Halaman

Rabu, 1 Februari 2012

Menjawab Persoalan Kenapa Sambutan Maulidur Rasul Diadakan?


السلام عليكم


Banyak faktor yang menyebabkan masyarakat kita begitu ghairah mengadakan sambutan maulidurrasul, sehingga ada di kalangan mereka sanggup menyembelih beberapa ekor lembu dengan harapan akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. Hal ini terutamanya disebabkan oleh tersebarnya hadis-hadis dan kata-kata sahabat yang palsu (maudhu’) berkenaan dengan kelebihan menyambut perayaan maulidurrasul.



Lebih mendukacitakan bilamana tersebarnya sebuah buku karangan seorang ulamak yang agak terkenal bertajuk 'Hukum Mengerjakan Maulud Dalam Islam'. Buku ini didapati telah memuatkan sekian banyak hadis-hadis maudhu` dan kata-kata yang mana pengarangnya dengan begitu berani menyandarkan kata-kata tersebut kepada Nabi s.a.w., Khulafa’ ar-Rashidin dan Imam Syafi`e. Di antara kata-kata tersebut ialah:



1) Kata Saidina Abu Bakar r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa membelanja ia satu dirham pada perbuatan Maulud Nabi s.a.w. nescaya adalah ia menjadi taulan dalam syurga.”


2) Kata Saidina Umar r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa membesar ia akan maulud Nabi s.a.w. maka sesungguhnya telah menghidup ia akan Islam.”


3) Kata Saidina Othman r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa yang membelanja akan ia satu dirham atas membaca kisah Maulud Nabi s.a.w. maka seolah-olah hadir ia perang Badar dan Hunain.”


4) Kata Saidina Ali r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa membesar ia akan Maulud Nabi s.a.w. nescaya tidak keluar ia daripada dunia melainkan dengan iman.”


5) Kata Imam Syafie r.a. yang bermaksud :

“Barang siapa menghimpun ia akan saudaranya yang muslimin kerana memperbuatkan Maulud Nabi s.a.w. dan menyediakan bagi mereka itu makanan dan minuman dan memperbuat ia akan kebajikan nescaya membangkit oleh Allah Taala akan dia pada hari kiamat berserta siddiqin dan syuhadat dan adalah ia dalam syurga Jannatunnaim.”

Fitnah yang disandarkan terhadap sahabat dan Imam Syafie ini sebenarnya disadur daripada sebuah kitab yang dianggap panduan utama di dalam hal ini iaitu Madarijussu'ud. Malah di dalamnya boleh didapati hadis-hadis rekaan antaranya sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Siapa yang membesarkan maulidku aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat nanti dan siapa yang membelanjakan satu dirham kerana maulidku maka seolah-olah dia telah membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud di jalan Allah.”

Kesemua kata-kata atau hadis yang dikemukakan di atas adalah palsu semata-mata. Kalau benar kata-kata tersebut keluar daripada mulut sahabat, kenapa para sahabat tidak pernah membuat perayaan menyambut maulidurrasul. Sedangkan para sahabatlah orang yang paling dekat dan paling kuat mencintai Nabi s.a.w. Para sahabat itu bukanlah satu golongan yang hanya tahu bercakap kosong sahaja. Keimanan dan kecintaan mereka terhadap Allah dan RasulNya telah termaktub dan diiktiraf oleh Allah s.w.t. Jika mereka hanya pandai menyuruh orang lain membuat perayaan maulid sedangkan mereka sendiri tidak membuatnya maka jadilah sahabat Nabi s.a.w. termasuk di dalam firman Allah yang bermaksud :

“Patutkah kamu menyuruh orang membuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal.” (Surah al-Baqarah. ayat: 44)

Na'uzubillah....... Sekali-kali para sahabat tidak tergolong dalam ayat ini.!!


Terdapat para pencinta dan pengamal maulid ini yang mengakui bahawa maulid ini adalah bid'ah, tetapi mereka mengatakannya termasuk di dalam bid'ah hasanah. Mereka mendakwa walaupun tidak ada nas-nas al-Quran, al-Hadis atau Ijmak tetapi terdapat qias yang mengharuskannya. Dakwaan mereka ini sudah bertentangan dengan golongan yang cuba mensabitkan maulid dengan kata-kata dan hadis palsu tadi kerana apa perlunya qias kalau sudah ada kata-kata sahabat seperti tersebut di atas. Bukankah apa yang didakwa sebagai kata-kata sahabat tadi adalah merupakan nas yang terang dan jelas? Golongan ini sebenarnya lebih berhati-hati kerana mereka melihat Imam Suyuthi juga menafikan akan terdapatnya nas sebegini. Walaupun demikian sikap diam diri mereka terhadap nas-nas palsu yang diutarakan tadi seolah-oleh membayangkan mereka sanggup membiarkan peribadi Nabi dan sahabat dicerobohi semata-mata demi memastikan sambutan maulid ini terus subur dan berkekalan.

Hadis yang digunakan sebagai rujukan qias untuk mensabitkan maulud itu adalah sepertimana di bawah:

Hadis itu bermaksud:

"Bahawasanya Nabi s.a.w. datang ke Madinah maka baginda dapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram. Maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu, “Kerana apa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka, “Itu adalah hari peringatan. Pada hari ini dikaramkan Fir’aun dan pada hari ini juga Musa dapat kelepasan. Dan kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.” Maka Nabi menjawab, “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding daripada kamu.”

Qias yang seperti ini sebenarnya dinamakan qias ma'al fariq (qias dengan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwakan) kerana di dalam hadis tersebut Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 10 Muharram itu sepertimana orang-orang Yahudi berpuasa sebagai menyatakan kesyukuran. Sedangkan maulidurrasul sekarang ini disambut dengan berbagai-bagai acara terutama sekali jamuan makan minum dan bukannya masing-masing akan berpuasa. Tetapi adakah wajar untuk berpuasa sebagai merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. itu dan kalau kita berpuasa pada hari itu apa ertinya berpuasa pada hari perayaan? Lebih-lebih lagi jika mahu diikutkan orang-orang Yahudi bersyukur kerana kelepasan Nabi Musa daripada bencana Fir’aun, bukannya kerana menyambut hari kelahiran Nabi Musa a.s.

Marilah kita bersama-sama memahami dan mengamalkan ibadah yang selari dengan sunnah agar tidak tersesat dalam segala macam perkara baharu dan diada-adakah, Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w dalam hadith yang bermaksud.

"Sesungguhnya sesiapa yang akan hidup daripada kamu selepasku, dia pasti akan melihat banyak perselisihan. Oleh itu, mestilah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaurrasyidin yang terpimpin. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan geraham-geraham kamu. Hindarilah perkara-perkara baru (dalam urusan ugama) kerana semua perkara baru (dalam ugama) itu bid'ah dan semua bid'ah itu adalah sesat."(Riwayat Tirmizi j.2 ms.92, Abu Daud j.2 ms.279 dan lain-lain)

Demikianlah sanggahan terhadap hujah dan dalil tentang kelebihan mengadakan sambutan Maulidurrasul ini. Insya-Allah lain hari, di lain waktu akan dikemukakan pula hujjah-hujjah para Ulamak Mu'tabar yang menentang amalan sambutan maulidurrasul ini. Sekian, wabillahittaufiq wal hidayah Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


والله أعلمُ بالـصـواب