Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label Sirah Nabi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah Nabi. Papar semua catatan

Rabu, 15 Februari 2012

Nabi Hud a.s Dan Kaum Aad



السلام عليكم

Bagi yang belum membaca siri Sirah Nabawiyyah sebelumnya, boleh rujuk di bahagian label atau disini :




Nabi Hud adalah keturunan ke sembilan daripada Nabi Nuh a.s. Baginda sememangnya terkenal sejak dari kecil lagi memandangkan Baginda berasal daripada keluarga berpengaruh, dihormati serta berkakhlak mulia disamping terkenal dengan kebijaksanaan dan peribadi yang luhur. Mendapat perintah daripada Allah s.w.t agar menyeru kepada Kaum Aad yang semakin hari semakin lalai dan leka daripada ajaran Allah s.w.t kerana kemewahan dan kesenangan hidup dunia. Mereka dikurniakan Allah dengan kekayaan dan kemewahan yang melimpah ruah seperti kebun yang luas dan hasil tanaman yang banyak disamping mahir membina bangunan-bangunan yang besar lagi indah sehinggakan rumah mereka kelihatan seperti istana-istana yang tersergam indah. 

Disebabkan kemewahan itu, Kaum Aad lupa dan ingkar akan segala perintah Allah s.w.t ke atas mereka. Mereka lupa yang kemewahan dan kesenangan yang dikecapi itu adalah dari kurniaan Allah Azzawajalla sehingga mereka sanggup mengingkari seruan Allah dengan menyembah patung-patung berhala dan batu-batu sebagai Tuhan mereka. Nabi Hud a.s sentiasa menyeru dan mengajak mereka agar kembali kepada jalan yang lurus dengan penuh kesabaran dan tanpa erti putus asa. Baginda juga menyeru agar mereka meninggalkan sembahans-sembahan patung berhala yang tidak mampu memberi mereka manfaat apatah lagi mudharat.

Namun begitu nasihat tersebut umpama mencurahkan air ke daun keladi. Mereka langsung tidak mempedulikan seruan Nabi Hud a.s malah bertambah sombong dan angkuh dengan menganggap semua kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki adalah dari usaha mereka sendiri dan bukan dari kurniaan Allah s.w.t. Namun begitu, Baginda tetap teguh mengajak dan menyeru mereka agar kembali ke pangkal jalan. Usaha Baginda berlanjutan sehingga seratus tahun lamanya dan dalam tempoh itu hanya sebilangan kecil sahaja yang mengikuti seruannya dan beriman kepada Allah. 

Akhirnya Allah s.w.t menurunkan laknat dan bala bencana kepada Kaum Aad. Allah mengirimkan kepulan langit dan awan hitam yang berarak sehingga mereka menyangka bahawa hujan akan turun lalu menyuburkan tanaman mereka lalu membuahkan rezeki kepada mereka. Nabi Hud mengingatkan mereka bahawa itu bukanlah awan rahmat sebaliknya awan laknat yang akan membinasakan mereka. Maka turunlah angin kencang yang amat dahsyat sehingga menyebabkan Kaum Aad bertempiaran melarikan diri ke dalam istana mereka dengan sangkaan mereka akan terselamat dari ancaman tersebut. 

Ribut dahsyat berupa tiupan angin yang amat sejuk itu berlarutan selama beberapa hari sehingga istana-istana mereka yang kukuh itu runtuh dan musnah bertebaran ditiup angin kencang yang mengganas. Kaum Aad yang ingkar pula dimusnahkan dengan azab yang begitu pedih lagi menakutkan sekali. Sebaliknya Nabi  Hud dan pengikut-pengikutnya yang beriman terselamat daripada ancaman Allah tersebut. Sesudah keadaan kembali tenang dan selamat, mereka berhijrah ke Hadramaut dan memulakan kehidupan yang baru di sana. Nabi Hud a.s menetap disitu sehinggalah wafat. 

Kisah Berkaitan Nabi Hud dan Kaum Aad di dalam al-Quran



وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا مُفْتَرُونَ

Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah). 


وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! 

قَالُوا يَا هُودُ مَا جِئْتَنَا بِبَيِّنَةٍ وَمَا نَحْنُ بِتَارِكِي آلِهَتِنَا عَن قَوْلِكَ وَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!

