Halaman

Selasa, 31 Januari 2012

Bab 1.1 dan 1.2 : Bid'ah Haqiqi dan Bid'ah Idafi



السلام عليكم



1.1. Bid’ah Haqiqi 

Bid’ah Haqiqi misalnya tawaf di kuburan orang yang sudah meninggal dunia seperti tawaf di Baitullah. Contoh lain misalnya membujang seperti pendeta dengan menganggap dirinya suci. Bid’ah semacam ini tidak banyak terdapat di kalangan masyarakat kita.


1.2. Bid’ah Idafi 



Bid’ah idafi ialah masalah-masalah yang dapat ditinjau dari berbagai segi; dari satu sudut boleh menjadi sunnah tapi dari sudut lain boleh menjadi bid’ah.

Jika dilihat dari satu sudut, kita akan menjumpai bahawa masalah tersebut berlandaskan kaedah yang baik dan nas yang jelas. Tetapi jika dilihat dari sudut lain, kita dapati unsur-unsur bid’ah yang jelas. Contohnya, membaca tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah) dan takbir (Allahu Akbar) sesudah solat. Kesemuanya itu merupakan sunnah dan seluruh ulama sudah menyepakatinya. Tidak satu pun di antara mereka yang menentangnya kerana memang ada dalil-dalil dari beberapa hadis sahih. Bahkan Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya selalu berbuat demikian. Namun mereka melakukannya dengan sendiri-sendiri dan dengan sirr (tersembunyi).



Kemudian ada orang yang sengaja menyusun wirid dan zikir, dan ada seorang yang bertindak sebagai pemimpin dan kemudian orang ramai dikumpulkan untuk mengikuti bacaannya. Cara-cara tersebut dijadikan kebiasaan setiap selesai solat dengan irama yang dibuat-buat. Orang ramai kemudian mengikutinya dan disambutnya dengan bacaan amin.


Bertasbih, tahmid dan takbir setelah solat adalah sunnah tetapi cara yang dibuat-buat inilah yang termasuk bid’ah. Mereka sudah mengetahui bahawa asas yang digunapakai dalam amalannya adalah hadis yang datang dari Rasulullah s.a.w. tetapi anehnya, mereka beranggapan bahawa cara semacam itu ( berzikir secara beramai-ramai dengan suara yang kuat) sebagai salah satu langkah untuk menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w. Contoh bidaah Idafi yang lain adalah seperti membaca selawat sebelum azan sehingga orang awam mengira bahawa bacaan tersebut merupakan sebahagian daripada azan. Padahal yang sebenarnya kalimat-kalimat azan itu adalah terpelihara dan sudah menjadi ketetapan syarak.


Cara-cara seperti inilah yang dapat digolongkan bidaah Idafi. Namun anehnya, para mu’azin sebaliknya merasa selesa dan gembira menggunakan cara tersebut untuk memanggil orang beribadah kepada Allah. Dengan demikian, status azan yang tadinya sunnah berubah menjadi bid’ah dan sia-sia. Dari sekian contoh di atas dapat disimpulkan bahawa bid’ah Idafi itu umumnya berupa amalan-amalan yang diambil dari ajaran agama, tetapi diamalkan dengan cara yang keluar dari batas yang telah ditentukan oleh agama itu sendiri. Ajaran-ajaran agama itu tak ubahnya seperti anggota tubuh yang lengkap dengan pancaindera dan perhiasannya. Jika kaki pindah ke tempat tangan dan telinga pindah ke tempat hidung atau sebaliknya, nescaya amatlah janggal dan hodoh, walaupun pemindahan itu tidak mengambil anggota lain di luar tubuh.


Contoh seterusnya ialah mengadakan solat khusus bulan Rejab dan Syaaban dengan maksud tertentu. Malangnya, ada sebahagian ulama yang beranggapan amalan tersebut dibolehkan dengan alasan memandang prinsip bahawa sembahyang bukanlah perbuatan mungkar. Khusus dalam masalah sembahyang ini, Imam Nawawi pernah berkata, “Bahawa kedua macam sembahyang tersebut adalah mungkar”.


Begitu juga, membaca Al Quran dan zikir di hadapan jenazah dengan suara keras, termasuk bid’ah Idafi. Tentang membaca Al Quran dan zikir itu sendiri memang sudah jelas ada dalam Islam, tetapi bukan dengan cara demikian. Puasa pada tanggal 27 Rejab (dikatakan tarikh Isra’ Mi’raj) dan 15 Syaaban (nisfu Syaaban) termasuk bidah Idafi. Prinsip puasa memang ibadah yang dibenarkan, tetapi dengan mengkhususkan pada hari-hari tersebut hukumnya bid’ah. Dengan demikian, jelaslah bahawa orang yang mengerjakan bid’ah itu bererti mencampuradukkan amalan soleh dengan yang batil, sekalipun untuk tujuan yang baik.

Amalan-amalan sebagaimana disebutkan tadi itu tidak lain kerana kebodohan mereka tentang sunnah dan kerana berfikiran jumud (sempit) ; tidak mahu menilai dan mengkaji ajaran yang dibawa oleh orang-orang jahil. Harapan kami semoga dengan memahami kejanggalan amalan-amalan tersebut, sedikit sebanyak dapat memberikan semangat untuk mereka mempelajari hakikat ajaran Islam yang sebenarnya.

Kami berharap, dalam membanteras seluruh macam bid’ah itu hendaknya dilakukan dengan beransur-ansur dan dengan sikap lemah lembut serta memberikan penjelasan yang berhikmah kepada mereka yang mengamalkannya. Hal ini dilakukan untuk menjaga dari segala macam kekaburan yang selama ini menyelubunginya, juga untuk menjaga agar jangan sampai nasihat-nasihat yang demikian baik itu bertukar menjadi fitnah yang menyerang pula soal-soal yang tidak ada kaitannya.


Disediakan oleh : Syeikh Maulana Asri
Penulis Asal :  Penulis: Dr Yusuf Qardhawy dan Muhammad Al-Ghazali (Buku: Bid'ah dan Syirik) 
Editor : WADi


والله أعلمُ بالـصـواب