Agak lama saya tidak menulis berkaitan dengan isu semasa, perkembangan dunia dan penulisan santai separa ilmiah. Kebelakangan ini masa untuk menulis digunakan sepenuhnya untuk berkongsi ilmu dengan penuh ilmiah dan bermanfaat. Sedaya upaya juga diri ini menulis berdasarkan ilmu, kemampuan diri dan masa yang ada. Tambahan penulisan saya tidaklah terlalu berat untuk difahami kerana seboleh mungkin saya cuba menggunakan struktur ayat yang mudah dan ringkas agar mesej daripada penulisan saya ini dapat difahami sebaiknya.
Terpanggil untuk mengimbangi penulisan saya dengan sesuatu yang lebih ringan dan santai, maka saya mendapat idea untuk mewujudkan sebuah topik baru iaitu Jejak Maya dan Palestin. Jejak Maya khusus untuk saya memberi komentar, pandangan, idea, kritikan dan sebagainya terhadap mana-mana laman web atau blog yang saya kunjungi manakala topik Palestin pula khusus untuk saya muatkan pernulisan dan makalah (Artikel) berkaitan dengan Palestin kita.
Dan untuk itu, penulisan kali ini menggabungkan kedua-dua topik tersebut kerana kebetulan terlintas di minda saya untuk menulis tentang sebuah laman web yang menurut saya cukup baik, bagus dan bermanfaat. Laman yang saya maksudkan ialah:
Laman ini adalah sebuah web milik sukaralewan Malaysia yang menumpukan kerja-kerja amal seperti menghantar bantuan kewangan, makanan, pakaian dan pelbagai pertolongan yang mampu daripada rakyat Malaysia kepada saudara segama kita di Palestin.
Profil Aman Palestin
Pembentukan Negara Haram Israel pada 15 Mei, 1948 di bumi Palestin 64 tahun lalu telah mengundang malapetaka besar di mana dunia mulai menyaksikan kekejaman rejim Zionis memalui pertempuran demi pertempuran yang mengakibatkan beribu-ribu warganegaranya gugur syahid, jutaan pelarian yang meninggalkan tanahairnya sendiri berhadapan masalah pengangguran dan cacat anggota. Tidak kurang juga anak-anak menjadi yatim kerana kehilangan ibubapa dan isteri menjadi janda kerana kehilangan suami yang terkorban mempertahankan Palestin dari terus dijajah dan dicabuli.
Penderitaan dan kesengsaraan berpanjangan yang ditanggung rakyat Palestin menjadi satu keinsafan bagi umat Islam menghulurkan bantuan.
Justeru itu, Aman Palestin sebagai Inisiatif Keamanan Palestin bergerak atas tiga landasan iaitu:
- Kemanusiaan
- Persaudaraan
- Kesucian Baitul Maqdis
Aman Palestin memberi bantuan kecemasan, kebajikan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestin secara berterusan sehingga selesai. Aman Palestin mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Aman Palestin sentiasa berusaha memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat Malaysia tidak sahaja sampai malah kesemua bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin di Palestin.
Pada 3hb. Januari 2006, pendaftaran Aman Palestin telah diluluskan secara rasmi dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama AMAN PALESTIN BERHAD sebagai sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan (non-profit organisation) bagi membantu rakyat Palestin secara kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.
Semenjak ditubuhkan, Aman Palestin telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk projek-projek kepada rakyat Palestin di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan dan sumbangan daripada orang ramai. Diharapkan agar keperihatinan yang berterusan oleh rakyat Malaysia dalam menyalurkan bantuan dapat memberikan sinar harapan dan membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin.
Dipetik daripada Profil Aman Palestin ; http://www.amanpalestin.net/salam.php?kategori=profil
Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga Aman Palestin, anda boleh berbuat demikian dengan menjadi ahli menerusi laman ini. Cuma klik pada ruangan Daftar Ahli, dan anda boleh memilih untuk mendaftar sebagai ahli biasa Aman Palestin mahupun sebagai Sukarelawan Aman Palestin. Kedua-duanya mempunyai perbezaan dari sudut sumbangan keahlian dimana Sukarelawan lebih khusus bantuan dan gerak-kerjanya berbanding ahli biasa.
Anda juga boleh menyumbang derma dengan mudah melalui Aman Palestin. Tidak perlu lagi ke pejabat Aman Palestin, kini semuanya dihujung jari anda sahaja, insyaAllah.
Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai isu yang berkaitan dengan konfik yang berlaku di Palestin dengan mengambil sedikit masa membaca buku yang dimuatkan diruangan Maktabah berjudul Eye Of Palestin. InsyaAllah banyak manfaat dan ilmu baru yang akan kita perolehi darinya.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengimarahkan dan menjadi ahli berdaftar bersama Aman Palestin sebagai tanda sokongan dan usaha untuk membantu membela nasih saudara mara kita disana. Walaupun ia tampak kecil dan mudah dimata manusia, kita mengharapkan ia menjadi amalan yang besar dan mulia disisi Allah subhanahu wa ta'ala insyaAllah. Saranan saya, luangkan sedikit masa untuk menjenguk dan mengenali lebih dekat dengan Aman Palestin, insyaAllah kita akan mendapati betapa mulianya perjuangan dan usaha mereka ini. Dan kita turut membantu sekadar yang termampu.
Moga Allah permudahkan usaha kita semua dan meredhainya, amin.
والله أعلم بالـصـواب