إِن نَّقُولُ إِلَّا اعْتَرَاكَ بَعْضُ آلِهَتِنَا بِسُوءٍ ۗ قَالَ إِنِّي أُشْهِدُ اللَّهَ وَاشْهَدُوا أَنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ


" Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu -



مِن دُونِهِ ۖ فَكِيدُونِي جَمِيعًا ثُمَّ لَا تُنظِرُونِ



" Menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri.


إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُم ۚ مَّا مِن دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ


" Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.


فَإِن تَوَلَّوْا فَقَدْ أَبْلَغْتُكُم مَّا أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَيْكُمْ ۚ وَيَسْتَخْلِفُ رَبِّي قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّونَهُ شَيْئًا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَفِيظٌ

Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu."

وَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا هُودًا وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَنَجَّيْنَاهُم مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.

وَتِلْكَ عَادٌ ۖ جَحَدُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَعَصَوْا رُسُلَهُ وَاتَّبَعُوا أَمْرَ كُلِّ جَبَّارٍ عَنِيدٍ

Dan itulah peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.

وَأُتْبِعُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ أَلَا إِنَّ عَادًا كَفَرُوا رَبَّهُمْ ۗ أَلَا بُعْدًا لِّعَادٍ قَوْمِ هُودٍ

Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah Sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud.

 (Surah Hud: 50-60)


dan banyak lagi kisah-kisah bekaitan Nabi Hud dan Kaum Aad antaranya ialah: 


1. Surah Al-Mukminun ayat 31 sehingga ayat 41 ,
2. Surah Al-Ahqaaf ayat 21 sehingga ayat 26,
3. Surah Al-Haaqqah ayat 6 ,7 dan 8.


والله أعلمُ بالـصـواب

Sabtu, 23 Julai 2011

Nabi Nuh a.s


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua pembaca WADi sekalian.

Entri kali ini adalah sambungan daripada entri sirah yang lalu. Agak lama saya tidak membuat entri sirah, mungkin  saya tidak perasan, jadi kali ini saya terpanggil untuk berkongsi sebuah kisah Nabi Allah Nuh a.s. Bagi yang ingin membaca kisah sirah sebelumnya sila ke 

Baiklah, sekali lagi saya tekankan bahawa entri sirah saya hanyalah ringkasan sirah sahaja. Anda boleh merujuk sirah lengkap dengan membaca Buku sirah pelbagai  versi dan terbitan di pasaran. InsyaAllah.

Asal usul Keturunan Nabi Nuh a.s

Nabi Nuh a.s adalah dari keturunan yang ke 10 daripada Nabi Adam a.s. Baginda adalah Nabi dan Rasul bagi penduduk di negeri Armenia yang ingkar kepada baginda walaupun dakwahnya telah mencecah beratus tahun lamanya. Adapun yang menyahut seruan baginda itu amat sikit bilangan nya dan mereka terdiri daripada golongan miskin dan orang bawahan.

Nabi Nuh a.s yang juga nabi Ulul Azmi ternyata mempunya kesabaran yang luar biasa. Meskipun diejek, dihina dan dituduh pendusta oleh kaumnya, baginda tetap menyeru mereka ke arah seruan Ilahi dengan penuh kesabaran. Kaum baginda ternyata ingkar meskipun telah diberi ingatan oleh baginda tentang azab dan seksaan Allah bagi mereka yang mungkar. Keangkuhan mereka terserlah apabila mereka dengan sombongnya mencabar Nabi Nuh agar diturunkan azab sebagaimana yang dikatakan oleh baginda.

foto Lakaran Bahtera Nabi Nuh
ilustrasi bahtera Nabi Nuh a.s

Bahtera Binaan Nabi Nuh a.s

Pada suatu hari, Allah memerintahkan Nabi Nuh a.s membina sebuah bahtera yang besar. Dengan taat baginda dan beberapa pengikutnya mengumpul bahan-bahan dan memulakan pembinaan bahtera tersebut. Pembinaan tersebut dilakukan jauh dari kaum baginda yang ingkar dan mereka bertungkus-lumus siang dan malamuntuk menyiapkan bahtera itu. 

Apabila berita mengenai bahtera itu sampai kepada kaum baginda yang ingkar, mereka pantas mengejek dan menghina baginda dan pengikutnya dengan pelbagai hinaan, ceraan dan cemuhan. Ada yang mentertawakan baginda kerana membina bahtera jauh dari pantai. Ada juga yang mengejek baginda sudah berhenti menjadi nabi Allah dan berubah menjadi tukang kayu. Kesabaran tetap menghiasi baginda dan pengikut yang taat. Mereka tetap meneruskan pembinaan bahtera itu sebaik mungkin. Allah s.w.t memerintahkan baginda untuk membawa sepasang bagi setiap jenis binatang. Jantan dan betina. 

