Halaman

Selasa, 28 Februari 2012

Rosaknya Aqidah Dengan Memakai Tangkal




السلام عليكم




Menghindari penggunaan azimat langkah selamat elak terjerumus syirik. Meletakkan asas kemurnian tauhid terhadap umat manusia adalah tugas utama semua Rasul sejak dari Adam sehinggalah Muhammad s.a.w. Hanya melalui tauhid yang murni saja manusia akan dapat mengecapi keamanan hakiki dalam kehidupan serta mudah menerima hidayah daripada Allah s.a.w. 

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ
Allah berfirman yang bermaksud: "Orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-An'aam: 82) 

Antara faktor utama dalam mencetuskan kemurnian tauhid adalah keyakinan sepenuhnya bahawa tiada sesuatu pun yang dapat memberi manfaat atau kemudaratan melainkan Allah. Firman Allah yang bermaksud:


وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
"Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-An'aam: 17) 

Walaupun Malaysia semakin gah di persada dunia dengan kemajuan dalam pelbagai bidang, namun masih ada segelintir umat Islam yang pemikirannya masih pada takuk lama. Mereka masih berkeyakinan tangkal dan azimat mampu menghilangkan atau menahan sesuatu musibah seperti penyakit, gangguan hantu syaitan atau menjadi kebal. Pemakaian tangkal dan azimat mencemar kemurnian tauhid kerana wujudnya keyakinan bahawa ia mampu menandingi kuasa Allah dalam mendatangkan manfaat serta menolak bahaya. Ketika hayat Rasulullah SAW, Baginda menentang keras budaya memakai tangkal dan azimat. 

Diriwayatkan bahawa Baginda SAW menolak bai'ah seorang yang ingin memeluk agama Islam kerana ada tangkal pada tangannya. Selepas orang itu memutuskan tangkal itu baru baginda menerima bai'ahnya seraya bersabda yang bemaksud: "Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah berbuat syirik." (Hadith riwayat Imam Ahmad) 

Tangkal yang dipakai sebenarnya tidak membawa sebarang manfaat bahkan melemahkan diri seseorang dan menyebabkan seorang itu hidup dalam kerugian kerana meyakini adanya kuasa lain yang mampu mendatangkan manfaat dan mudharat selain dari Allah s.w.t. Baginda SAW pernah menegur seorang yang memakai tangkal berupa benang yang berwarna kekuningan di tangannya 

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lepaskan itu kerana ia hanya akan menambahkan kelemahan pada dirimu. Sesungguhnya jika kamu mati dan ia masih berada pada tubuhmu, kamu tidak akan beruntung selama-lamanya." ( Riwayat Ahmad) 

Memakai tangkal atau azimat bukan sekadar satu perbuatan sia-sia bahkan ia adalah satu faktor yang menghalang termakbul doa seseorang serta boleh menyebabkan dia hidup dalam keadaan tidak tenteram. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang menggantungkan tangkal maka Allah tidak akan memakbulkan keinginannya; barang siapa memakai wada'ah (tangkal yang diperbuat dari cengkerang siput) semoga Allah tidak memberi ketenangan pada dirinya."  (Riwayat Ahmad) 

Diriwayatkan bahawa seorang sahabat Nabi SAW iaitu Hudhaifah ketika melawat seorang yang sedang sakit terlihat orang itu memakai tangkal yang diperbuat daripada benang di tangannya bertujuan untuk menghilangkan panas. Lantas Hudhaifah memotong tangkal itu dan menyatakan jika orang itu meninggal dunia tatkala dia masih memakai tangkal nescaya beliau tidak akan sembahyang jenazahnya. 

Ketika Hudhaifah memotong benang itu beliau membacakan ayat al-Qur'an yang bermaksud:

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِاللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ
"Dan (orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka menyekutukannya dengan yang lain." (Surah Yusuf: 106) 

Beginilah kerasnya sikap Rasulullah SAW serta sahabat terhadap penggunaan tangkal dan azimat. Namun ulama berbeza pendapat mengenai penggunaan tangkal atau azimat yang menggunakan ayat al-Quran atau zikir kepada Allah. Sungguhpun begitu langkah selamat adalah menghindari apa juga bentuk tangkal mahupun azimat walaupun menggunakan ayat al-Quran.  Penggunaan ayat al-Quran sebagai tangkal atau azimat boleh menjerumuskan seorang melakukan perbuatan mencemari ayat itu seperti membawanya masuk ke tandas, tempat bernajis serta wanita yang memakainya ketika sedang haid. 

Justeru, menghindari segala jenis bentuk tangkal adalah langkah sejahtera untuk menutup pintu yang boleh membawa seseorang itu terjerumus kepada syirik dan Allah tidak akan mengampunkan golongan yang syirik melainkan mereka bertaubat. Allah berfirman yang bermaksud:


وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman: 13) 

Oleh itu buang jauh budaya kuno memakai tangkal dan gantikan dengan memohon perlindungan daripada Allah melalui doa. Jika ada tanda penyakit, bersegeralah mendapat rawatan daripada pakar perubatan. Umat Islam disarankan menjalani cara hidup sihat sebagai langkah mencegah penyakit. Semoga kita semua terhindar dari kepercayaan dan amalan yang merosakkan tauhid dan aqidah sebagai umat Islam.



والله أعلمُ بالـصـواب