkan ketika sahur ialah Kurma. Sama seperti berbuka, memakan kurma dapat memberikan tenaga yang mencukupi dalam badan, insyaAllah. Kurma juga adalah makanan yang diberkati dan dipuji Rasulullah s.a.w. baginda pernah bersabda :

"Sebaik-baik makanan sahur bagi seorang Mukmin itu ialah buah Kurma"
(riwayat Abu Daud, no.2347)

Semoga kita sama-sama berusaha untuk menghidupkan amalan Sahur. Sungguh dalam sahur itu ada keberkatan untuk kita semua. Selamat BerSAHUR dan selamat berpuasa.


- Amal Dengan Ilmu -

WADi