Halaman

Rabu, 8 Februari 2012

Pelajar Malaysia Dapat Tawaran Phd Seawal Usia 23 Tahun



السلام عليكم


BALING - Walaupun usianya baru mencecah 23 tahun, Nurliyana Mohd Yuosf, dari Kampung Charuk Semeliang, mukim Siong mengejutkan seluruh penduduk kampungnya setelah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam ­bidang ekonomi. Anak kedua pasangan Mohd Yusof Hussin, 49, dan Norsiha Amir, 48, cemerlang dalam akademik dan kokurikulumnya membuatkannya terpilih untuk mengikuti ­pengajian peringkat PhD.

Nurliyana berkata, tawaran itu adalah hadiah paling bernilai kepadanya dan keluarga untuk mengubah nasib keluarganya yang hidup serba sederhana. “Tawaran ini akan digunakan sebaik-baiknya. Saya ­tidak menyangka akan terpilih untuk melanjutkan pengajian setinggi ini,” katanya. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi UUM itu turut berbakti kepada penduduk kampungnya dengan menganjurkan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar sekolah menengah dan rendah.

“Ilmu yang dimiliki adalah untuk disampaikan kepada orang lain. Jadi, sesuai saya membantu penduduk kampung ini dalam pelajaran mereka. Kini, saya perlu menyambung pelajaran. Sekiranya tamat pengajian kelak, saya ­terus membantu mereka yang memerlukan terutama dalam pelajaran,” katanya kepada Sinar Harian. Nurliyana yang bercita-cita menjadi penganalisis ­ekonomi itu tidak pernah menjadikan kekangan hidup sebagai halangan kepadanya.

“Bagi saya, tumpuan dan latihan adalah perkara yang paling penting. Usaha dan doa kita akan mendapat hasil yang setimpal,” katanya. Kejayaan anak muda ini mendapat perhatian Penyela­ras Parlimen Baling, Datuk ­Abdul Azeez Abdul Rahim. “Secara peribadi, saya berbangga dengan kejayaan Nurliyana yang berjaya melanjutkan pelajaran peringkat PhD walaupun umurnya baru mencecah 23 tahun dan masih muda,” katanya kepada Sinar Harian.



Komentar WADi 

Alhamdulillah dan tahniah atas kejayaan beliau, sememangnya satu kejayaan yang amat cemerlang dalam bidangnya di usia semuda itu. Semoga lebih ramai ilmuan dalam negara ini terlahir, khususnya di bidang pengajian Islam, insyaAllah. 


والله أعلمُ بالـصـواب