Turunnya Banjir Besar Dari Allah

Pada suatu hari hujan turun dengan lebatnya dan air naik dengan cepat sekali hingga berlakunya banjir. Ribut taufan melanda negeri tersebut sepanjang hujan lebat yang tidak berhenti-henti. Seluruh kota dan desa sama ada yang rendah ataupun tinggi habis ditenggelami air. Semuanya musnah hingga air menenggelami bukit bukau yang ada. Anda boleh membayangkan bagaimana dalamnya sehingga melebihi aras ketinggian bukit. 

Semua penduduk di negeri itu dihanyutkan dengan arus yang deras lagi mengerikan. Salah seorang dari mereka ialah anak lelaki Nabi Nuh a.s sendiri bernama Kan'an. Biarpun ayahnya adalah Nabi Allah namun Kan'an tetap ingkar terhadap seruan ayahnya Nabi Nuh a.s. Sebagai seorang ayah sudah pasti akan timbul rasa kasihan terhadap anak kandungnya sendiri. Baginda cuba menyelamatkan anaknya dan melaung kepadanya supaya bertaubat dan menaiki bahtera itu.

Kesan batera baginda di Bukit Judi

 Dalam keadaan seperti itu, anaknya tetap ingkar malah Kan'an mengatakan dia boleh berenang ke bukit yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri. Bayangkanlah betapa angkuhnya Kan'an. Akhirnya, Kan'an ditenggelamkan bersama-sama dengan mereka yang ingkar. Baginda berasa amat sedih lantas mengadu kepada Allah. Allah menjawab kepada baginda supaya jangan bersedih kerana Kan'an bukanlah termasuk dari keluarga baginda tetapi dia termasuk orang yang ingkar kepada Allah s.w.t.

Nabi Nuh Terselamat Dari Banjir Besar

Setelah semua yang ingkar itu tenggelam dalam banjir yang dahsyat itu, tiba-tiba air pun mula beransur surut dan meresap ke bumi. Pada ketika itu bahtera baginda berada di atas sebuah bukit bernama Bukit Judi. Terdamparlah bahtera Nabi Nuh a.s. di atas Bukit Judi. Turunlah baginda dan pengikut yang beriman bersama-sama dengan haiwan yang dibawa. Mereka memulakan hidup yang baru dan baginda meneruskan dakwahnya hingga ke akhir hayatnya. Dikatakan baginda hidup sehingga 950 tahun.

Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah ini. Jangan melampaui batas dan jangan pula mencabar Allah. Sungguh azab Allah itu benar dan sungguh azabnya amat pedih. Moga kita semua sentiasa tergolong dalam hambaNya yang mendapat taufik dan hidayah serta redha dari Allah s.w.t. InsyaAllah


- Amal Dengan Ilmu -


WADi



Rabu, 29 Disember 2010

Nabi Idris a.s








Assalamualaikum semua..pe khabar? harap semuanyer sihat,InsyaAllah. Entri kali ni nak sambung tentang sirah. tempoh hari dah cerita tentang nabi Adam a.s. Kali ni saya nak ceritakan pula tentang Nabi dan rasul yang kedua selepas Nabi Adam a.s iaitu Nabi Idris.


Asal Keturunan Nabi Idris


Nabi Idris ni keturunan yang ke-6 daripada Nabi Adam a.s., putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. Pendapat mengatakan 1000 tahun selepas nabi Adam wafat. Baginda merupakan keturunan yang mula-mula dianugerahkan kenabian dan ditugaskan untuk berdakwah kepada penduduk-penduduk Mesir. 

Baginda pandai dalam menulis kalam,ilmu bintang, ilmu matematik,menjahit dan menunggang kuda. Jadi jangan kita pandang rendah kepada sahabat lelaki yang pandai menjahit, baginda Nabi Idris a.s pun menjahit yer. Diceritakan bahawa baginda adalah manusia pertama yang pandai menggunakan gunting dan menjahit pakaian. Tapi sekarang banyak tukang-tukang jahit yang menyalahgunakan ilmu jahit mereka dengan mencipta pakain yang tidak terdedah sana sini. Baginda banyak belajar dari kitab-kitab yang diturunkan oleh Nabi Adam a.s dan keturunannya. 


