Halaman

Khamis, 17 November 2011

Keadaan Wanita Sebelum Kedatangan Islam


Agama Islam adalah agama yang suci dan bersih. Ia sememangnya agama yang bersesuaian dengan fitrah manusia meliputi keseluruhan aspek kehidupan, baik untuk lelaki mahupun wanita, tua dan muda. Islam amat menitikberatkan keadaan umatnya. Syariat Allah s.w.t adalah semata-mata untuk memandu manusia ke arah yang diredhaiNya. Sumber al-Quran dan Sunnah Rasulullah pula menjadi rujukan sepanjang zaman.

Wanita disisi Islam mempunyai kedudukan yang sangat istimewa. Lihat sahaja bagaimana Islam menjaga dan mendidik wanita agar menjadi seorang wanita yang baik budi pekertinya, sopan tutur dan penampilannya. Dengan mengikut acuan Islam yang sebenar, sudah tentu wanita akan berada dalam kedudukan yang selamat dan terjamin disisi  Allah s.w.t

Pernahkah terlintas difikiran anda, bagaimana wanita ketika Islam belum sampai kepada mereka?. Di Zaman jahiliyyah dahulu, bagaimana wanita diperlakukan oleh lelaki?. Kedudukan wanita sebelum datangnya Islam sememangnya rendah. Bahkan wanita hanyalah alat yang boleh diperlakukan sesuka hati di zaman Jahiliyyah dahulu. Berikut adalah beberapa keadaan wanita ketika Islam belum hadir atau ketika di zaman Jahiliyyah.

1. Pada zaman jahiliyyah, seseorang bapa akan menjadi begitu marah, malah penuh kebencian jika anak yang dilahirkan isterinya adalah anak perempuan. Ini kerana anak perempuan dianggap sebagai tidak berguna dan tidak memberi manfaat seperti anak lelaki. Mereka hanya mendambakan anak lelaki yang akan menyinari hidup mereka. Anak perempuan tidak ubah seperti menyusahkan. Kebodohan dan kebencian mereka terhadap anak perempuan ditegur oleh Allah dalam firmanNya:


وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ


Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. (an-Nahl:58)

يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِن سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ ۚ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ ۗ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu. (an-Nahl:59)

2. Pada zaman jahiliyyah juga, wanita perlu bekerja untuk suami dan menampung perbelanjaan suami. Jika suami dalam keadaan marah, isterinya akan dipaksa berkerja dengan keras. Jika ingin bercerai pula, si isteri perlu membayar semula mahar yang telah diberikan ketika berkahwin dahulu.



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا ۖ وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (an-Nisa' :19)


3. Pada zaman jahiliyyah juga, sudah menjadi tradisi dalam kalangan bangsa Arab untuk menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Anak kecil yang tidak tahu apa-apa, yang selayaknya meraih perhatian dan kasih sayang dari kedua orang tuanya sebaliknya dibunuh tanpa perasaan. 



وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ    
بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَتْ

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -Dengan dosa apakah ia dibunuh?
 (at-Takwir:8-9)



4. Pada zaman jahiliyyah juga, seseorang lelaki akan mewarisi isteri ayahnya apabila dia meninggal dunia. Ini bermaksud, ibunya akan menjadi isterinya juga selepas kematian ayahnya, Nauzubillah. Sungguh sukar diterima akal yang waras, bagaimana seorang insan bergelar ibu menjadi isteri kepada anaknya. Hal ini tersebut dalam firman Allah s.w.t :



وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).  (an-Nisa':22)


Kepada wanita-wanita muslim di luar sana, semoga kisah ini memberi kesedaran kepada anda. Ingatlah, anda bertuah kerana menjadi wanita Muslim, tidak seperti mereka yang jahiliyyah dahulu. Kedudukan anda disisi Islam adalah tinggi dan mulia. Semoga dengan kisah ini, membuahkan kesyukran atas nikmat iman dan Islam serta menjentik kesedaran wanita Muslimah. Jangan kembali seperti jahilnya mereka yang terdahulu, kerana dirimu begitu berharga disisiNya. wallahua'lam.




- Amal Dengan Ilmu -

WADi