Halaman

Jumaat, 10 Februari 2012

Bab 1.3: Kesalahan Meletakkan Masalah 'Adiyah Dalam Bid'ah





السلام عليكم


Dalam bab ini, kita akan memahami dan menjelaskan salah faham dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh masyarakat berkenaan dengan perihal bid'ah. Kekeliruan timbul apabila isu 'adiyah (kebiasaan pada perkara yang bukan berkait dengan ibadah khusus) dikatakan termasuk dalam kelompok bid'ah yang diketahui tercela dan ditolak. Sebelum meneruskan isu ini, pembaca boleh membaca bab-bab yang telah dibincangkan sebelum ini. 




Memasukkan persoalan 'adiyah ke dalam bidang ibadah merupakan bahaya besar bagi agama dan ummah secara umumnya. Ramai yang cuba memasukkan persoalan 'adiyah ini hingga mewujudkan kekeliruan dalam memahami konteks bid'ah yang dimaksudkan oleh syara'. Contohnya, Rasulullah s.a.w. memakai terompah yang disepit dengan dua jari kaki (Riwayat Imam lima kecuali Muslim). Adakah memakai terompah seperti itu termasuk sunnah ugama? Apakah orang yang tidak memakai terompah seperti itu bererti meninggalkan sunnah? Atau sama sekali didiamkan? Contoh lain, ialah kaum muslimin (termasuk Rasulullah) dan musyrikin di zaman Rasulullah berpakaian putih dan memakai tutup kepala dari terik matahari yang membakar. Apakah pakaian putih dan menutup kepala juga disunatkan bagi penduduk-penduduk negeri sejuk, semata-mata kerana Rasulullah s.a.w. berpakaian begitu.

Contoh versi moden di zaman ini adalah seperti berikut: Rasulullah s.a.w dan sahabat dahulu semuanya menggunakan unta dan kuda sebagai pengangkutan. Jika kita menaiki kereta, kapal terbang dan pengangkutan yang ada hari ini dikira tidak mengikut sunnah lah? dikira bid'ah lah?. Ini adalah suatu salah faham yang langsung tidak tepat dan bercanggah dengan bid'ah yang dimaksudkan. 

Berkata: Al-Adawi “Yang termasuk bid’ah pada masalah ‘adiyah, contohnya, ialah menghias masjid dengan berbagai warna yang dapat mengganggu orang yang sedang melakukan solat . Begitu juga lantai yang beraneka warna dan menggantungkan lampu-lampu yang harganya sangat mahal”. Sedangkan yang dianjurkan ialah membina masjid yang luas cukup untuk menampung jemaah dengan tinggi yang munasabah, dindingnya nampak bersih, dicat dengan warna yang tidak mengganggu orang solat dan tikar solat yang sederhana.

Sebenarnya seluruh persoalan ‘adiyah, baik fi’liyah (perbuatan) atau qauliah (perkataan) bukan termasuk risalah yang dibawa oleh nabi s.a.w dan bukan juga bid'ah seperti mana yang diperkatakan. Sebabnya, masalah-masalah duniawi selalu berkembang yang mungkin diijtihadkan dengan seluas-luasnya; mungkin dikurangi, ditambah malah ditinggalkan. Menetapkan mestinya mengikut nabi s.a.w. dalam hal-hal duniawi menunjukkan kejumudan (sempitnya) berfikir dan amat berbahaya untuk kehidupan.

Mundurnya kaum muslimin dalam segala lapangan hidup seperti yang kita alami sekarang ini mungkin berpunca pada berbagai ikatan dan halangan yang berdalih “Demi berpegang pada ajaran Islam”. Akibatnya mereka terus hidup dalam belenggu ini. Mereka tidak dapat bergerak seperti yang dilakukan oleh orang lain.
Menjunjung tinggi belenggu-belengu kebatilan ini, bererti melepaskan kesempurnaan jiwa dan inti ajaran agama. Dengan begitu, hubungannya dengan agama menjadi retak, hubungannya dengan lapangan keduniannya pun menjadi kacau. Akhirnya mereka lari dari dunia ini.


والله أعلمُ بالـصـواب