Halaman

Khamis, 9 Mei 2013

Keutamaan Ibadah Puasa


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Kehadiran bulan Ramadan merupakan satu rahmat dari Allah subhanahu wa ta'ala. Ianya merupakan bulan di mana Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hambaNya. Maka tidak hairanlah sekiranya golongan-golongan yang beriman serta bertaqwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh rasa kegembiaraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini. Pada bulan inilah juga disyari’atkan ibadah puasa yang mana ianya tergolong di dalam rukun Islam yang lima. Firman Allah subhanahu wa ta'ala.:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dansupaya kamu bersyukur. [al-Baqarah (2) : 185 ]

Ibadah puasa merupakan satu medan yang sangat baik untuk dijadikan sebagai sarana bagi membentuk keperibadian diri yang cemerlang di dalam diri seseorang baik dari segi kerohanian dan juga aspek-aspek kesihatan fisikal. Keagungan ibadah puasa ini dapat kita perhatikan dengan lebih nyata setelah kita menelusuri fadilat-fadilat disyari’atkan ibadahyang mulia ini sebagaimana yang telah tercantum di dalam al-Qur’an serta hadis-hadis Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.

Puasa merupakan satu bentuk amal ibadah yang berupaya untuk membentuk jiwa seorang insan yang bertaqwa. Ini sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta'ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkanberpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yangdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [al-Baqarah (2) : 183]

Makna taqwa secara mudah adalah mengerjakan perintah Allah subhanahu wa ta'ala dan meninggalkan laranganNya. Hal ini dapat direalisasikan melalui ibadah yang mulia ini kerana dengan berpuasa kita sebenarnya bukan hanya meninggalkan makanan sertaminuman, tetapi berpuasa dalam erti kata yang sebenar adalah juga dengan mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat, tidak berniaga secara haram atau menjual barang yang haram dan lain-lain lagi. Selama sebulan umat Islam seolah-olah berada di dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan yang bertaqwa dan setelah tamat latihan tersebut ia sepatutnya dapat membantu seseorang untuk mengekalkan ketaqwaan tersebut pada baki sebelas bulan lagi.

Orang yang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan yang tinggi di sisi Allah subhanahu wa ta'ala yang mana mereka tergolong di kalangan para Shiddiqin (orang yang benar) dan Syuhada’ (golongan yang mati syahid). Telah diriwayatkan dari Amr bin Murrah al-Juhani radhiallahu 'anhu:

“Datang seorang lelaki kepada Nabi  sallallahu 'alaihi wasallam lalu dia berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa Ramadan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk golongan manakah aku?” Baginda menjawab: “Golongan shiddiqin dan syuhada’.” [Riwayat Imam Ibnu Hibban, hadis no: 3507]

Puasa merupakan perisai yang dapat menghalang kita dari azab api neraka. Menurut Ibnu al-‘Arabi rahimahullah: “Puasa dikatakan sebagai perisai dari api neraka disebabkan puasa itu dapat menahan diri dari syahwat (dorongan untuk melakukan perbuatan yang mungkar yang disebabkan oleh hawa nafsu - pen), sedangkan neraka dikelilingi oleh syahwat. Apabila seseorang mampu menahan diri dari syahwat ketika kehidupan di dunia, maka hal itu menjadi penghalang (perisai) baginya di neraka kelak.” [Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 11, ms. 9.]

Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ

“Puasa adalah perisai, maka (seseorang janganlah mengerjakan rafats (perkataan yang keji) dan jangan berbuat jahil dan jika seseorang itu diperangi atau dicaci-maki, maka hendaklah dia mengatakan: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa” (Nabi menyebutnya dua kali)…” [ Riwayat Imam al-Bukhari, no: 1894.]