Tentang Nabi Idris a.s

Nama sebenar baginda adalah Akhnuh."Idris" adalah gelarannya kerana baginda banyak mempelajari sahifah. Anda tahu sahifah tu apa? sahifah tu ialah pengajaran-pengajaran dari Nabi Adam a.s. Nabi Idris ni juga gagah dan memiliki kekuatan yang luar biasa hingga digelar "Asadul Usud" yang bermaksud Singa daripada segala Singa.

Gelaran ni diberikan kepada baginda sebab baginda berani memerangi manusia yang menderhaka dan ingkar kepada suruhan Allah. Selain itu, baginda amat taat pada perintah Allah hingga Allah mengurniakan darjat yang tinggi kepada baginda. 

"Dan ceritakanlah { hai Muhammad kepada mereka , kisah } Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. (maryam 19:56)

Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi (maryam, 19:57)


Baginda berkeinginan untuk melihat alam ghaib ciptaan Allah lalu diperkenankan ooleh Allah SWT dan dibawa naik ke alam langit. Ini dibuktikan daripada hadith bahawa nabi Muhammad s.a.w krtika Isra' dan Mi'raj bersama-sama malaikat Jibril, telah bertemu nabi Idris yang menyambut ketibaan mereka disana. 




Nasihat Nabi Idris


Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah : ~
Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kepada kemenangan. 
Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat daripada Tuhannya dengan amal-amal solehnya. 
Apabila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu. 
Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntup sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa. 
Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan pujian kepada Allah. 
Janganlah iri hati kepada orang-orang yang bernasib baik , kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati nasib baiknya. 
Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya. 
Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu. 


ok, sampai sini saja untuk kisah Nabi Idris a.s. Semoga dapat menambahkan ilmu bagi yang belum tahu kisah baginda. Segala kekurangan dan khilaf dalam penulisana saya amatlah dikesali kerana jujurnya penulis seorang yang kurang lagi cetek ilmunya dari para ilmuan diluar sana. Cuma menyampaikan melalui coretan ringkas saja. Moga semua mendapat manfaat, insyaAllah.


Jazakumulloh..






p/s- komen jangan tak komen..hehe


Isnin, 20 Disember 2010

Nabi Adam a.s



Assalamualaikum semua..untuk edisi kali ni saya update bahagian sirah-sirah nabi dan seperti yang disebut sebelum ni ia bermula dengan sirah nabi Adam a.s. Perlu dimaklumkan buat semua bahawa yang dinukilkan ni adalah serba ringkas sahaja kerana pasti ada nukilan atau karya lain yang lebih lengkap dan baik dari ini. Adapun begitu saya mencuba semampu yg mungkin untuk berkongsi serba sedikit untuk diri ini dan semua diluar sana. Mudah-mudahan redha Allah bersama kita semua InsyaAllah.

Ad-Dien




....................................................................................................................................................................




Setelah Allah menciptakan bumi dengan gunung-gunungnya, laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya, menciptakan langit dengan mataharinya, bulan dan bintang-bintang yang bergemerlapan, dan menciptakan malaikat-malaikat-Nya, iaitu sejenis makhluk halus yang diciptakan untuk beribadah menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa dengan hamba-hamba terutama para Rasul dan Nabi-Nya, maka tibalah kehendak Allah untuk menciptakan sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi memeliharanya menikmati tumbuh-tumbuhannya, mengelola kekayaan yang terpendam di dalamnya dan berkembang biak turun-temurun waris-mewarisi sepanjang masa yang telah ditakdirkan baginya.

Kekhuatiran Para Malaikat

Para malaikat ketika diberitahukan oleh Allah akan kehendak-Nya menciptakan makhluk lain itu, mereka khuatir kalau-kalau kehendak Allah menciptakan makhluk yang lain itu, disebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas, atau karena pelanggaran yang mereka lakukan tanpa disadari. Berkata mereka kepada Allah: “Wahai Tuhan kami! Untuk apa menciptakan makhluk lain selain kami, padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan nama-Mu tanpa henti-hentinya, sedang makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh, dan berebutan menguasai kekayaan alam yang terlihat di atasnya dan terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerusakan dan kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu.”

Allah berfirman, bagi menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu:

“Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh kepadanya, bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah, karena Allah melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya.”

Kemudian diciptakanlah Adam dari segumpal tanah liat, kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna.


