بسم الله الرحمن الرحيم
Pengetahuan mengenai jenis-jenis kitab hadith dan pembahagiannya amat penting untuk mengetahui manhaj penyusunan dan penulisan seseorang Imam. Setiap kitab hadith mempunyai manhaj (method/kaedah) penulisan yang tertentu. Pembahagian ini bertitik tolak daripada sejarah pembukuan hadith yang dilakukan di awal-awal zaman pembukuan hadith sebelum ia disaring dan disusunkan dengan lebih kemas dan teratur.
Antara jenis-jenis atau metod penyusunan kitab hadith ialah:
1. Al-Masanid (المسانيد)
Al-Masanid ialah kata jamak daripada perkataan sanad. Ia bermaksud sesebuah kitab hadith yang mengumpulkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum ajma'in. Antara cara penyusunan kitab hadith ini ialaha dengan menyusunan mengikut turutan abjad nama para sahabat, tahun mereka masuk Islam, nama kabilah mereka, nama negeri mereka dan sebagainya.
Ia juga boleh disusun mengikut nama seorang sahabat contohnya Musnad Abu Bakar As-Siddiq, Musnad Abu Hurairah, Musnad Aisyah dan sebagainya. Ia juga boleh disusun mengikut jenis sebahagian sahabat seperti Musnad sepuluh sahabat yang dijamin syurga yang mengandungi hadith-hadith yang diriwayatkan oleh sepuluh orang sahabat-sahabat yang masuk syurga sahaja.
Kitab yang ditulis dalam metod ini cukup banyak. Al-Kitani menyebutkan dalam kitabnya Al-Risalah Al-Mustatharrifah bahawa terdapat hampir 82 kitab yang ditulis dalam metod ini antaranya ialah:
- Musnad Abu Daud Sulaiman bin Daud Al-Thayalisi atau lebih dikenali sebagai Musnad Al-Thayalisi (wafat 204 Hijrah)
- Musnad Asad bin Musa Al-Umawi (wafat 212 Hijrah)
- Musnad Abi Bakar Abdullah bin Az-Zubair Al-Humaidi (wafat 219 Hijrah)
- Musnad Musaddad bin Musarhad Al-Asadi Al-Basri (wafat 228 Hijrah)
- Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 Hijrah)
- Musnad 'Abd Ibn Humaid (wafat 249 Hijrah)
- Musnad Abu Ya'la Ahmad bin Ali Al-Mathna Al-Mawsili (wafat 307 Hijrah)
- Musnad As-Syamiyyin oleh Imam Al-Tabarani (wafat 360 Hijrah)
Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, kitab ini disusun mengikut susunan sahabat. Disebabkan itu ia sukar untuk mencari hadith-hadith berkaitan fiqh kerana ia tidak disusun mengikut susunan bahasan fiqh seperti mana kitab As-Sunan. Selain daripada itu, ia juga tidaklah memfokuskan kepada hadith-hadith yang maqbul (Sahih dan Hasan) sahaja kerana ia bukan tujuan kitab Masanid. Disebabkan itu, hadith-hadith yang ada di dalam kitab Masanid bercampur antara hadith Sahih, Hasan, dan juga Dhaif.
Terdapat juga kitab-kitab yang dinamakan dengan Musnad tetapi hadith-hadithnya disusun dalam bentuk As-Sunan iaitu mengikut perbahasan fiqh dan tidak disusun mengikut urutan nama sahabat. Contohnya ialah Musnad As-Syafie, Musnad Ibn Mubarak, Musnad Abu Hanifah dan sebagainya. Kitab-kitab ini tidak termasuk dalam kategori Musnad sepertimana yang dimaksudkan.
2. Al-Ma'aajim (المعاجم)
Al-Ma'aajim ialah jamak dari perkataan Al-Mu'jam. Menurut istilah ahli hadith mu'jam ialah kitab yang disusun hadith-hadithnya mengikut musnad-musnad sahabat, guru-guru, negeri dan seterusnya. Kebiasaannya ia disusun mengikut huruf mengikut turutan huruf dan kelihatan seperti ensiklopedia. Berikut merupakan kitab-kitab Ma'aajim yang utama antaranya ialah:
- Mu'jam As-Sahabah oleh Abu Ya'la Al-Mawsili (wafat 307 Hijrah)
- Al-Mu'jam Al-Kabir oleh Imam Al-Thabarani (wafat 360 Hijrah). Kitab ini disusun mengikut nama-nama sahabat radhiallahu 'anhum. Ia mengandungi hampir 60,000 hadith. Menurut Syaikh Mahmud Tahhan, kitab ini merupakan kitab Mu'jam yang paling besar dan ia paling layak disebut sebagai Mu'jam berdasarkan banyaknya hadith yang terkandung di dalamnya.
