Halaman

Rabu, 15 Februari 2012

Nabi Hud a.s Dan Kaum Aad



السلام عليكم

Bagi yang belum membaca siri Sirah Nabawiyyah sebelumnya, boleh rujuk di bahagian label atau disini :




Nabi Hud adalah keturunan ke sembilan daripada Nabi Nuh a.s. Baginda sememangnya terkenal sejak dari kecil lagi memandangkan Baginda berasal daripada keluarga berpengaruh, dihormati serta berkakhlak mulia disamping terkenal dengan kebijaksanaan dan peribadi yang luhur. Mendapat perintah daripada Allah s.w.t agar menyeru kepada Kaum Aad yang semakin hari semakin lalai dan leka daripada ajaran Allah s.w.t kerana kemewahan dan kesenangan hidup dunia. Mereka dikurniakan Allah dengan kekayaan dan kemewahan yang melimpah ruah seperti kebun yang luas dan hasil tanaman yang banyak disamping mahir membina bangunan-bangunan yang besar lagi indah sehinggakan rumah mereka kelihatan seperti istana-istana yang tersergam indah. 

Disebabkan kemewahan itu, Kaum Aad lupa dan ingkar akan segala perintah Allah s.w.t ke atas mereka. Mereka lupa yang kemewahan dan kesenangan yang dikecapi itu adalah dari kurniaan Allah Azzawajalla sehingga mereka sanggup mengingkari seruan Allah dengan menyembah patung-patung berhala dan batu-batu sebagai Tuhan mereka. Nabi Hud a.s sentiasa menyeru dan mengajak mereka agar kembali kepada jalan yang lurus dengan penuh kesabaran dan tanpa erti putus asa. Baginda juga menyeru agar mereka meninggalkan sembahans-sembahan patung berhala yang tidak mampu memberi mereka manfaat apatah lagi mudharat.

Namun begitu nasihat tersebut umpama mencurahkan air ke daun keladi. Mereka langsung tidak mempedulikan seruan Nabi Hud a.s malah bertambah sombong dan angkuh dengan menganggap semua kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki adalah dari usaha mereka sendiri dan bukan dari kurniaan Allah s.w.t. Namun begitu, Baginda tetap teguh mengajak dan menyeru mereka agar kembali ke pangkal jalan. Usaha Baginda berlanjutan sehingga seratus tahun lamanya dan dalam tempoh itu hanya sebilangan kecil sahaja yang mengikuti seruannya dan beriman kepada Allah. 

Akhirnya Allah s.w.t menurunkan laknat dan bala bencana kepada Kaum Aad. Allah mengirimkan kepulan langit dan awan hitam yang berarak sehingga mereka menyangka bahawa hujan akan turun lalu menyuburkan tanaman mereka lalu membuahkan rezeki kepada mereka. Nabi Hud mengingatkan mereka bahawa itu bukanlah awan rahmat sebaliknya awan laknat yang akan membinasakan mereka. Maka turunlah angin kencang yang amat dahsyat sehingga menyebabkan Kaum Aad bertempiaran melarikan diri ke dalam istana mereka dengan sangkaan mereka akan terselamat dari ancaman tersebut. 

Ribut dahsyat berupa tiupan angin yang amat sejuk itu berlarutan selama beberapa hari sehingga istana-istana mereka yang kukuh itu runtuh dan musnah bertebaran ditiup angin kencang yang mengganas. Kaum Aad yang ingkar pula dimusnahkan dengan azab yang begitu pedih lagi menakutkan sekali. Sebaliknya Nabi  Hud dan pengikut-pengikutnya yang beriman terselamat daripada ancaman Allah tersebut. Sesudah keadaan kembali tenang dan selamat, mereka berhijrah ke Hadramaut dan memulakan kehidupan yang baru di sana. Nabi Hud a.s menetap disitu sehinggalah wafat. 

Kisah Berkaitan Nabi Hud dan Kaum Aad di dalam al-Quran



وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا مُفْتَرُونَ

Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah). 


وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! 

قَالُوا يَا هُودُ مَا جِئْتَنَا بِبَيِّنَةٍ وَمَا نَحْنُ بِتَارِكِي آلِهَتِنَا عَن قَوْلِكَ وَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!

إِن نَّقُولُ إِلَّا اعْتَرَاكَ بَعْضُ آلِهَتِنَا بِسُوءٍ ۗ قَالَ إِنِّي أُشْهِدُ اللَّهَ وَاشْهَدُوا أَنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ


" Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu -



مِن دُونِهِ ۖ فَكِيدُونِي جَمِيعًا ثُمَّ لَا تُنظِرُونِ



" Menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri.


إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُم ۚ مَّا مِن دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ


" Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.


فَإِن تَوَلَّوْا فَقَدْ أَبْلَغْتُكُم مَّا أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَيْكُمْ ۚ وَيَسْتَخْلِفُ رَبِّي قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّونَهُ شَيْئًا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَفِيظٌ

Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu."

وَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا هُودًا وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَنَجَّيْنَاهُم مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.

وَتِلْكَ عَادٌ ۖ جَحَدُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَعَصَوْا رُسُلَهُ وَاتَّبَعُوا أَمْرَ كُلِّ جَبَّارٍ عَنِيدٍ

Dan itulah peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.

وَأُتْبِعُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ أَلَا إِنَّ عَادًا كَفَرُوا رَبَّهُمْ ۗ أَلَا بُعْدًا لِّعَادٍ قَوْمِ هُودٍ

Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah Sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud.

 (Surah Hud: 50-60)


dan banyak lagi kisah-kisah bekaitan Nabi Hud dan Kaum Aad antaranya ialah: 


1. Surah Al-Mukminun ayat 31 sehingga ayat 41 ,
2. Surah Al-Ahqaaf ayat 21 sehingga ayat 26,
3. Surah Al-Haaqqah ayat 6 ,7 dan 8.


والله أعلمُ بالـصـواب