Halaman

Rabu, 8 Februari 2012

Tauhid Dan Pembahagiannya




السلام عليكم




Tauhid adalah mengesakan Allah s.w.t dengan beribadah dan menunaikan kefardhuan kepadaNya semata-mata. Wujudnya ibadah kepada manusia adalah tujuan Allah s.w.t menciptakan alam semesta dan seluruh isinya baik manusia, jin, haiwan, tumbuhan dan segala sesuatu. Semuanya difardhukan bertauhid kepada Allah azzawajalla. Allah s.w.t berfirman :


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ 
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat: 56)

Berdasarkan dalil yang mahsyur ini, ia menyanggah pendapat yang mengatakan bahawa alam semesta ini diciptakan kerana adanya Nabi Muhammad s.a.w. Melalui firmanNya ini, apa jua ibadah dari manusia mahupun jin itu adalah ditujukan semata-mata kepada Allah s.w.t tanpa menyekutukannya dengan sesuatu apapun. 


Tauhid Dan Pembahagiannnya


Tauhid dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu:

1. Tauhid Rububiyah iaitu meyakini bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang menciptakan dan mewujudkan alam semesta dan seluruh yang ada di langit dan dibumi. Tauhid ini bukan sahaja diyakini dan diimani oleh umat Islam khususnya, bahkan golongan kafir turut mengakui secara umumnya. Namun begitu, pengakuan dari Tauhid Rububiyah semata-mata masih belum cukup untuk menjadikan mereka tergolong dalam kalangan orang-orang Islam. Orang-orang eties yang tidak meyakini wujudnya Tuhan adalah lebih jahil dan teruk berbanding kafir jahiliyyah. Firman Allah s.w.t :


وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۖ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (az-Zukhruf:87)


2. Tauhid Uluhiyyah iaitu ditujukan kepada Allah s.w.t semata-mata dalam apa jua bentuk ibadah, ketaatan, keyakinan, permintaan, pemyembahan dan sebagainya. Tauhid inilah yang ditolak dan tidak diyakini oleh golongan kafir dan seruan tauhid inilah yang dimusuhi oleh kaum kafir dari dahulu lagi. Ia lah menjadi penyebab permusuhan antara Rasulullah s.a.w dengan musyrikin makkah, madinah, dan sebagainya dalam usaha dakwah baginda mengajak kepada menyembah Tuhan yang Maha Esa.

Dalil-dalil yang menunjukkan akan tauhid Uluhiyyah cukup banyak di dalam al-Quran. Salah satunya yang mahsyur adalah dalam surat al-Fatihah yang kita baca dan ulang setiap kali dalam solat. Paling kurang bagi seseorang Muslim wajib mengulanginya sebanyak 17 kali sehari. Ayatnya adalah:


إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Kepada Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (al-Fatihah:5)

Dan dalil lain antaranya : 


إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Taha:14)

3. Tauhid Asma' wa Sifat iaitu beriman dengan semua sifat-sifat yang ada pada Allah s.w.t melalui dalil-dalil dan nas-nas yang terdapat dalam al-Quran dan hadith-hadith yang sahih. Beriman dengannya adalah suatu kefardhuan kepada umat Islam tanpa menyertakan dan mempersoalkan dengan cara takwil, ta'thil, takyif, tamsil dan tawfidh. Firman Allah s.w.t:


قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", Yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama Yang baik serta mulia"... (al-Isra’: 110)

Glosari :

1. Takwil : Menukar ayat dan maknanya dari makna asal menjadi suatu makna yang lain.

2. Ta'thil : Mengingkari dan menolak sebahagian daripada nama dan sifat-sifat Allah s.w.t

3. Takyif : Menggambarkan atau mengvisualkan bagaimana zat dan wujudnya Allah s.w.t seperti menggambarkan bagaimana Allah itu bersemayam, duduk, berkata-kata dan sebagainya. 

4. Tamsil : Menyerupakan sifat Allah s.w.t dengan sifat-sifat makhluk.

5. Tawfidh : Tidak mahu menetapkan pengertian bagi sifat-sifat Allah s.w.t 



والله أعلمُ بالـصـواب