Ibadah puasa itu dapat menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Sabda Nabi  sallallahu 'alaihi wasallam:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampuni (oleh Allah).”[Riwayat Imam al-Bukhari, no: 38]

Tambahan pula bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat Ilahi menaungi seluruh hamba-Nya yangberiman, maka tidak hairanlah sekiranya Allah subhanahu wa ta'ala akan meluaskan pula pengampunan-Nya terhadap semua hamba-hambaNya. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Solat yang lima, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika menjauhi dosa-dosa besar.”[Riwayat Imam Muslim, no: 233]

Maka sewajarnya kita benar-benar memperhatikan kesempurnaan ibadah puasa kita agar ianya dapat menghapuskan dosa-dosa kita di masa lalu. Allah juga telah menjanjikan ganjaran pahala yang amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa ikhlas untuk mencapai keredhaan-Nya. Berbeza dengan ibadah yang lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan sepuluh sehingga tujuh ratus kali, ganjaran pahala untuk ibadah puasa ini ditetapkan oleh Allah subhanahu wa ta'ala sendiri tanpa batasan. Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada aroma minyak kasturi, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana Aku (Allah subhanahu wa ta'ala.). Puasa adalah untuk-Ku dan Aku memberi balasan setiap kebaikkan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa, kerana ia (puasa tersebut) adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasannya.” [Riwayat Imam Malik no: 603]

Ternyata ganjaran pahala dari Allah untuk hamba-Nya yang mengerjakan ibadah puasa tiada tolok bandingnya. Oleh itu kerjakanlah ia dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran yang semaksimal mungkin melaluinya. Kita dapat melihat keagungan ibadah puasa ini dengan lebih jelas apabila Allah secaraspesifik menyatakan bahawa “Puasa adalah untukKu” di dalam di atas. Kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah ibadah puasa ini melebihi ibadah-ibadah yang lainsedangkan semua ibadah-ibadah yang lain itu juga sebenarnya adalah untuk Allah subhanahu wa ta'ala jua, namun Allah tetap menyatakan “Puasa adalah untukKu”. Terdapat pelbagai tafsiran ulamak terhadap maksud sebenar kenyataan tersebut. Antaranya adalah sepertiberikut:

1) Ibadah puasa ini dianggap sebagai khas untuk Allah kerana ianya bebas dari unsur riak. Ini adalah kerana perlaksanaanya tidak nampak secara terang-terangan oleh manusia yang lain. Orang yang sedang berpuasa dan orang yang tidak berpuasa kelihatan sama sahaja dari segi luarannya. Berbeza dengan ibadah seperti solat, membaca al-Qur’an,berzikir atau bersedekah yang perlaksanaanya dapat dilihat secara terbuka dan membuka ruang untuk timbul perasaan riak. Oleh itu al-Qurthubi rahimahullah berkata: Oleh kerana semua amal perbuatan yang ada ini dapat dimasuki unsur riak, sedangkan puasa itu hanya dilakukan untuk Allah maka Allah menisbatkan puasa itu kepada diri-Nya. - Dinukil dari kitab Fathul Baari, jilid 11, ms. 20.Namun begitu menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani rahimhullah ibadah puasa ini juga dapat diselaputi unsur riak apabila seseorang itu mengumumkan kepada orang lain bahawa dia sedang berpuasa.

2) Ada juga ulamak yang berpendapat bahawa Allah subhanahu wa ta'ala menetapkan ibadah puasa adalah untuk-Nya kerana hanya Dia sahaja yang mengetahui jumlah sebenar gandaan pahala yang Dia kurniakan kepada hamba-Nya.

3) Ianya menunjukkan bahawa ibadah puasa adalah satu ibadah yang amat dicintai oleh Allah.

4) Penetapan sedemikian rupa oleh Allah subhanahu wa ta'ala terhadap ibadah puasa ini adalah berbentuk tasyrif dan ta’zhim (memperagungkan). Contohnya Kaabah juga dikenali sebagai Baitullah (rumah Allah) untuk memuliakan dan mengagungkan Kaabah, namun begitu ini tidak menafikan bahawa semua rumah di atas muka bumi juga adalah milik-Nya.

