Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua pembaca dan semua Muslimin dan muslimat di luar sana. Penulisan untuk kali ini dalam ruangan Fikrah dan Manhaj adalah dimulakan dengan kandungan dari kitab Minhajul Firqatin Najiyah wat Tha'ifah al-Manshurah. Kitab ini mengupas dan membahaskan pelbagai perkara berkaitan tauhid, akidah, al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w.
Siri ini akan mengupas sedikit sebanyak berkaitan golongan yang digelar golongan hidup yang selamat (firqotun Najiyah) dengan cara bantuan daripada Allah s.w.t. Turut berkongsi kaedah-kaedah dan bagaimana cara yang ideal untuk mendapat pertolongan Allah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan ulama terdahulu ketika berhadapan dengan orang kafir baik ketika di medan perang atau sebaliknya.
Turut dimuatkan juga beberapa realiti dan hakikat syirik dan kekufuran yang semakin berleluasa dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Apakah syirik dan kekufuran yang sering dilakukan? Bagaimana ia membawa kepada kehanuran Ummah dan Agama serta persoalan-persoalan lain yang mungkin timbul. Selain daripada membicarakan akan bahaya dan mudaratnya di tengah-tengah masyarakat Islam khususnya, siri ini juga akan mengupas bagaimana langkah atau metod yang sesuai dan yang selari dengan syara' untuk membendung gejala ini. Seperti yang sedia maklum, kesyirikan adalah antara penyebab utama munculnya musibah,bala bencana, peperangan dan kerosakan yang lainnya.
Dengan adanya sedikit perkongsian dari kitab ini, diharap ia dapat menjelaskan sedikit sebanyak perihal manhaj atau prinsip/jalan hidup golongan yang selamat (al-firqatun najiyah). Melalui penulisan ini juga, anda akan didedahkan sedikit sebanyak dengan perkongsian hadith-hadith yang berkaitan yang mungkin belum pernah anda baca atau dengan sebelum ini, wallahua'lam.
Selain itu, pembaca juga akan didedahkan dengan jawapan pada persoalan yang timbul berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Ini kerana memberi jawapan tanpa adanya dalil yang menguatkan sesuatu hujah tampak seperti tidak lengkap. Kerana setiap persoalan ada dalil dan nas yang berkaitan dengannya. Oleh keran itu, penulis akan sedaya upaya untuk memuatkan dalil-dalin dan nas untuk memberikan kepuasaanserta keyakinan kepada setiap kenyataan dan persoalan yang timbul,insyaAllah.