Halaman

Khamis, 9 Februari 2012

[FATWA] Hukum Gugur Kandungan Bagi Mangsa Rogol



السلام عليكم





Jenayah rogol adalah suatu jenayah yang amat berleluasa dan ditakuti masyarakat Islam khususnya dan masyarakat agama lain khususnya. Bagi mangsa-mangsa yang telah diperlakukan sedemikian, maka akan terdengarlah khabar yang menjadi fitrah bagi wanita iaitu mengandung. Sungguhpun status anak dalam kandungan itu dianggap hina oleh masyarakat, namun di dalam Islam anak itu adalah mulia lagi suci. Sering kali juga wanita yang menghadapi situasi ini akan mengambil jalan pantas dengan menggugurkan kandungan atas sebab maruah, nama baik keluarga dan sebagainya. Apakah hukum dan fatwa yang telah dikeluarkan berkaitan isu ini?

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.


Keterangan/Hujah: 

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi Membanteras Masalah Sosial Bil 1 Tahun 2000 pada 16 Mei 2000 telah menyarankan agar satu kajian dilaksanakan supaya kaedah pengguguran dapat digunakan bagi mengatasi masalah berkaitan Seksyen 9 Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 iaitu mengenai perlindungan kepada wanita hamil/gadis yang hamil di luar nikah.

Kes rogol membabitkan semua peringkat umur dengan mangsa paling muda berusia 10 bulan hingga wanita bergelar nenek. Perbandingan kumpulan usia di antara mangsa dan perogol menunjukkan mereka memilih mangsa yang lebih muda. Pada tahun 1997, 55.8% mangsa berusia bawah 16 tahun, manakala 97.5% perogol berusia 16 tahun ke atas.

Statistik turut mendedahkan pada tahun 1998, tempat kejadian rogol banyak berlaku di rumah dan bangunan iaitu 67% yang dikatakan selamat untuk mendapat perlindungan, 8% ditempat terpencil dan 12% berlaku di dalam semak dan estate. Sementara 16% kes yang dilaporkan membabitkan kejadian rogol oleh orang yang tidak dikenali, 84% mangsa mengenali perogol iaitu mengikut pecahannya 20% di kalangan ahli keluarga dan 64% membabitkan rakan, rakan sekerja dan majikan.

Menggugurkan kandungan selepas empat (4) bulan adalah haram. Ini telah disepakati oleh para ulama’, kerana membunuh jiwa seseorang tanpa hak yang dibenarkan oleh syarak kecuali kerana dharurat. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu makan bangkai, darah, daging dan binatang yang tidak disembelih kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Baqarah: ayat 173)


Di antara keuzuran yang diambilkira sebagai dharurat ialah:

1. Ketiadaan susu wanita selepas bersalin sedangkan anak sangat berhajat kepadanya dan tidak ada gantian lain.

2. Keadaan yang amat lemah menanggung bebanan kehamilan.

3. Keadaan si ibu yang bekerja yang terdedah dengan pelbagai mara bahaya.

4. Pengakuan daripada para doktor yang pakar yang menyatakan bahawa kehamilan tersebut membawa kepada bahaya.

5. Ibu mewarisi penyakit yang merbahaya dan kronik.

Manakala menggugurkan janin yang berumur antara 1 hari hingga 40 hari adalah makruh, sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada suami isteri. Ijmak Fuqaha’ juga berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu menghadapi cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.



والله أعلمُ بالـصـواب