Halaman

Selasa, 23 Julai 2013

Ikhlas Beramal Kerana Allah


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




IKHLAS merupakan suatu perkara yang amat berkait rapat dengan ajaran Islam. Bahkan ia merupakan tunjang dan antara syarat utama sesuatu amalan itu diterima oleh Allah SWT. Islam merupakan agama yang suci lagi mulia. Disebabkan itu Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan penuh keikhlasan kerana ia merupakan tanda tulusnya agama dalam diri seorang Muslim.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Padahal mereka tidak diperintahkan, melainkan untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus. Dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

Niat dan ikhlas merupakan amalan hati yang berhubung terus kepada Allah SWT. Setiap amal perbuatan yang dilakukan akan dinilai oleh Allah berdasarkan apa yang telah ia niatkan tanpa mengira siapa pun dirinya dan kedudukan yang ada padanya.

Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya semua amal perbuatan dinilai mengikut niat dan setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dan wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrahnya itu. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengandungi mesej, pelajaran dan hukum yang besar buat umat Islam. Di dalam hadis ini disebutkan bahawa setiap orang itu dinilai baik dan buruknya berdasarkan kepada apa yang diniatkannya. Imam As-Syafie menyebutkan bahawa hadis ini merupakan satu per tiga daripada ilmu dan ia merupakan 70 cabang dalam ilmu fiqh. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali pula berkata bahawa hadis ini merupakan salah satu hadis yang menjadi tiang agama Islam.

Ketaatan tanpa keikhlasan menunjukkan ketidaksempurnaan dalam mengabdikan diri kepada-Nya. Ikhlas dituntut oleh Allah SWT tanpa mengira latar belakang seorang hamba. Baik dirinya itu seorang Muslim yang serba kekurangan dan miskin mahupun seorang yang kaya raya, para mufti dan ustaz, para pemimpin ataupun majikan, kesemua yang bergelar Islam diperintahkan untuk taat kepada Allah dengan ikhlas.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu dan tidak pula kepada rupa bentuk kamu. Akan tetapi Dia melihat kepada keikhlasan hati kamu. (riwayat Muslim)

Sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya amat luas terbentang. Segala kenikmatan yang ada pada manusia dalam hidup mereka merupakan kurniaan yang dipinjamkan oleh-Nya sebagai tanda kasih-Nya kepada manusia. Antara tanda lain akan kebesaran rahmat Allah adalah dengan ganjaran yang diberikan-Nya ke atas niat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130411/ba_04/Ikhlas-beramal-kerana-Allah#ixzz2Zr9BQivL
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 11/04/2013
 


 والله أعلم بالـصـواب