Halaman

Khamis, 16 Februari 2012

Tauhid Menurut Imam Syafie dan Ulama' Syafieyyah




السلام عليكم




Tauhid Menurut Imam As-Syafie

Jika ditanya persoalan mengenai tauhid uluhiyah, tauhid rububiyah, dan tauhid asma' (nama-nama Allah) was-sifat wa-zat (sifat-sifat dan zat Allah), maka Imam as-Syafie dianggap seorang Imam Besar Salaf yang menegah (mengharamkan) takwil, takyif, tasybih dan ta'til terhadap sifat dan zat Allah ‘Azza wa-Jalla. Sebagaimana yang dapat difahami dari riwayat Abu Talib Al-'Usayri beliau berkata: Imam as-Syafie pernah ditanya berkenaan sifat-sifat Allah 'Azza wa-Jalla dan beriman dengannya, beliau (Imam as-Syafie) menerangkan:

"Allah Tabaraka wa-Ta'ala memiliki asma' (nama-nama) dan sifat-sifat yang telah disebutkan oleh KitabNya (al-Quran) dan dikhabarkan oleh NabiNya sallallahu 'alaihi wa-sallam (hadith-hadith) kepada umatnya, yang tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun dari makhlukNya kerana telah sampai kepadanya dalil bahawa al-Quran turun membawa keterangan tentangnya. Begitu juga diriwayatkan tentangnya dengan perawi yang thiqah (dipercayai)". ( صفة العلو Ibn Qudamah. Hlm. 124.)



Dalam menjelaskan Tauhid Uluhiyah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu Muhammad az-Zubiri bahawa Imam as-Syafie berkata:

"Adapun kewajipan yang berupa beriman kepada Allah yang berupa (kerja) hati, ialah mengakui dan mengetahui dengan penuh keyakinan, redha dan berserah bahawa tiada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Allah, tidak ada sekutu bagiNya, tidak mempunyai isteri dan anak, dan mengakui bahawa Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya".( مناقب الشافعي Jld. 1. Hlm. 387. Al-Baihaqi.)


Apabila memperkatakan tentang tauhid rububiyah, Imam as-Syafie membawakan dalil melalui firman Allah:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang........". Maka dijelaskan oleh Imam as-Syafie: "Maka jadikanlah makhluk ciptaan Allah sebagai dalil akan adanya pencipta, janganlah menyusahkan dirimu dengan sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh akalmu".(شعار العلم النبلاء  Az-Zahabi. Tahqiq Syu'aib. Muassasah ar-Risalah.)



Antara maksud yang dapat difahami dari penjelasan Imam as-Syafie ini bahawa beliau melarang mencabuli wahyu Allah dengan hawa nafsu atau akal jika sesuatu persoalan yang dikhabarkan oleh wahyu itu berupa persoalan akidah yang tidak mampu dijangkau oleh akal fikiran manusia.

Malangnya para pengikut yang mendakwa diri mereka bermazhab as-Syafie mengenepikan wasiat Imam as-Syafie ini. Mereka mengambil akal (falsafah) sebagai landasan untuk mengenal Allah, agama dan iman. Mereka berakidah dengan akidah kaum Muktazili falsafi, al-Maturidiyah atau sufi falsafi, bukan akidah yang dianut oleh Imam as-Syafie yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh.

Akidah Para Ulama' As-Syafie'yyah


Di dalam sebuah kitab berbahasa Arab yang memperkatakan akidah kalangan ulama as-Syafie iaitu kitab (بيان الشرك ووسائله عند علماء الشافعية), dibawakan fatwa-fatwa dari beberapa orang ulama as-Syafieyah tentang kesyirikan dan dosa-dosa besar yang bersangkutan dengan persoalan syirik, terutamanya yang berkaitan dengan syirik akbar (syirik besar). Antara contoh-contoh dari fatwa tersebut:

Telah berkata Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah tentang kuburi (قُبُرِيٌّ). Erti dan maksud kuburi ialah: "Orang yang suka memuliakan, mencintai atau menyembah kubur atau juga yang berkaitan dengan pemujaan orang di dalam kubur (orang mati)":

"Maka sesungguhnya antara perkara-perkara yang paling besar diharamkan dan penyebab berlakunya perbuatan syirik (menyekutukan Allah Ta’ala) ialah bersembahyang di sisi kuburan dan menjadikannya masjid atau membina masjid (atau binaan) di atas perkuburan".

Fatwa ulama di atas adalah berdasarkan hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Janganlah kamu solat menghadap ke kuburan (atau di kuburan) dan janganlah kamu duduk di atasnya".(H/R Muslim (3/62). Abu Daud, Ahmad, Nasaii, Tirmizi dan selain mereka.)

