Halaman

Jumaat, 3 Februari 2012

Penulisan Di Laman Maya, Saham Pahala Atau Dosa?



السلام عليكم



Laman maya bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam masyarakat kita dan dunia. Masyarakat zaman ini telah didedahkan dengan kemajuan dan kepesatan teknologi dari masa ke semasa. Bukan sahaja golongan dewasa malah kanak-kanak yang masih kecil juga tidak kekok dengan perkembangan dunia serba moden dan canggih ini. Kehadiran teknologi internet banyak memberi pengaruh kepada manusia sejagat. Dengan kemudahan ini maka pelbagai teknologi lain wujud darinya. Salah satunya adalah pembaharuan dan perkembangan dalam teknologi berkomunikasi dan perkongsian maklumat dengan wujudnya laman sosial seperti facebook, twitter, blog, dan sebagainya. 

Kewujudan laman ini benar-benar memberi impak yang cukup besar kepada kita semua. Jika dilihat perkembangannya hari ini, hampir semua orang mempunyai akaun masing-masing tidak kiralah facebook, blog, twitter, myspace dan sebagainya. Jika di awal kewujudannya disedari dan digunapakai oleh golongan remaja dan dewasa, namun hari ini kanak-kanak yang masih bersekolah rendah malah yang masih belum bersekolah turut tidak terlepas dari pengaruh teknologi laman maya ini. Pendek kata, sesiapa yang tidak mempunyainya boleh dianggap ketinggalan, terkebelakang atau kurang lengkap. Begitulah pandangan yang biasa didengar dari mulut ke mulut.


Realiti dan Teguran Penulisan Di Laman Maya Hari Ini

Realiti hari ini jika diteliti satu persatu, maka kita akan dapati bahawa ramai di antara kita yang tidak bijak menggunakan medium ini ke jalan yang betul dan tepat. Laman sosial yang cukup terkenal seperti facebook seharusnya menjadi wadah untuk berukhuwwah, mencari kenalan lama, dan menyampaikan dakwah dan ilmu namun ia tidak menjadi keutamaan bagi ramai saudara Islam kita. Malah ia disalahgunakan untuk mewujudkan persengketaan, menipu orang lain dengan perniagaan, mencaci dan memecahbelahkan perpaduan malah hingga boleh meruntuhkan sebuah ikatan perkahwinan yang suci.  Nauzubillah!

Jika dilihat pada medium blog pula lebih banyak versi dan kepelbagaiannya. Blog merupakan antara medium informasi yang begitu berpengaruh. Adalah menjadi suatu keperluan dengan mewujudkan blog-blog yang sarat dengan perkongsian ilmu, informasi, berita yang berfaedah dan apa jua yang memberi menfaat kepada pembaca. Ilmu ini tidaklah terbatas kepada ilmu agama sahaja malah boleh dimanfaatkan blog dengan mewujudkan blog tutorial kuliah, dakwah, kesihatan, perubatan dan pelbagai lapangan ilmu. Sungguh menyedihkan apabila blog disalahgunakan untuk tujuan menyebarkan aib, fitnah, gosip dan perkara-perkara yang sia-sia lagi tidak bermanfaat bukan sahaja kepada penulis malah kepada pembaca juga. 

Barangkali ada di antara kita yang lupa atau tidak sedar akan peringatan Allah s.w.t dalam kitab suci al-Quran :


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan "(al-Maidah:2 )




إِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ أَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ اَمَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيْمٌ فِى الدُّنْيَا وَالْأَخِرَةِ


“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat”. ( An Nuur: 19)


Kepada saudara seislam yang mungkin terbaca coretan dan nukilan  ini walau bila waktunya dan dimana anda berada, sentiasa lah beringat bahawa penulisan adalah sesuatu amalan yang akan dihisab dan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak. Penulisan yang anda tulis adalah sama seperti lidah yang digunakan untuk berkata-kata, akan dinilai, dan disoal penggunaannya. Boleh jadi penulisan kita ini menjadi aset berharga untuk ummah dan diri dengan pahala yang mengalir kelak atau boleh jadi ia saham untuk mencampakkan kita ke neraka jahannam yang amat pedih lagi menyeksakan. Nauzubillahiminzalik!

Keutamaan kita dalam menulis adalah mencari mardhatillah (keredhaan Allah) dan ganjaran pahala atas amalan ini. Jika peluang beramal dan berdakwah ini telah tersedia, maka gunakanlah sebaiknya dan mengapa perlu menolaknya?. Barangkali hadith ini mampu membuka minda kita semua untuk sedar.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

اذا مات ابن ادم انقطع عمله الا من ثلاث صدقة جارية او علم ينتفع به وولد صالح يدعوله. رواه مسلم ٩٤٩


"Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amalannya, kecuali (pahala) sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang selalu memanjatkan doa untuknya" (Riwayat Muslim no.949)


Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:


من دعا الى هدى كان له من الاجر مثل اجور من تبعه لا ينقص ذلك من اجورهم شيىٔا ومن دعا الى ضلالة كان عليه من الاثم مثل اثام من تبعه لا ينقص ذلك من اثا مهم شيىٔا. رواه مسلم ٢٦٧٤

"Sesiapa yang menyeru manusia kepada petunjuk, maka dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang melakukannya tanpa dikurangkan walau sedikitpun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru manusia kepada kesesatan, maka dia juga akan turut berdosa sebagaimana dosa orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan dosa mereka walau sedikitpun" (Riwayat Muslim no.2674)

Bayangkan jika anda menulis satu ilmu dan ia tersebar ke satu orang. Kemudian orang itu menyebarkannya kepada orang yang lain dan seterusnya hingga berpuluh, beratus dan beribu-ribu orang sekalipun anda telah meninggal dunia, namun ganjaran pahala masih mengalir kepada anda. Dan bayangkan pula jika anda menulis satu keburukan, maksiat, dan perkara yang menjerumus kepada dosa lantas disebar kepada seorang kemudian dia sebarkan lagi kepada orang lain hingga berpuluh, beratus dan beribu-ribu orang membacanya. Sudah tentu dosa kita tidak terhitung banyaknya sekalipun kita telah meninggal dunia. Nauzubillah!

Wahai saudara seagamaku, nukilan ini daku titipkan untuk diriku khususnya dan buat diri semua saudaraku di luar sana, agar kita tidak menyesal di hadapan Allah s.w.t kelak, hanya kerana kebejatan dan kedhaifan dalam penulisan. Sama-sama renungi, insafi dan bertaubat. Kembalilah kepangkal jalan.





والله أعلمُ بالـصـواب