- Al-Mu'jam Al-Awsat oleh Imam Al-Thabarani juga. Kitab ini berbeza dengan kitab yang sebelumnya kerana ia disusun mengikut nama guru-guunya, bukan mengikut urutan nama para sahabat. Hadith yang terkandung di dalamnya mencecah 9485 buah.
- Al-Mu'jam Al-Saghir oleh Imam Al-Thabarani. Ia kitab Mu'jam miliknya yang paling kecil, sesuai dengan nama yang diberikannya.Hadith di dalamnya juga disusun mengikut nama para gurunya seramai 1000 orang mencakupi hadith sebanyak 1200.
- Mu'jam Al-Sahabah oleh Ibn Lal Al-Hamdani (wafat 398 Hijrah)
3. Al-Atraf (الاطراف)
Ia ialah jamak dari perkataan torf yang yang bermaksud hujung, potongan, pangkal atau bahagian awal. Kitab-kitab al-Atraf ialah kitab-kitab hadith yang menyusun hadith-hadith sama ada daripada sebuah kitab atau daripada banyak kitab-kitab hadith yang lain dengan meringkaskan yakni menyebut sebahagian lafaz awal matan hadith sahaja.
Ia disusun menurut nama-nama sahabat dan disusun pula mengikut huruf mu'jam (alif, ba, ta...). Di bawah setiap nama sahabat itu akan dinyatakan atraf hadith-hadith yang diriwayatkannya sama ada daripada satu kitab hadith yang utama atau beberapa buah kitab hadith.
Kelebihan kitab Al-Atraf ialah memudahkan pembaca untuk mengetahui pelbagai sanad-sanad hadith di dalam satu himpunan, mengetahui pengarang yang meriwayatkan hadith itu dan dari bab apakah hadith itu dikeluarkan. Selain itu kita juga dapat mengenal pasti bilangan hadith bagi setiap sahabat yang dinyatakan dalam Al-Atraf tersebut. Contoh kitab jenis ini ialah:
- Atraf As-Sahihain oleh Abu Muhammad Khalaf Al-Wasiti (wafat 401 Hijrah). Ia melibatkan dua kitab sahih iaitu Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim sahaja.
- Atraf Al-Kutub As-Sittah oleh Abu Fadl Muhammad bin Tahir Al-Maqdisi (wafat 507 Hijrah). Ia melibatkan enam buat kitab hadith sebagaimana namanya iaitu kitab Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Al-Tirmizi, Sunan An-Nasai dan Sunan Ibn Majah.
- Tuhfah Al-Asyraf bi Ma'rifah Al-Atraf oleh Imam Al-Mizzi (wafat 742 Hijrah). Ia juga melibatkan kutub al-Sittah (kitab hadith yang enam) serta ditambah dengan beberapa kitab hadith yang lain.
- Atraf Sahih Ibn Hibban oleh Abdulrahman bin Al-Husain Al-'Iraqi (wafat 806 Hijrah). Ia melibatkan sebuah kitab sahaja iaitu Sahih Ibn Hibban.
- Ithaf Al-Maharah bi Atraf Al-'Asyarah oleh Ahmad bin Ali bin Hajar Al-Asqalani (wafat 852 Hijrah). Ia disusun melibatkan 10 buah kitab hadith selain kuttub as-sittah iaiatu kitah Sunan Al-Darimi, Sahih Ibn Khuzaimah, Muntaqa Ibn Jarud, Musnad Abi 'Awanah, Sahih Ibn Hibban, Mustadrak Al-Hakim, Sunan Al-Daraquthni, Syarh Ma'aani al-Athar Al-Tahawi, Muwatta' Imam Malik, Musnad As-Syafie dan Musnad Ahmad.
- Dhakha'ir al-Mawarith fi al-Dilalah 'ala Mawadi' al-Hadith oleh Abd al-Ghani bin Ismail an-Nablusi (wafat 1143 Hijrah). Ia melibatkan kuttub as-sittah dan Muwatta' Imam Malik.
4. Jawami' (الجوامع)
Al-Jawami' berasal daripada perkataan jama', jami'. Ia bermaksud kitab hadith yang disusun hadithnya mengikut mencakupi pelbagai atau semua bab-bab penting dalam agama seperti Aqidah, Taharah, Muamalat, Sirah. Manaqib, Tafsir Al-Quran, Raqaiq (hadith berkaitan perkara yang melembutkan hati), Fitan (hadith fitnah akhir zaman) dan sebagainya. Kebiasaannya kitab berbentuk ini mencakupi hadith-hadith ahkam seperti kitab sunan namun ianya lebih luas mencakupi bab-bab selain daripada fiqh.
Antara kitab dalam kategori ini ialah:
- Al-Jami' As-Sahih karya Imam Al-Bukhari (wafat 256 Hijrah) atau nama penuh kitabnya Al-Jami' Al-Musnad As-Sahih Al-Mukhtasar min Umuur Rasulullah wa Ayyamihi.
- Al-Jami' As-Sahih karya Imam Muslim (wafat 261 Hijrah)
- Al-Jami' As-Sahih karya Imam Al-Tirmizi (wafat 279 Hijrah)
- Al-Jami' Abdul Razzaq
- Al-Jami' Sufyan Al-Thauri
- Al-Jami' Sufyan ibn Uyainah
- Al-Jami Ma'mar dan sebagainya
5. As-Sunan (السنن)
Kitab jenis ini hadithnya disusun mengikut bab-bab perbahasan fiqh dan umumnya mempunyai banyak hadith-hadith ahkam. Kebanyakan kitab-kitab ini disusun mengikut perbahasan fiqh dimana hadith-hadith di dalamnya dimuatkan dengan bab-bab fiqh seperti bab taharah, iman, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Perbezaannya dengan kitab jenis Jawaami' ialah kitab Sunan lebih memfokuskan hadith-hadith hukum dan kebiasaanya tidak memuatkan hadith-hadith seperti sirah, manaqib, tafsir dan sebagainya.
Antara kitab Sunan yang masyhur ialah:
Antara kitab Sunan yang masyhur ialah:
- Sunan As-Syafie (wafat 204 Hijrah)
- Sunan Al-Darimi (wafat 25 Hijrah)
- Sunan Abu Daud (wafat 275 Hijrah)
- Sunan Ibn Majah (wafat 275 Hijrah)
- Sunan An-Nasai (wafat 303 Hijrah)
- Sunan Ad-Daraquthni (wafat 385 Hijrah)
- Sunan Al-Baihaqi (458 Hijrah)
6. Al-Musannafat (المصنفات)
Jama' daripada perkataan al-Musannif. Menurut ulama' hadith kitab ini ialah kitab hadith yang disusun mengikut perbahasan fiqh seperti As-Sunan tapi ia turut memuatkan hadith-hadith selain hadith marfu'. Ia turut mengandungi hadith mauquf dan maqtu' (athar sahabat dan tabi'in). Berbeza dengan kitab as-Sunan yang lebih banyak memuatkan hadith-hadith marfu' (bersambung dengan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam). Antara kitab dalam kategori ini ialah:
Jama' daripada perkataan al-Musannif. Menurut ulama' hadith kitab ini ialah kitab hadith yang disusun mengikut perbahasan fiqh seperti As-Sunan tapi ia turut memuatkan hadith-hadith selain hadith marfu'. Ia turut mengandungi hadith mauquf dan maqtu' (athar sahabat dan tabi'in). Berbeza dengan kitab as-Sunan yang lebih banyak memuatkan hadith-hadith marfu' (bersambung dengan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam). Antara kitab dalam kategori ini ialah:
- Al-Musannaf karya Hammad bin Salamah Al-Basri (wafat 167 Hijrah)
- Al-Musannaf karya Waqi' bin Jarrah Al-Kufi (wafat 196 Hijrah)
- Al-Musannaf karya Abu Bakar Abdurrazaq As-San'aani (wafat 211 Hijrah)
- Al-Musannaf karya Ibn Abi Syaibah (wafat 235 Hijrah)
- Al-Musannaf karya Baqi in Makhlad Al-Qurtubi (wafat 276 Hijrah)
7. Al-Muwatta'at (الموطآت)
Ia bermaksud kitab hadith yang bermaksud memudahkan (muwatta'). Definisi al-Muwatta' menurut ulama' hadith sama seperti kitab berbentuk al-Musannafat iaitu sebuah kitab hadith yang disusun menurut perbahasan fiqh dan turut memuatkan bukan sahaja hadith marfu' malah hadith-hadith mauquf dan maqtu'. Bezanya hanyalah dari segi penisbahan namanya sahaja.