5) Antara sifat Allah subhanahu wa ta'ala adalah Dia tidak memerlukan makanan mahupun minuman dan juga Dia tidak memiliki keinginan syahwat. Oleh itu bagi seseorang yang berpuasa, dia sebenarnya sedang melakukan sesuatu ibadah yang menghampiri sifat-sifatAllah. Kerana itu Allah menetapkan puasa itu kepada diriNya. Al-Qurthubi rahimahullah berkata: Maksudnya, bahawa amal perbuatan seorang hamba itu sesuai dengan keadaan mereka, kecuali puasa, di mana ia sesuai dengan salah satu sifat Allah. Seakan-akan Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan perbuatan yang berkaitan dengan salah satu sifatKu. [ Fathul Baari, jilid 11, ms. 24]

Bagi mereka yang mengerjakan ibadah puasa, mereka dikurniakan dua bentuk kegembiraan. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya; iaitu apabila berbuka dia bergembira, apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya.” [Riwayat Imam al-Bukhari. no: 1904.

Kegembiraan pertama dapat dikecapi oleh mereka yang berpuasa ketika waktu berbuka. Ini disebabkan lapar dan dahaganya kerana berpuasa sepanjang hari telah hilang dan timbul juga kegirangan kerana dapat menyempurnakan ibadah tersebut. Kegembiraan kedua pula muncul ketika seseorang yang menyempurnakan ibadah puasanya berjumpa dengan Allah subhanahu wa ta'ala di akhirat kelak dan menyedari keluasan pahala yang telah dianugerahkan kepadanya.Di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama Al-Rayyan yang dikhususkan kepada kepada orang-orang yang berpuasa. Al-Rayyan berasal dari kata dasar al-Rayy yang bermakna melepaskan dahaga dan ianya sesuai dengan keadaan orang yang berpuasa yang dahagakan air.Tentang kewujudan al-Rayyan ini Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ


“Sesungguhnya di surga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa masuk melalui pintu itu pada hari kiamat, tidak ada seseorang pun masuk melalui pintu ini kecuali mereka (iaitu orang yang berpuasa). Dikatakan: “Mana orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka berdiri. Tidak ada seorangpun yang masuk melewati pintu ini selain mereka. Apabila mereka telah masuk maka pintu ini ditutup dan tidak ada seseorang pun yang masuk lagi melaluinya.” [Riwayat Imam al-Bukhari, no: 1896]

Dari sini dapat kita fahami bahawa ibadah puasa itu berupaya memudahkan seseorang itu masuk ke syurga. Dari Abu Umamah radhiallahu 'anhu dia berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam : “Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengannya.” Maka Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya.” [Riwayat Imam Ibnu Hibban, no: 3494]

Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang berjaya memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan ini. Apabila seseorang itu berpuasa, mulutnya akan mengeluarkan bau yang kurang enak. Namun begitu di sisi Allah subhanahu wa ta'ala  bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih baik dari aroma minyak kasturi. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. bersabda:

“Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada aroma minyak kasturi.” [Riwayat Imam al-Bukhari no: 1894]

Ini tidak lain menunjukkan Allah subhanahu wa ta'ala memuliakan dan mencintai hambaNya yang melaksanakan ibadah puasa. Ibadah puasa juga merupakan satu sarana yang membolehkan kita mengawal nafsu syahwat. Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:

“Sesiapa di antara kamu yang sanggup memikul tanggungjawab, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi penawar atau penekan nafsu syahwat baginya.” [Riwayat Imam al-Bukhari no: 1905]

Ibadah puasa merupakan satu bentuk latihan terhadap rohani yang dapat meningkatkan keupayaan seseorang untuk memelihara diri masing-masing dari godaan setan dan dorongan jahat yang timbul dari hawa nafsu. Demikianlah beberapa keutamaan ibadah puasa di sisi syarak. Semoga dengan memahami keutamaan-keutamaan tersebut ianya berjaya menimbulkan satu keghairahan di dalam jiwa kita semua untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak serta mengerjakan ibadah puasa sesempurna mungkin.

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus ( akob73 )
 Diolah oleh WADi



والله أعلم بالـصـواب