السلام عليكم
عن أبي رقية تميم بن أوس الداري رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه
وسلم قال : الدين النصيحة قلنا : لمن ؟ قال : لله ولكتابه ولرسوله لأئمة المسلمين
وعامتهم - رواه مسلم
Daripada Abiu Ruqayyah Tamim Bin Aus al-Dary r.a berkata,
Rasulullah s.a.w bersabda : Agama itu nasihat. Kami berkata : Bagi siapa ?
Baginda s.a.w bersabda : Bagi Allah, bagi Kitab-Nya, Bagi Rasul-Nya dan bagi
pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan orang-orang awam mereka.( HR Muslim )
Beberapa pengajaran yang dapat kita ambil dari hadith sahih
diatas, ialah :
1. Agama yang dimaksudkan disni adalah agama Islam yang
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Firman Allah :
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسْلاَمُ ۗ
"Sesungguhnya agama disisi Allah(yang
diredhai Allah) adalah Islam". (Ali
Imran,3:19)
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ
فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
"Barangsiapa mencari agama selain Islam, nescaya Allah
tidak akan menerimanya, dan di akhirat dia pasti termasuk golongan yang
rugi". (Ali Imran,3:85)
Berkata Luqman Al-Hakim : "Jika di dunia ini kamu
memiliki hanya satu, maka satu-satunya itu hendaklah agama". Pepatah Arab ada menyebutkan : "Manusia tanpa agama, bagaikan
kuda tanpa kekang (hidup liar dan tidak terkawal)".
2. Islam adalah nasihat. Maksudnya : Agar kehidupan manusia
terkawal maka agama sangat berguna untuk mengawal agar ia menjadi insan yang
baik dan sempurna dan selanjutnya mendapat keredhaan Allah. Agama sangat
berperanan membimbing manusia agar menjadi insan yang cemerlang dan bahagia di
dunia dan di akhirat. Dan kita mesti ingat bahawa rujukan utama agama Islam
adalah Al-Quran dan Sunnah Rasul SAW.
3. Ketika Nabi SAW ditanya : Bagi siapa ? Lalu baginda SAW
menjawap : Bagi Allah. Ini tidak bermaksud Allah memerlukan nasihat ! tetapi
maksudnya : Kita mestilah beriman dan mentauhidkan Allah, jangan buat syirik,
buat suruhanNya dan jauhi laranganNya, mensyukuri nikmatNya dan mengharap
redhaNya; Bagi KitabNya, yakni beriman kepada Al-Quran dan menjadikannya sebagai
panduan hidup; Bagi RasulNya, beriman kepada Nabi Muhammad SAW, mencintainya,
dan menjadikannya sebagai role model dan teladan dalam segala urusan agama,
mencintai sesiapa yang mencintainya dan memusuhi sesiapa saja yang memusuhinya
dan sunnahnya.
4. Adapun maksud bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin pula
ialah menolong dan menyokong mereka dalam perkara-perkara kebenaran dan
keadilan serta patuh kepada mereka dalam urusan kebenaran. Tegur mereka dengan
cara yang baik serta berhikmah dan ingatkan mereka ketika lalai melaksanakan
kewajipan. Sedangkan bagi orang awam kaum muslimin pula, ialah membimbing
mereka ke jalan yang benar, mengawasi mereka daripada jalan yang salah atau
sesat, bertolong-tolongan dalam perkara-perkara kebaikan dan ketakwaan, saling
hormat menghormati dan saling sayang menyayangi.
4. Walau
nasihat itu berguna, namun jika tersalah caranya boleh membawa bencana. Oleh itu, ketika memberi nasihat kita
perlu bijaksana dan tahu caranya. Pepatah Arab ada menyebut: " Memberi nasihat di khalayak
ramai adalah suatu penghinaan". Rasulullah SAW bersabda : Hak muslim
terhadap muslim lain ada enam, (satu diantaranya) : "Jika salah seorang
saudara seagamamu meminta nasihat, maka berilah dia nasihat" (Riwayat
Muslim). Hanya saja menurut Imam Al-Nawawi dalam syarahannya : Nasihat perlu
diberikan kepada muslim jika dia meminta nasihat, hanya dalam hal-hal keduniaan
seperti pertanyaannya tentang pribadi orang yang dia ingin menjadikannya
sebagai rakan kongsi dalam urusan perniagaan, tetapi jika kita melihat
kesalahan dalam urusan agama, maka kita wajib menegurnya atau memberinya
nasihat walaupun muslim itu tidak meminta nasihat.
5. Nasihat menurut bahasa Arab memilki tiga makna :Pertama
ialah menjahit/menampal : ( نَصَحَ الثَّوْبَ ) : Dia menjahit/menampal baju; kemudian Menyaring/menapis
( نَصَحَ
العَسْلَ ) : Dia menyaring/menapis madu; dan seterusnya Ikhlas ( تَوْبَةً
نَصُوْحًا ) : Taubat yang ikhlas. Jika kita rangkumi ketiga-tiga
makna tersebut, maka suatu nasihat mestilah memenuhi tiga sifat, iaitu :
Pertama nasihat mestilah ke arah memperbaiki atau kesempurnaan diri orang yang
dinasihati sebagaimana peranan jahitan atau tampalan baju yang koyak. Kemudian
ketika memberi nasihat hendaklah menggunakan kata-kata yang baik-baik atau
ditapis dan diseleksi, bukan asal cakap yang boleh menyinggung perasaan orang
yang dinasihati. Dan ketiga suatu nasihat hendaklah diberi dengan niat yang
ikhlas, bukan cari pengaruh atau pujian atau keuntungan duniawi.
6. Muslim/muslimat jika mendapat nasihat dari seseorang,
sama ada dari Ibu Bapa, para guru, para ustaz atau para ulama dan pendakwah,
hendaklah menerimanya dengan baik dan berusaha untuk mematuhinya. Lebih-lebih
lagi jika nasihat itu memenuhi semua kriteria di atas dan berdasarkan Al-Quran
dan Sunnah Rasul. Oleh itu, umat Islam tidak seharusnya memilki
sifat kafir tersebut, tetapi selalu " Sami'naa Wa Ata'naa
". Allah SWT menggambarkan ciri-ciri orang kafir dalam
firmanNya :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ
تُنذِرْهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir itu, sama saja bagi mereka,
engkau beri peringatan atau engkau tidak beri peringatan, mereka tetap saja
tidak mau percaya (beriman) (Al-Baqarah,2
: 6)
7. Rasulullah s.a.w bersabda dalam wasiatnya sebelum wafat
: " Bertakwalah
kamu kepada Allah, dan dengarlah, dan patuhilah, walaupun yang menyampaikan
(nasihat atau kebenaran itu) seorang hamba abdi berbangsa Habsy".
Wasiat ini mengandungi pengajaran : 1. Untuk mencapai derjat takwa, seseorang
itu mestilah suka mendengar dan mematuhi (kebenaran) yang didengarnya itu. 2.
Kebenaran yang disampaikan wajib dipatuhi tanpa mengira siapapun yang
menyampaikannya, walau dari orang yang tidak mempunyai status seperti hamba
abdi berbangsa Afrika.
والله أعلمُ بالـصـواب