Halaman

Ahad, 8 Januari 2017

Solat Dengan Jin, Adakah Ia Boleh Berlaku?





Beberapa hari lepas saya ditanya oleh netizen tentang solat berjemaah dengan jin, adakah ianya boleh berlaku a.k.a possible? Soalan ini agak ganjil bagi saya sebab tak pernah lagi ditanya tentang hukum-hakam berkaitan jin tapi entah kenapa agak ramai yang bertanya tentangnya.

Rupa-rupanya ada video yang viral (saya tak tahu dari filem apa) yang menunjukkan seorang wanita sedang solat lalu dia merasakan kehadiran suatu makhluk dibelakangnya dan ditunjukkan bahawa jin yang berada dalam bentuk manusia ikut solat dibelakangnya.

Saya sertakan sekali video tersebut bagi yang ingin mengetahui gambarannya. (Amaran! Kalau takut, jangan tengok sebab ramai yang mengeluh takut selepas. Reaksi boleh tengok pada comment FB)



Sebahagian orang tentu pernah mengalami hal yang serupa khususnya ketika solat bersendirian di masjid/surau atau di tempat tertentu yang mana ketika solat, tiba-tiba terasa akan kehadiran seseorang atau sekelompok orang dibelakang kita (tanpa kita menoleh kebelakang).

Saya secara peribadi pernah mengalaminya beberapa kali. Sukar untuk dijelaskan bagaimana kita mengetahui kehadirannya tapi secara fitrah dan naluri seorang manusia, jika ada kehadiran sesuatu dibelakang kita kadang-kala kita dapat merasai kehadiran itu secara naluri.

Kehadiran "mereka" ini biasanya disertai dengan suatu perasaan gementar atau "lain macam". Hanya yang pernah alami akan faham perasaan ketika itu.

Tulisan ini bukan untuk menakutkan tapi untuk berkongsi ilmu berkaitan dengan masalah ini. Saya percaya tentu ada yang belum tahu mengenainya dan mudah-mudahan mendapat ilmu yang bermanfaat, insyaAllah.

Adapun tentang permasalahan ini, sebahagian ulama’ membahaskan isu jin dengan agak terperinci termasuklah isu solat bersama dengan jin. Kebanyakan mereka menaqalkan fatwa daripada tulisan Imam Badruddin As-Syibli Al-Hanafi (wafat 769H) bertajuk Akaam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jann.

Imam Badruddin As-Syibli menyatakan dalam bab ke 26: “Hukum Solat Di Belakang Jin”


نقل ابن أبي الصيرفي الْحراني الحنبلي في فوائده عن شيخه أبي البقاء العكبري الحنبلي أنه سئل عن الجن هل تصح الصلاة خلفه فقال نعم لأنهم مكلفون والنبي صلى الله عليه وسلم مرْسل إليهم والله أعلم 

“Ibn Abi As-Sairafi Al-Harrani Al-Hanbali menaqalkan di dalam kitab fawaidnya daripada gurunya Abu Al-Baqa’ Al-‘Ukbari Al-Hanbali bahawa dia ditanya tentang jin. Adakah sah solat di belakang jin? Maka dia (Al-‘Ukbari) menjawab:

“Ya, kerana mereka para jin adalah mukallaf (golongan yang dipertanggungjawabkan dengan perintah daripada Allah) dan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam juga diutuskan kepada mereka. Wallahua’lam.” [Aakam Al-Marjaan fi Ahkam Al-Jann 1/99]

Imam As-Suyuti (wafat 911H) ketika membahaskan masalah hukum-hakam berkaitan jin juga menaqalkan hal yang sama pada furu’ yang ketiga dan keempat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam As-Syibli. [Al-Ashbah wa An-Nazair 1/258]

Imam Ibn Hajar Al-Haitami As-Syafie ketika membahaskan masalah ini menyebutkan fatwa ulama’ mazhab Hanbali yang menyatakan sah solat jumaat bersama-sama dengan jin. Imam As-Subki memperincikan masalah ini dengan menyebutkan bahawa solat jumaat bersama jin hanya sah jika mereka muncul dengan bentuk fizikal dan bilangannya hendaklah mencukupi setidak-tidaknya 40 orang. [Fatawa Al-Hadithiyyah 1/556]


Adakah wujudnya dalil atau bukti kejadian ini dizaman Nabi?

Jawabnya ya. Kejadian ini pernah berlaku dizaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketikamana dua jin berjumpa Nabi untuk bertanyakan sesuatu masalah yang berlaku dalam kalangan mereka dan bertanyakan tentang syariat kepada bangsa mereka. Kemudian mereka meminta untuk solat bersama-sama dengan Nabi sebelum beredar.

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad pada Musnad Abdullah bin Mas’ud. Hadith ini dari sudut sanadnya bermasalah dan dinilai dhaif oleh ulama’ hadith antaranya Imam Al-Haithami dalam Majma’ Az-Zawaid 8/313, Imam Al-Busiri dalam Ithaf Al-Khairah Al-Mahrah 7/31, Syaikh Syu’aib Al-Arnauth dalam tahqiqnya keatas Musnad Ahmad 7/391 dan sebagainya.

Namun begitu, sebahagian fuqaha’ (ulama' fiqh) berhujjah dengan hadith ini ketika membahaskan masalah hukum hakam berkaitan dengan jin sebagaimana disebutkan diatas.


Kesimpulan:

Solat bersama-sama dengan jin atau jin hadir mengikuti solat manusia adalah sesuatu yang boleh berlaku (possible) berdasarkan pandangan para ulama' diatas.

Wallahua’lam

Faedah Tambahan:

Imam Ibn Hajar Al-Haithami (الهيثمي) penulis kitab Ithaf Al-Khairah Al-Mahrah dan Imam Ibn Hajar Al-Haitami (الهيتمي) penulis kitab Fatawa Al-Hadithiyyah adalah dua orang yang berbeza.

Mereka tidak hidup sezaman.

Imam Ibn Hajar Al-Haithami (الهيثمي) wafat tahun 807H, Imam dalam bidang hadith.

Imam Ibn Hajar Al-Haitami (الهيتمي) wafat tahun, 974H, Fuqaha' (Imam Fiqh) mazhab Syafie.

Persamaannya, kedua-dua mereka adalah Imam kelahiran Mesir.

__________
Ad-Dien Abdul Kadir
Jumaat_06/01/2017

..........