Halaman

Isnin, 13 Jun 2016

Masalah Gosok Gigi Ketika Berpuasa

Soalan:

*Klik gambar untuk paparan lebih jelas jika membaca dari smartphone.







Ad-Dien Menjawab:








Isu ini dibahaskan disisi para fuqaha' dalam bab bersiwak bagi orang yang berpuasa. Di zaman ini bersiwak atau menggosok gigi menggunakan ubat gigi moden termasuk dalam perbahasan yang sama. Ulama' berbeza pendapat dalam isu bersiwak/menggosok gigi selepas waktu zawal (Zohor).



Pendapat pertama: Boleh bersiwak/gosok gigi bagi orang yang berpuasa pada seluruh waktu siang baik sebelum zawal (waktu pagi hingga sebelum Zohor) atau selepas waktu zawal (zohor hingga petang sebelum maghrib). Ini ialah pandangan mazhab Hanafi dan Maliki. Mereka berhujjah dengan hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan bersiwak yang tidak terikat dengan waktu yang khusus. Antaranya sabda Nabi:

لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ
"Kalaulah tidak memberatkan ummatku nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk bersiwak." [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim; ini adalah lafaz Muslim]


Pendapat kedua: Boleh bersiwak/gosok gigi sebelum waktu zawal (sebelum Zohor) dan makruh jika orang yang berpuasa menggosok gigi atau bersiwak selepas waktu Zohor. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie dan Hanbali.

Mereka berhujjah dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ المِسْكِ
"Demi diriku yang berada dalam genggaman tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum disisi Allah daripada bau haruman kasturi." [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Mulut orang yang berpuasa yakni perut yang kosong kebiasaannya memang sedikit berbau dan bau itu bukanlah sesuatu yang disengajakan melainkan ianya hikmah daripada berpuasa itu sendiri. Menurut mereka, perbuatan menggosok gigi akan mengurangkan sifat bau mulut orang yang berpuasa.


Sketsa Muhasabah Bersama




Kesimpulan:

Masalah ini merupakan masalah yang diperselisihkan oleh ulama'. Ia khilaf yang muktabar. Seseorang itu boleh memilih pandangan mana yang menurut mereka lebih kuat dan yakin untuk diamalkan berdasarkan hujjah dan ilmu yang ada.

Apabila telah memilih pandangan tertentu, tidak boleh menyalahkan atau merendah-rendahkan orang yang berbeza pandangan dengannya kerana ianya merupakan khilaf yang muktabar disisi para ilmuan Islam itu sendiri.


Wallahua'lam
Dijawab Pada 08/06/2016 | Rabu
03 Ramadhan 1437H