Hadith sahih di atas ini dengan jelas melarang seseorang itu duduk di atas kubur, sembahyang di kuburan atau di masjid yang dibina di atas kawasan perkuburan, tetapi berapa ramaikah mereka yang mendakwa dari mereka bermazhab Syafie melanggar wasiat Imam as-Syafie dan para ulama as-Syafieyah? Malah ada dari kalangan mereka membina binaan di atas kubur dan menyediakan tikar di samping kubur sambil membaca doa atau al-Quran untuk si mati. Bukankah ini bertentangan dengan hadith sahih dan wasiat Imam as-Syafie serta para ulama muktabar Syafieyah?.

"Dari Abi Sa'id al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Bumi ini semuanya tempat sujud (masjid) kecuali kuburan dan tandas".(H/R Abu Daud No 492. Darimi (1/322) Ibnu Majah No 745. Ahmad,Tirmizi, Hakim dan Ibn Hibban.)


Hadith ini dengan terang dan tegas melarang (mengharamkan) orang yang beriman dari bersembahyang di kuburan, di dalam masjid yang dibina di atas tanah perkuburan atau masjid yang di dalamnya terdapat kubur. Hadith ini dan wasiat Imam as-Syafie yang berpandukan hadith ini tidak diperdulikan dan dilanggar oleh sebahagian besar mereka yang mengakui bermazhab as-Syafie sebagaimana yang banyak terdapat di Tanah Melayu pelanggaran wasiat Imam as-Syafie ini. Sebagaimana juga terdapat larangannya di dalam sebuah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Dari Anas radhiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melarang bersolat di antara kubur-kubur".(H/R al-Bazzar)


Malangnya ramai dari kalangan mereka yang mengatakan bermazhab Syafie masih mendirikan solat di kawasan perkuburan, terutamanya di masjid-masjid yang dibina di kawasan perkuburan, d imasjid yang ada kubur di dalamnya dan sembahyang di bangunan kuburan yang dianggap kubur orang suci, orang keramat atau wali Allah. Perbuatan seperti ini amat bertentangan dengan hadith-hadith sahih, bertentangan dengan fatwa Imam Syafie rahimahullah dan para ulama Syafieyah.


Seterusnya al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah menjelaskan:

"Dilaknat pembuatnya (orang yang bersolat, membina masjid atau binaan di kuburan), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan kubbah yang dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari masjid ad-Dirar yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, yang mana baginda telah melarang dari melakukan yang demikian".


Imam an-Nawawi rahimahullah juga telah berfatwa tentang perkara yang berkaitan dengan kuburi:

"Tidak dibolehkan bertawaf di kubur Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam, dilarang melekatkan perut dan dada ke dinding kubur. Abu 'Ubaidillah al-Hulaimi dan selainnya yang mana mereka semua menjelaskan fatwa Imam as-Syafie: Dibenci menyapu dengan tangan dan mengucup kubur Nabi".

Berkata Imam al-Bagawi rahimahullah:

"Dilarang dari meletak payung di atas kubur kerana 'Umar radhiallahu 'anhu berkata: Biarkanlah amalnya memayungkannya".

Ibn Hajar di dalam kitabnya (المنهاج) telah menjelaskan fatwa Imam as-Syafie:

"Dibenci mengapur, membina dan menulis tulisan di atas kubur, sama ada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya".


Fatwa Imam as-Syafie berdasarkan hadith:

"Dari Jabir radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah melarang kuburan dikapur, diduduki atasnya, didirikan bangunan di atasnya, ditambah atau ditulis di atasnya".(H/R Muslim (3/63). Abu Daud No. 3225-3226) Ahmad (3/295, 332, 339, dan 399). Diriwayatkan juga oleh Tirmizi dan Hakim.)

Dengan berpandukan kepada hadith di atas, adalah haram mengecat, mengapur, duduk di atas kubur, mendirikan bangunan, membuat batas (meninggikan batas di sekeliling kubur) kemudian menulis ayat al-Quran, nama atau apa sahaja di atas kubur. Malangnya terlalu ramai penganut mazhab as-Syafie melanggar larangan ini. Mereka meletak payang di atas kubur, menulis nama si mati di atas kuburnya, menulia ayat al-Quran (surah al-Fatihah) membina batas di sekeliling kubur dan membina binaan jika dianggap si mati itu orang yang dimuliakan atau keramat. Seolah-olah hadith sahih dan fatwa Imam as-Syafie tidak ada erti bagi mereka. 

Kefahaman dan pendedahan yang jelas berkaitan permasalahan sebegini seharusnya dipandang serius oleh umat Islam memandangkan terlalu banyak unsur-unsur yang bercanggah dengan amalan Rasulullah s.a.w, sahabat, tabiin dan tabiit tabiin. Umat Islam hari ini juga sepatutnya mengamalkan sikap beriitiba' (mengikut) dan berpegang dengan dalil dan nas dari al-Quran dan Hadith sahih dalam setiap perkara dalam Islam. Bukankah al-Quran dan As-sunnah itu panduan yang dijamin tidak akan sesat pengamalnya oleh Rasulullah s.a.w?. Muhasabah dan renung kembali sejauh mana ketepatan pegangan amalan anda dengan nas dan dalil dari al-Quran dan As-Sunnah.



والله أعلمُ بالـصـواب