Halaman

Sabtu, 23 Julai 2011

Nabi Nuh a.s


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua pembaca WADi sekalian.

Entri kali ini adalah sambungan daripada entri sirah yang lalu. Agak lama saya tidak membuat entri sirah, mungkin  saya tidak perasan, jadi kali ini saya terpanggil untuk berkongsi sebuah kisah Nabi Allah Nuh a.s. Bagi yang ingin membaca kisah sirah sebelumnya sila ke 

Baiklah, sekali lagi saya tekankan bahawa entri sirah saya hanyalah ringkasan sirah sahaja. Anda boleh merujuk sirah lengkap dengan membaca Buku sirah pelbagai  versi dan terbitan di pasaran. InsyaAllah.

Asal usul Keturunan Nabi Nuh a.s

Nabi Nuh a.s adalah dari keturunan yang ke 10 daripada Nabi Adam a.s. Baginda adalah Nabi dan Rasul bagi penduduk di negeri Armenia yang ingkar kepada baginda walaupun dakwahnya telah mencecah beratus tahun lamanya. Adapun yang menyahut seruan baginda itu amat sikit bilangan nya dan mereka terdiri daripada golongan miskin dan orang bawahan.

Nabi Nuh a.s yang juga nabi Ulul Azmi ternyata mempunya kesabaran yang luar biasa. Meskipun diejek, dihina dan dituduh pendusta oleh kaumnya, baginda tetap menyeru mereka ke arah seruan Ilahi dengan penuh kesabaran. Kaum baginda ternyata ingkar meskipun telah diberi ingatan oleh baginda tentang azab dan seksaan Allah bagi mereka yang mungkar. Keangkuhan mereka terserlah apabila mereka dengan sombongnya mencabar Nabi Nuh agar diturunkan azab sebagaimana yang dikatakan oleh baginda.

foto Lakaran Bahtera Nabi Nuh
ilustrasi bahtera Nabi Nuh a.s

Bahtera Binaan Nabi Nuh a.s

Pada suatu hari, Allah memerintahkan Nabi Nuh a.s membina sebuah bahtera yang besar. Dengan taat baginda dan beberapa pengikutnya mengumpul bahan-bahan dan memulakan pembinaan bahtera tersebut. Pembinaan tersebut dilakukan jauh dari kaum baginda yang ingkar dan mereka bertungkus-lumus siang dan malamuntuk menyiapkan bahtera itu. 

Apabila berita mengenai bahtera itu sampai kepada kaum baginda yang ingkar, mereka pantas mengejek dan menghina baginda dan pengikutnya dengan pelbagai hinaan, ceraan dan cemuhan. Ada yang mentertawakan baginda kerana membina bahtera jauh dari pantai. Ada juga yang mengejek baginda sudah berhenti menjadi nabi Allah dan berubah menjadi tukang kayu. Kesabaran tetap menghiasi baginda dan pengikut yang taat. Mereka tetap meneruskan pembinaan bahtera itu sebaik mungkin. Allah s.w.t memerintahkan baginda untuk membawa sepasang bagi setiap jenis binatang. Jantan dan betina. 

Turunnya Banjir Besar Dari Allah

Pada suatu hari hujan turun dengan lebatnya dan air naik dengan cepat sekali hingga berlakunya banjir. Ribut taufan melanda negeri tersebut sepanjang hujan lebat yang tidak berhenti-henti. Seluruh kota dan desa sama ada yang rendah ataupun tinggi habis ditenggelami air. Semuanya musnah hingga air menenggelami bukit bukau yang ada. Anda boleh membayangkan bagaimana dalamnya sehingga melebihi aras ketinggian bukit. 

Semua penduduk di negeri itu dihanyutkan dengan arus yang deras lagi mengerikan. Salah seorang dari mereka ialah anak lelaki Nabi Nuh a.s sendiri bernama Kan'an. Biarpun ayahnya adalah Nabi Allah namun Kan'an tetap ingkar terhadap seruan ayahnya Nabi Nuh a.s. Sebagai seorang ayah sudah pasti akan timbul rasa kasihan terhadap anak kandungnya sendiri. Baginda cuba menyelamatkan anaknya dan melaung kepadanya supaya bertaubat dan menaiki bahtera itu.

Kesan batera baginda di Bukit Judi

 Dalam keadaan seperti itu, anaknya tetap ingkar malah Kan'an mengatakan dia boleh berenang ke bukit yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri. Bayangkanlah betapa angkuhnya Kan'an. Akhirnya, Kan'an ditenggelamkan bersama-sama dengan mereka yang ingkar. Baginda berasa amat sedih lantas mengadu kepada Allah. Allah menjawab kepada baginda supaya jangan bersedih kerana Kan'an bukanlah termasuk dari keluarga baginda tetapi dia termasuk orang yang ingkar kepada Allah s.w.t.

Nabi Nuh Terselamat Dari Banjir Besar

Setelah semua yang ingkar itu tenggelam dalam banjir yang dahsyat itu, tiba-tiba air pun mula beransur surut dan meresap ke bumi. Pada ketika itu bahtera baginda berada di atas sebuah bukit bernama Bukit Judi. Terdamparlah bahtera Nabi Nuh a.s. di atas Bukit Judi. Turunlah baginda dan pengikut yang beriman bersama-sama dengan haiwan yang dibawa. Mereka memulakan hidup yang baru dan baginda meneruskan dakwahnya hingga ke akhir hayatnya. Dikatakan baginda hidup sehingga 950 tahun.

Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah ini. Jangan melampaui batas dan jangan pula mencabar Allah. Sungguh azab Allah itu benar dan sungguh azabnya amat pedih. Moga kita semua sentiasa tergolong dalam hambaNya yang mendapat taufik dan hidayah serta redha dari Allah s.w.t. InsyaAllah


- Amal Dengan Ilmu -


WADi