Halaman

Khamis, 18 Ogos 2016

Berpegang Zahir Nas Syarak Dikira Sesat?





Guna Zahir Nas Mengeluarkan Seseorang Dari Ahli Sunnah wal Jamaah?
___________

Sebahagian orang mendakwa bahawa mereka yang berpegang kepada zahir Al-Quran dan Al-Hadith sebagai sesat, menyimpang atau terkeluar daripada golongan Ahl Sunnah wal Jamaah. Mungkin dizaman kebelakangan ini kita menemukan sebahagian yang agak "literal" dalam memahami nusus syarak dan tidak mengamalkan qiyas secara meluas sebagaimana yang diamalkan oleh Mazhab Syafie yang diamalkan penduduk negara ini.

Namun, melabel sebagai terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah adalah tidak tepat bahkan salah sama sekali dari prinsip Ahli Sunnah. Jika semata-mata berpegang kepada zahir nas Al-Quran dan Hadith menyebabkan terkeluarnya mereka dari Ahli Sunnah, maka samalah seperti menyatakan sebahagian ulama' Salafussoleh khususnya ulama' Mazhab Az-Zahiri tidak termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah!

Ini kerana Mazhab Az-Zahiri jauh lebih syadid (tegas) dalam berpegang dengan zahir nas Al-Quran dan As-Sunnah bahkan mereka sama sekali tidak berhujah dengan qiyas sebagaimana aimmah Mazhab yang lain. Ibn Hazm Az-Zahiri (wafat 456 Hijrah) berkata:

"Jika kami ditanya bilakah dibenarkan berijtihad dengan dalil (semata-mata)? Kami katakan: "Pada setiap waktu kerana dalil adalah nas dan ijtihad itu adalah mencari hukum Allah dengan Al-Quran dan As-Sunnah sahaja. Kami yakin bahawa sesiapa yang tidak berhujah dengan nas daripada Allah dan Rasulnya, maka dia tidak benar dan ditolak disisi kami. Tidak diterima bagiku hujah daripada Al-Ra'yi dan Al-Qiyas." [Mulakhas Ibtal Al-Qiyas wal Ra'yi wal Istihsan wal Taqlid wal Ta'lil 1/ 41-42]

Sudah tentu menolak qiyas dan berpegang dengan zahir Al-Quran dan Hadith adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip mazhab yang empat namun itu tidaklah mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Ianya disebutkan oleh Abu Mansur Abdul Qahir Al-Baghdadi (wafat 429 Hijrah) ketika membahaskan usul yang disepakati oleh Ahli Sunnah wal Jamaah:

"Dan jika sesiapa yang berpandangan dengan hujah aqal semata-mata dan menolak qiyas dalam furu' hukum-hukum syariat seperti Ahli Zahir (Mazhab Az-Zahiri), maka tidaklah mereka dikafirkan (sebagaimana ahli ahwa' wal dhalal) dengan sebab mereka menginkari qiyas syar'ie." [Al-Farqu Bainal Firaq 1/281]

.......

Kalau kita rujuk pandangan-pandangan Ibn Hazm dalam Al-Muhalla, pasti kita akan menemukan banyak pendapatnya yang literal seolah-olah "tak masuk akal" atau kelakar bagi kita. Itu menunjukkan bahawa method berpegang dengan zahir nas memang diamalkan sebahagian para ulama'.

Mungkin kita tak bersetuju dengan penolakan qiyas disisi Mazhab Az-Zahiri dan praktis ala Mazhab Zahiri yang digunakan sebahagian orang dizaman ini. Namun, untuk melabel mereka yang berpegang dengan zahir nas sebagai sesat, menyimpang dan bukan termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah adalah sesuatu dakwaan yang berat dan tidak adil sama sekali.

Adakah kita sanggup menyesatkan Imam-imam dan pengikut mazhab Az-Zahiri yang jauh lebih rigid dan literal dalam beramal dengan dalil-dalil syarak? Jika tidak, maka mengapa perlu kita melabel orang lain dengan pelbagai gelaran yang buruk hanya disebabkan mereka berpegang dengan pendapat yang kelihatan ala-ala zahiri dalam beberapa keadaan? Sebenarnya jika kita amati dengan cermat, ia hanya diamalkan dalam beberapa permasalahan sahaja. Bukanlah dalam semua keadaan dan tidaklah begitu literal seperti mazhab Zahiri.

Kalaupun kita tidak bersetuju methodologi sedemikian, bersikap adillah dan amanah dalam ilmu lebih baik untuk kita amalkan. Kita bersatu dalam hal yang kita sepakati dan berlapang dada dalam hal yang kita tidak sependapat.


Wallahua'lam.


Tulisan asal di Facebook: