Halaman

Jumaat, 22 Julai 2011

10 Sifat Tauladan Dari Anjing



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua. Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Entri kali ini saya ingin kongsikan kepada semua perihal kisah mulia yang boleh kita contohi dari seekor anjing. Kita sering merasakan anjing adalah haiwan yang kotor kerana telah tersebut akan hakikat najisnya ia dalam syara'. Namun begitu terdapat sifat mulia yang ada pada anjing yang ramai daripada kita tidak tahu. Sesudah anda membaca entri ini, mungkin anda boleh berfikir dan mengambil ibrah (pengajaran) daripadanya. Mungkin juga sifat pada anjing ini lebih baik dari kita sebagai seorang Muslim. ! Anda tidak akan mempercayainya sehingga anda membaca nukilan ini. Sungguh wahai saudaraku, tidaklah Allah menciptakan sesuatu makhluk melainkan tiada suatu pun yang sia-sia dan ia menjadi pelajaran buat mereka yang berfikir.


Kisah ini diceritakan dari Hassan Al-Basri r.a mengatakan bahwa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Pertama : Anjing itu sentiasa lapar,dia jarang makan sampai kenyang. Sifat ini adalah sifat orang-orang soleh dimana mereka tidak berada dalam keadaan terlalu kenyang. Malah sering pula berpuasa.

Kedua :Anjing tidak mempunyai tempat yang tetap.Dia selalu berpindah randah mengikut keperluannya. Sifat ini adalah sifat orang-orang yang bertawakkal kepada Allah. Sering berhijrah ke tempat atau arah yang lebih baik baginya dan Rabbnya.

Ketiga :Anjing tidak tidur pada waktu malam,melainkan sedikit sahaja.Dia selalu berjaga-jaga. Sifat ini sama seperti sifat orang-orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah. Di saat orang dibuai mimpi indah, dia bangun bersengkakng mata bermunajat dan mencari redha Khaliq.

Keempat : Jika anjing mati,dia tiada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewaris. Sifat ini adalah sifat hamba-hamba Allah yang zuhud. Tidak terikat dengan kesenangan dunia. Apa yang ada digukan dengan sederhana. Tidak pernah tergila-gilakan mencari harta dunia seperti kita semua.

Kelima :Anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan dirinya daripada tuannya sekalipun dipukul dan dimarah. Sifat inilah tanda-tanda yang dimiliki oleh para murid yang siddiqin yang sedang belajar dengan Gurunya. idak marah dan tidak merajuk walaupun dia diuji dengan berbagai-bagai ujian. Sabar itu menjadi tunjang atau tulang belakang dirinya.

Keenam :Dia lebih redha dan lebih suka bertempat di tanah,tidur di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia. Ini adalah tanda-tanda orang yang tawadu’, orang-orang yang suka merendah diri dan tidak menyombong. Tidak berharap kepada kemewahan semata-mata, tidak pula mencela dengan kemiskinan dan kesusahan.

Ketujuh :Jika tempatnya diambil alih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, dia pindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau berdendam. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang redha akan bahagiannya.

Kelapan :Jika ia dipukul,dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan,dia menerimanya.Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang lepas. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang kusyuk.

Kesembilan :Jika anjing melihat orang makan,dia melihat saja dari jauh, tidak meminta-minta atau menganggu.Jika diberi makan atau tidak diberi,dia diam sahaja. Inilah sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah s.w.t. Bersyukur apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

Kesepuluh :Jika dia berjalan atau pergi dari tempat asalnya, tidak menoleh-noleh ke belakang. Inilah tanda-tanda orang yang susah. Tidak terikat dengan kesenangan, dan tidak pula memandang tinggi pada kesenangan duniawi.


Bagaimana dengan kita 
semua wahai saudaraku?
Fitrahnya kita adalah khalifah ..
di muka bumi Allah
Namun adakah sifat mulia 
pada makhluk Allah
bernama Anjing ini
dimiliki oleh kita???
fikirlah sejenak, dan ambil lah pelajaran
buat orang-orang yang berfikir..



- Amal Dengan Ilmu -

WADi