Antara karya yang terkenal dalam bentuk ini ialah:
Antara karya yang terkenal dalam bentuk ini ialah:
- Al-Muwatta' karya Ibn Abi Zi'b Muhammad bin Abdulrahman Al-Madani (wafat 158 Hijrah)
- Al-Muwatta' karya Imam Malik bin Anas Al-Madani (wafat 179 Hijrah)
- Al-Muwatta' karya Ibrahim bin Muhammad Al-Aslami (wafat 184 Hijrah)
- Al-Muwatta' karya Abdullah bin Wahb Al-Misri (wafat 197 Hijrah)
- Al-Muwatta' karya Abdullah bin Muhammad Al-Mawarzi (wafat 293 Hijrah)
8. Al-Mustakhrajat (المستخرجات)
Kitab ini memfokuskan kepada hadith-hadith yang dikeluarkan daripada kitab-kitab hadith tertentu lalu diriwayatkan semula dengan sanad yang lain, bukan dengan sanad penulis asal. Selain daripada itu, kitab ini turut mengekalkan bab-bab mengikut susunan kitab-kitab yang asal. Antara karya Al-Mustakhraj ialah:
- Al-Mustakhraj 'ala Sahih Al-Bukhari karya Abu Bakar Al-Ismaili (wafat 295 Hijrah)
- Al-Mustakhraj 'ala Sahih Muslim karya Abu awanah Al-Isfarayini (wafat 316 Hijrah)
- Al-Mustakhraj 'ala Sunan Abu Daud oleh Muhammad bin Abdul Malik Al-Qurtubi (wafat330 Hijrah)
- Al-Mustakhraj 'ala Al-Sahihain oleh Abu Nu'aiam Al-Asfahani (wafat 430 Hijrah)
9. Al-Mustadrakat (المستدركات)
Al-Mustadrak bermaksud yang ditambah. Kitab ini mengumpulkan hadith-hadith yang menepati syarat-syarat pengarang sesebuah kitab hadith yang tertentu tetapi pengarang tersebut tidak memuatkannya di dalam karyanya itu. Oleh itu, hdith-hadith yang menepati syarat mereka dimuatkan dalam sebuah kitab, itulah yang dinamakan sebagai Al-Mustadrak. Contoh karya dalam kategori ini ialah:
Al-Mustadrak bermaksud yang ditambah. Kitab ini mengumpulkan hadith-hadith yang menepati syarat-syarat pengarang sesebuah kitab hadith yang tertentu tetapi pengarang tersebut tidak memuatkannya di dalam karyanya itu. Oleh itu, hdith-hadith yang menepati syarat mereka dimuatkan dalam sebuah kitab, itulah yang dinamakan sebagai Al-Mustadrak. Contoh karya dalam kategori ini ialah:
- AL-Ilzamat oleh Ali bin Umar Al-Daraquthni (wafat 385 Hijrah)
- Al-Mustadrak 'ala Sahihain oleh Imam Al-Hakim (wafat 405 Hijrah).
- Al-Mustadrak 'ala Sahihain karya Abu Zar Abd bin Ahmad Al-Harawi (wafat 434 Hijrah)
10. Al-Majami' (المجامع)
Jamak daripada perkataan Majma' yang bermaksud himpunan. Kitab ini mengumpukan hadith-hadith daripada sejumlah kitab-kitab hadith yang asal.
- Al-Jam' baina al-Sahihain karya Al-Humaidi (wafat 488 Hijrah)
- Al-Jam' baina al-Sittah karya Razin Al-Saraqusti Al-Andalusi (wafat 535 Hijrah)
- Jami' Al-Masanid bin Alkhas al-Asanid karya Ibn Al-Jauzi (wafat 597 Hijrah)
- Jami' al-Usul min Ahadith al-Rasul karya ibn Athir Al-Jazari (wafat 606 Hijrah)
- Misykat Al-Masabih karya Al-Khatib Al-Tibrizi (wafat 742 Hijrah)
- Jami' Al-Masanid wa al-Sunan karya Ibn Kathir Al-Dimasyqi (wafat 774 Hijrah)
11. Az-Zawaid (الزوائد)
Jamak daripada perkataan az-Zaid yang bermaksud tambahan. Kitab jenis ini menghimpunkan hadith-hadith tambahan daripada sesebuah kitab hadith atau lebih daripada sebuah yang tidak terdapat dalam mana-mana kitab lain dalam kumpulan hadith-hadith tertentu. Antara kitab jenis ini ialah:
- Misbah Az-Zujajah fi Zawaid ibn Majah karya Al-Hafiz Al-Busiri (wafat 840 Hijrah)
- Ithaf as-Sadah al-Maharah al-Khayarah bi Zawaid 'al-Masanid al-Asyarah juga karya Al-Hafiz al-Busiri.
- Al-Matalib al';Aliyah bi Zawaid al-Masanid al-Thamamah oleh Al-Hafiz ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852 Hijrah)
- Ghayah Al-Maqsad fi Zawaid Musnad Ahmad karya Ali bin Abu Bakar Al-Haithami (wafat 807 Hijrah)
- Kasyf al-Astar an Zawaid Musnad Al-Bazzar juga karya Al-Haithami
- Majma' Zawaid wa Manba' al-Fawaid juga karya Al-Haithami
- Mawarid al-Zam'an ila Zawaid Sahih Ibn Hibban juga karya Al-Haithami
Selain daripada jenis yang disebutkan ini, terdapat juga kitab-kitab hadith yang disusun secara tematik iaitu mengikut tema-tema tertentu seperi kitab hadith ahkam yang mengumpulkan hadith-hadith hukum sahaja, kitab Az-Zuhud, Targhib wa tarhib, Al-Jihad, Ad-Du'a, Al-Arbain dan sebagainya.
والله أعلم بالـصـواب