Halaman

Isnin, 23 Januari 2012

Ahlul Hadith, Golongan Yang Mendapat Petolongan Allah


السلام عليكم


Kali ini kita akan bersambung dalam bab Siapakah golongan yang mendapat pertolongan dan bantuan daripada Allah s.w.t ? Untuk merungkai persoalan ini, mari kita sama-sama merenung hadith berikut. Rasulullah s.a.w bersabda: 


لَا تَزَالُ طَاىِٔفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقَّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ 
حَتَّى يَأْ تِيَ اَمْرُاللهِ


"Akan sentiasa ada di kalangan umatku yang memperjuangkan kebenaran, yang tidak akan membahayakan mereka sedikitpun orang-orang yang hendak menghinakannya hingga datang keputusan Allah (hari kiamat)" (Riwayat Muslim)

Dalam Hadith lainnya, Rasulullah s.a.w bersabda :

إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلَا خَيْرَفِيْكُمْ، وَلَا يَزَالُ أَنَاسٌ مِنْ أُمَّتِيْ مَنْصُوْرُوْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقَوْمَ السَّاعَةُ

"Apabila penduduk Syam telah rosak, maka tidak ada lagi kebaikan pada kalian. Dan akan sentiasa ada di kalangan umatku yang mendapat pertolongan (dari Allah), dimana penghinaan orang-orang tidak akan membahayakan mereka sedikitpun hingga hari kiamat" (Riwayat Ahmad, sahih)

Ibnu Mubarak mengulas mengenai siapakah mereka yang dimaksudkan dalam hadith ini. Katanya "Menurutku mereka adalah para ahlulhadith (ahli hadith)". Imam Al-Bukhari pula berkata : "Ibnul Madini berpendapat mereka adalah para ahli hadith". Menurut pandangan imam Ahmad dalam pendapatnya : "Jika golongan yang mendapat pertolongan dari Allah tu bukan para ahli hadith, maka saya tidak tahu lagi siapa mereka."

Maksud yang ingin disampaikan oleh Imam Ahmad, Al-Bukhari dan lain-lainnya adalah golongan yang mendapat pertolongan dan bantuan yang dimaksudkan dalam hadith Rasulullah s.a.w ialah para ahli hadith atau mereka yang berpegang teguh dengan hadith dan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana mereka secara khusus mendalami dan mempelajari hadith-hadith dan sunnah-sunnah Nabi s.a.w dan perkara yang berhubung kait dengannya. Kerana itu, mereka menjadi orang yang arif mengenai sunnah, akhlak, kehidupan dan hal-hal lain berkaitan dengan sunnahnya.

Imam Syafie pernah berkata kepada Imam Ahmad bin Hambal:

"Engkau lebih mahir tentang hadith daripadaku. Maka bila sampai kepadamu hadith yang sahih, maka beritahulah kepadaku sehinggalah aku bermazhab dengannya, baik itu mazhab Hijaz, Kufah atau Basrah."

Para ahli hadith tidak pernah sama sekali taksub dan fanatik kepada orang tertentu walaupun darjat orang tersebut tinggi di sisi masyarakat umumnya. Ini kerana tiada siapa pun yang benar dan tepat keseluruhan ucapan, perilaku dan sifatnya sebagaimana Rasulullah s.a.w. Maka dengan itu adalah tidak wajar untuk merasa taksub kepada sesiapa jua atas dasar kepercayaan yang tidak sempurna seperti Rasulullah s.a.w. Ini berbeza dengan golongan yang bukan ahli hadith dimana mereka mudah untuk taksub atau bersikap fanatik kepada individu tertentu hingga melebihi Rasulullah s.a.w itu sendiri. Hal ini boleh kita lihat dimana ketaksuban itu menular baik kepada para ustaz, ilmuan, tokoh dan sebagainya. 

Al-Khatib Al-Baghdadi dalam kitabnya yang berjudul Syarf Ashabi Al-hadith berkata :

"Jika orang-orang yang suka mendahulukan ra'yunya (akalnya) dalam memahami agama itu mahu menyibukkan diri dalam mempelajari hadith-hadith Rasulullah s.a.w, nescaya mereka akan mendapati sesuatu yang mana mereka tidak memerlukan apa jua lagi selain hadith-hadith Nabi s.a.w. Ini kerana hadith-hadith itu sendiri mengandungi unsur tauhid/akidah, sifat-sifat Tuhan, Perihal Syurga dan Neraka, janji dan ancaman dariNya dan semua yang telah Allah ciptakan baik dilangit atau dibumi.

Di dalamnya terkandung kisah-kisah para Nabi dan Rasul, mereka yang zuhud, kekasih Allah, nasihat-nasihat, perkataan para ahli fiqh, khutbah dan kemukjizatan Baginda. Terkandung juga perihal al-Quran, khabar-khabar, dan apa jua berkaitan hukum. Allah s.w.t menjadikan ahli hadith sebagai tiang syariat untuk dihancurkan segala bentuk bid'ah melalui mereka.  Mereka adalah orang yang diberi amanah, yang menghubungkan antara Nabi s.a.w dengan para umatnya. Mereka adalah penjaga agama dan hadith Rasulullah s.a.w.

Setiap golongan akan sentiasa mendahului nafsu dan akal fikirannya melainkan ahli hadith, kerana mereka menjadikan al-Quran sebagai bekalan hidup mereka dan hadith sebagai hujah dalam kehidupan mereka. Mereka berusaha mengikut jalan Rasulullah, para sahabat, tabi'in, tabiit tabi'n dan para generasi salafussoleh. Mereka yakin akan pertolongan Allah dan barang siapa yang memusuhi para ahlul hadith, nesaya Allah akan membuatkannya terhina."

Ya Allah, sesungguhnya engkau melindungi akan setiap para ahlul hadith. Jadikanlah kami termasuk dalam kalangan para ahlul hadith, para pengikut jalan Rasulullah dan salaful ummah. Berilah kami kekuatan, kecintaan, kemahiran untuk mengamalkannya dan menyebarkannya. 



والله أعلمُ بالـصـواب