Halaman

Khamis, 19 Januari 2012

Bahaya Fitnah Di Alam Maya


السلام عليكم



Gambar hiasan


RABU lalu, saya ditemuramah seorang pelajar tahun akhir dari University of Amsterdam, Belanda. Beliau mengikuti program pertukaran pelajar bersama sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur. Lebih kurang sejam, perbualan lebih menjurus kepada bagaimana program Imam Muda membawa pembaharuan kepada dunia dakwah di Malaysia. Insya-Allah penulisan beliau akan dimuatkan di sebuah majalah di Belanda dalam waktu terdekat ini.


Sebenarnya, beliau menghubungi rakan saya, Ahad lalu untuk menyatakan hasrat berjumpa saya. Saya sangat menghargainya dan terus membuat temujanji dengannya.

Proses atur temujanji itu tidak sampai lima minit. Begitulah pantasnya sesuatu khabar disebar daripada seorang kepada orang lain. Beliau mengakui mendapat maklumat mengenai program Imam Muda melalui Internet. Begitu hebat kuasa Internet hari in. Taip saja apa yang terlintas di benak fikiran, pasti anda akan menemui maklumat dikehendaki.

Namun bukan itu yang ingin saya kongsi bersama pembaca ruangan ini. Saya pernah membicarakan perkara ini secara umum ketika awal penulisan saya dalam ruangan ini dan kali ini saya berhasrat mengupasnya dengan lebih lanjut. Saya terpanggil untuk berkongsi mengenai bahaya fitnah yang semakin berleluasa pada akhir zaman ini. Tidak sesekali dinafikan, kecanggihan teknologi perhubungan dewasa ini memudahkan sesuatu maklumat itu disampaikan secara cepat serta efektif dan mungkin tanpa tapisan.


Internet serta media massa boleh diibaratkan mata dan telinga masyarakat dewasa ini dalam menyampaikan sebarang berita, maklumat atau hebahan. Memang diakui, banyak faedah diperoleh daripada kecanggihan sistem komunikasi ini tetapi banyak juga impak negatif tanpa kita sedari. Kerana itu, masyarakat dituntut menggunakan kebijaksanaan menilai setiap berita. Tambahan pula kebanjiran akhbar, majalah serta blog menimbulkan rasa kurang harmoni di kalangan masyarakat.

Tidak kira apa kategorinya, baik hiburan, politik atau perniagaan, setiap empunya kepada media ini tentu berlumba-lumba dan berhasrat meningkatkan ‘rating’ serta melariskan produk mereka. Namun dalam keghairahan menyampaikan maklumat, kita seolah-olah leka kita akan dipertanggungjawabkan mengenai apa yang kita sampaikan jika ia mengundang kepada fitnah. Akhir zaman ini, penggunaan perkataan ‘fitnah’ digubah dan diperindahkan menjadi ‘gosip’ supaya masyarakat tidak memandangnya sebagai sesuatu yang berat dan ber‘liabiliti’. Gosip ini juga dianggap bahan hiburan dan mungkin bahan bacaan ringan pada waktu lapang. Yang lebih malang, ramai yang gemar membaca dan mendengar seterusnya mempercayai fitnah tanpa usul periksa.


Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” 

Ayat ini turun berdasarkan peristiwa di mana Rasulullah mengutuskan Walid bin Uqbah untuk mengambil zakat daripada kaum Harith. Ketika dalam perjalanan, timbul fitnah terhadap kaum Harith yang menyatakan Walid akan dibunuh oleh kaum itu. Apabila berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah, baginda tidak mempercayainya, sebaliknya menghantar utusan lain menyiasat. Ternyata berita itu adalah palsu, bahkan mereka menunggu Walid untuk membayar zakat.

Bayangkan jika baginda mempercayai kata-kata dusta itu, pasti Rasulullah menghantar tentera untuk memerangi kaum itu dan berlakulah pertumpahan darah. Sesungguhnya kaum Muslimin perlu menghayati dan memahami ayat itu. Betapa bahayanya ancaman fitnah kepada masyarakat dan sesebuah negara. Malang bagi sesetengah daripada kita yang kadangkala terlalu cepat menyebarkan apa yang belum dipastikan kebenarannya, seolah-olah menjadi ejen kepada penyampai berita itu.

Dewasa ini betapa banyak fitnah berlegar di dalam masyarakat kita. Betapa banyak bencana yang terjadi akibat berita tidak benar ini. Betapa banyak darah yang tertumpah, keluarga yang berpecah, dua saudara yang berpisah serta hak yang dicabuli akibat fitnah ini. Hakikatnya, tidak ada satu pun masyarakat Islam bebas daripada golongan munafik. Mereka sentiasa berhasad dengki dan tidak aman untuk melihat kaum Muslimin hidup harmoni di bawah satu payung. Mungkin sesetengah daripada kita berasakan menyampaikan perkara yang tidak diketahui kebenarannya hanya perkara kecil. Namun, di sisi Allah SWT, ia perkara besar.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 15 bermaksud: 

“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut.” 

Pada dasarnya, ucapan itu diterima dengan telinga, bukan lisan. Namun, Allah ungkapkan mengenai cepatnya berita itu tersebar di tengah masyarakat. Kata-kata itu seakan-akan keluar dari mulut ke mulut tanpa melalui telinga, dilanjutkan ke hati yang tidak memikirkan apa yang didengar, selanjutnya memutuskan untuk menyebarkan berita itu.


Allah berfirman lagi yang bermaksud:


إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّهِ عَظِيمٌ

“Kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal ia pada sisi Allah adalah besar.” (An-Nur: 15)

 Oleh itu, berwaspadalah menerima sesuatu perkhabaran. Selidik sebelum menghukum sesuatu perkara dengan pertimbangan rasional. Jangan sekali-kali menjadi sukarelawan kepada penyebaran fitnah. Semoga kita semua dilindungi Allah daripada bahaya ancaman fitnah.

oleh Imam Muda Hassan Adli Yahaya