Halaman

Sabtu, 25 Februari 2012

Akhlak Mulia Faktor Islam Berkembang Di Eropah



السلام عليكم





SELEPAS tragedi runtuhan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001, sentimen dan fenomena Islamofobia masyarakat barat menghantui umat Islam. Laporan berita negatif selain memomokkan Islam sebagai ‘pengganas’ menyebabkan imej Islam tercalar teruk.  Beberapa serangan dan peperangan dilancarkan terutama ke atas Iraq dan Afghanistan, kononnya mahu mengembalikan keamanan dunia. 

Namun, Islamofobia terutama di Eropah sudah berubah kerana seruan serta syiar Islam bersinar di mana-mana. Jangan terkejut, jika ramai penganut Kristian dan agama lain memeluk Islam di seluruh Eropah setiap hari. Kebanyakan Muslim di Eropah bertumpu di bandar besar seperti London, Bradford di United Kingdom, Rotterdam, Amsterdam di Belanda, Paris, Perancis dan Copenhagen, Jerman.  Benarlah, jika usaha dakwah dilakukan dengan penuh ikhlas lambat laun pasti akan membuka pintu hidayah golongan yang dipilih Allah itu menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Alhamdulillah, siapa sangka, dalam keadaan Islam di Eropah yang ditekan dan laporan berita negatif, Islam terus berkembang seperti cendawan selepas hujan. Malah, nilai sosial masyarakat tempatan mulai berubah. Fenomena penerimaan Islam di Eropah menjadi bukti kukuh Kristian semakin terancam.  Di England, beberapa gereja diambil alih pengurusannya dan dijadikan masjid. Ada kalangan masyarakatnya yang memeluk Islam kuat jihadnya berusaha mencari dana membeli tapak gereja untuk dijadikan masjid.

GEREJA TUKAR MASJID...Masjid Didsbury di Manchester antara gereja yang dijadikan masjid. 

Walaupun kerajaan Britain mengharamkan pembelian gereja kerana sedar rumah ibadat Kristian kian hilang fungsinya, ia terus memberi semangat kepada mujahid baru di Eropah. Kini, kubah masjid menenggelamkan menara gereja yang menjadi petunjuk keyakinan baru umat Islam manakala gereja semakin terbiar. Jika dulu umat Islam terpaksa menunaikan solat secara rahsia di bilik gelap di bawah bangunan kerana bimbang dicemuh dan dihalang, kini mereka bebas sembahyang di mana-mana saja tanpa gangguan.

Itu antara catatan kembara Pengarah Bahagian Dakwah, Professional Islamic Support And Nurture Group (Pisang), Ustaz Halim Din mengenai kesuburan Islam di Eropah termasuk England, Perancis, Jerman, Switzerland, Itali dan Belanda. Beliau berkata, Pisang adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di Bicester, England bagi misi dakwah di Eropah.

“Sejak ditubuhkan pada 2008, kami menawarkan serta menyediakan perkhidmatan kepada sesiapa saja tanpa mengira agama, usia, jantina atau bangsa. “Perkembangan dan penerimaan Islam cukup memberangsangkan. Buktinya, semakin banyak masjid dibina dan setiap hari ada mengucap dua kalimah syahadah. “Di Perancis, ada 10 juta umat Islam dari 65 juta penduduknya. Lebih 2,000 masjid dibina, malah di Paris ada 300 masjid,” katanya.

Halim berkata, pelbagai pendekatan dakwah dijalankan di Perancis salah satunya ialah melalui dakwah di penjara. “Hasil dakwah bersama Presiden Pusat Tauhid Perancis, 65 peratus daripada banduan memeluk Islam. “Jika mengambil kira perkembangan positif itu, tidak mustahil sasaran menjadikan Perancis negara Islam pada 2050 akan menjadi realiti,” katanya.

Menurutnya di Belanda pertubuhan Islamnya terbukti kuat, berkesan dan lebih diyakini.

“Buktinya, pertubuhan Islam itu pernah mengutuskan surat jemputan majlis berbuka puasa ke pejabat kerajaan. Hasilnya lebih lebih 3,000 jemputan hadir. “Akhlak umat Islam yang ramah dan pekerti terpuji menambat mereka untuk mendekati dan memeluk Islam,” katanya.

Halim juga dimaklumkan pensyarah di Universiti Islam Eropah bahawa setiap minggu ramai anak gadis datang berjumpa pensyarah itu untuk berkongsi masalah. “Ramai ingin tahu rahsia keharmonian rumah tangga. Dan, di pertemuan itu, kalimah syahadah diungkapkan dan dihuraikan maknanya sehingga mereka menitiskan air mata. “Kaedah dakwah seperti menjalankan kerja amal perlu dipertingkat dan diperkemaskan lagi dalam usaha mendekati masyarakat kepada Islam,” katanya.

Malah katanya Presiden Pisang, Hamidi Abdul Rahman pernah dijemput dan ditemuramah stesen televisyen satelit Manchester, DM Digital TV pada 2008 melalui saluran Islamnya menghurai isu keganasan, pendidikan dan masyarakat. 

“Program selama setengah jam itu disertai dua wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Pengarah Institut Tamadun Islam, Prof Datuk Dr Yusof Othman dan Profesor Dr Abdul Latif Samian,” katanya. 

Menurutnya, Pisang turut mengadakan klinik bergerak bagi menjalankan pemeriksaan dan rawatan sihir dan gangguan jin di Manchester, Birmingham dan Aberdeen. “Objektif utama kami ialah menggalakkan kaedah terapi al-Quran kerana ada penyakit berpunca daripada jin. “Kami turut mengadakan khidmat kaunseling kepada masyarakat yang bermastautin di United Kingdom selain mengurus soal perkahwinan, penderaan kanak-kanak, tekanan perasaan, kemurungan, homoseksual dan lesbian,” katanya.

Katanya, Pisang turut membimbing serta menyelamatkan genius Matematik dan bekas penuntut di Universiti Oxford, Sufiah Yusof yang pernah melalui detik hitam kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. 

“Alhamdulillah, Sufiah kini pulih dan insaf sepenuhnya dan kini memberi motivasi kepada mereka yang datang ke Rumah Pisang,” katanya. 

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, Pisang merancang beberapa aktiviti dakwah di Eropah, antaranya Himpunan Belia Islam SeEropah pada 2 hingga 11 Mei ini. “Kami menjangka lebih 200 peserta dari seluruh Eropah akan hadir ke program itu yang dimeriahkan dengan ceramah dan qiamullail,” katanya.

p/s- Kadang kala umat Islam di Barat dan para muallaf yang baru mengenal Islam jauh lebih cinta dan mengambil berat akan Islam berbanding kita yang sudah sekian lama berstatus Islam, renung dan hisab kembali keislaman kita.



والله أعلمُ بالـصـواب