Masalah kewangan acap kali menghiasi kamar hidup kita. Sesiapa sahaja memerlukan wang untuk digunakan di zaman ini baik untuk membeli barang, membayar perkhidmatan dan sebagainya. Setiap individu yang menggunakan wang juga pasti akan berdepan dengan masalah berkaitan dengan kewangan seperti kekurangan wang, sukar untuk menyimpan, mudah kehabisan wang dan sebagainya. Berikut WADi kongsikan 10 tips dan petua yang mungkin boleh kita sama-sama amalkan.
1. Biasakan diri untuk menyimpan dan mengawal kewangan dalam sebulan secara istiqamah atau berterusan. Memang sukar untuk melatih diri menyimpan duit jika tidak biasa mengamalkannya sebelum ini. Namun hanya dengan menyimpan duit, akan banyak membantu mengurangkan masalah kewangan di masa akan datang. Belajarlah menyimpan secara berkala sama ada setiap bulan, setiap minggu dan sebagainya. Amalkan menyimpan sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan pokok anda. Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit juga simpanan itu bukan.
2. Banyakkan membaca, membeli buku-buku dan majalah berkaitan degan pengurusan kewangan agar kita dapat mengetahui sedikit sebanyak cara-cara yang ideal atau info yang berguna untuk menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi. Selain itu, amalan bertanya kepada mereka yang arif tentang kewangan juga membantu membaiki corak kewangan kita akan datang.
3. Jika sudah berkahwin, amalkan bertanya kepada pasangan anda bagaimana corak atau pola kewangan seperti cara perbelanjaan, tanggungan hutang, dan perkara lain berkaitan dengannya. Ia sedikit sebanyak membantu anda agar lebih "alert" akan hal-hal berkaitan kewangan anda.
4. Banyakkan berbincang dengan rakan-rakan yang tahu atau arif dalam selok-belok kewangan. Manfaatkan ilmu atau pengalaman yang ada daripada mereka jika anda mempunyai rakan-rakan yang menjawat jawatan pegawai bank, penasihat kewangan, juru audit dan sebagainya.
5. Sentiasa berfikir bagaimana kaedah yang dapat dilakukan jika anda akan mengalami masalah kewangan suatu masa nanti. Sentiasa ingat bagaimana cara melindungi diri dan jaminan keluarga apabila berlaku musibah yang tidak dapat dielakkan.
6. Banyakkan berbincang dan mengkaji bagaimana cara untuk meningkatkan pendapatan. Tidak salah jika anda berjinak-jinak ke dalam dunia perniagaan atau bisnes sekalipun anda sudah bekerja disektor awam. Ia bukan sahaja membantu anda dari sudut kewangan semata-mata malah melatih diri untuk bekerja kuat dan gigih untuk mencari rezeki disamping mengekalkan bisnes anda.
7. Pastikan sumber kewangan dan pendapatan adalah dari jalan yang halal kerana disitu letaknya keberkatan. Fenomena dan nafsu terhadap kekayaan sering kali membuatkan manusia mngambil jalan mudah lantas terjebak dalam perkara yang mendatangkan hasil dari jalan yang haram. Ramai yang sudah tidak percaya akan keberkatan yang ada dalam setiap rezeki yang diperolehi alah meremehkan sumber halal atau haram. Faktor ini antara yang terpenting sekali jika anda ingin mengurangkan masalah kewangan. Lihatlah berapa ramai yang punya banyak wang namun tidak pernah berasa puas dan cukup. Adapun mereka yang sedikit harta namun kita lihat mereka sentiasa berasa cukup dan tenang sahaja. Keberkatan menjadi beza antara kedua situasi tersebut.
8. Perbanyakkan amalan yang membersihkan harta seperti zakat,bersedekah, menderma dan memberi hibah (hadiah) kepada mereka yang memerlukan. Amalan-amalan seperti ini mampu membersihkan harta serta menambahkan lagi harta dari jalan yang halal. Salah faham berlaku apabila masih terdapat segelintir masyarakat kita yang menganggap amalan seperti itu menguntungkan si penerima dan merugikan si pemberi. Ia sama sekali salah. Malah dengan amalan itu lah rezeki akan lebih bertambah dan mencurah-curah baik dari jalan yang anda ketahui mahupun jalan yang tidak anda sangkakan.
9. Kawal perbelanjaan anda dan keluarga dengan baik. Kebiasaannya mereka yang mengalami masalah kewangan yang serius adalah mereka yang gagal dalam merancang perbelanjaan dengan baik dan berkesana. Sentiasa bijak dalam membezakan antara keperluan dengan kehendak. Tampak mudah namun ia amat penting. Keperluan adalah perkara asas yang anda perlukan untuk kelangsungan hidup seperti makanan,pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Manakala kehendak adalah perkara yang anda inginkan untuk melengkapi hidup anda seperti alat perhiasan, kenderaan , gadget, dan sebagainya. Jika anda gagal untuk memberi prioriti atau keutamaan antara kedua-dua aspek ini, maka sudah pasti anda akan berdepan dengan masalah kewangan yang tidak anda sangkakan.
10.Sentiasalah bersabar, berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t kerana Dia yang mengatur rezeki kita semua. Yakinlah bahawa Allah Maha Berkuasa, Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada kta semua. KepadaNya sahaja tempat kita memohon pertolongan dan rezeki. Berdoalah dan pintalah sebanyak-banyaknya, jangan kita malu, angkuh dan sombong kerana hanya Allah sahajalah, Tuhan yang memberi rezeki dan kesenangan kepada hambaNya, insyaAllah.
wallahua'lam