Iblis Membangkang

Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah seperti para malaikat yang lain,yang segera bersujud di hadapan Adam sebagai penghormatan bagi makhluk Allah yang akan diberi amanat menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang terpendam di dalamnya. Iblis merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Adam, karena ia diciptakan dari unsur api, sedang Adam dari tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan merasa rendah untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat yang lain, walaupun diperintah oleh Allah.

Tuhan bertanya kepada Iblis: “Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku?”

Iblis menjawab: “Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur.”

Karena kesombongan, kecongkakan dan pembangkangannya melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah menghukum Iblis dengan mengusir dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan malaikat dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat pd dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu ia dinyatakan sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan itu dan ia hanya mohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk hidup kekal hingga hari kebangkitan kembali di hari kiamat. Allah meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai hari kebangkitan, tidak berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia mengancam akan menyesatkan Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga dan dikeluarkannya dari barisan malaikat, dan akan mendatangi anak-anak keturunannya dari segala sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya menempuh jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-hal yang terlarang, menggoda mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur dan beramal soleh.

Kemudian Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu:

“Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada-Ku dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan memfitnah.”


Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda

Allah hendak menghilangkan anggapan rendah para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya menunjuk Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta, kemudian diperagakanlah benda-benda itu di depan para malaikat seraya: “Cubalah sebutkan bagi-Ku nama benda-benda itu, jika kamu benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam.”

Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka mengakui ketidak-sanggupan mereka dengan berkata: “Maha Agung Engkau! Sesungguhnya kami tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajakan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.”

Adam lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahukan nama-nama itu kepada para malaikat dan setelah diberitahukan oleh Adam, berfirmanlah Allah kepada mereka: “Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.”


Adam Menghuni Syurga


Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Menurut cerita para ulamat Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk Adam yang di sebelah kiri di waktu ia masih tidur sehingga ketika ia terjaga, ia melihat Hawa sudah berada di sampingnya. Ia ditanya oleh malaikat: “Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?”

Berkatalah Adam: “Seorang perempuan,” sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah kepadanya.

“Siapa namanya?” tanya malaikat lagi.

“Hawa,” jawab Adam.

“Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?”, tanya malaikat lagi.

Adam menjawab: “Untuk mendampingiku, memberi kebahagian bagiku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah.”

Allah berpesan kepada Adam: “Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah di dalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak nasfumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar, dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu, ia akan berusaha membujuk kamu dan menyeret kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmat ini.”


Iblis Mulai Beraksi

Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah dari Syurga akibat pembangkangannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab sampai ia terkutuk dan terlaknat selama-lamanya tersingkir dari singgahsana kebesarannya, Iblis mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.

Ia menyatakan kepada mereka bahawa ia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Segala cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam nasihat dan petunjuknya kepada mereka. Ia membisikan kepada mereka bahwa larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah karena dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangilah bujukannya dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang, indah bentuk buahnya dan lazat rasanya. Sehingga pada akhirnya termakanlah bujukan yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan dilanggarlah larangan Tuhan.

Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud: “Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata.”

Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah ia bahawa mereka telah terlanggar perintah Allah dan bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan dan dosa besar. Seraya menyesal berkatalah mereka: “Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu karena terkena bujukan Iblis. Ampunilah dosa kami karena nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami.”


Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi

Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni perbuatan pelanggaran yang mereka telah lakukan hal mana telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian peringatan Tuhan tentang Iblis sehingga terjerumus menjadi mangsa bujukan dan rayuannya yang manis namun beracun itu.

Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah dan selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis dan akan berusaha agar pelanggaran yang telah dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Tuhan itu menjadi pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan bujukan Iblis yang terlaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar karena perbuatan pelanggaran perintah Allah, hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmat-Nya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya. Akan tetapi Allah telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka. Allah yang telah menentukan dalam takdir-Nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk dikelolanya, akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah kepada mereka: “Turunlah kamu ke bumi sebagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup di sana sampai waktu yang telah ditentukan.”

Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya berbeda-beda warna kulit dan kecerdasan otaknya. Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di mana yang satu menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh aniaya-menganianya dan tindas-menindas, sehingga dari waktu ke waktu Allah mengutus Nabi-nabi-Nya dan Rasul-rasul-Nya untuk memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus, penuh damai dan kasih sayang di antara sesama manusia, jalan yang menuju kepada redha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.


Kisah Adam dalam Al-Quran

Al-Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah, di antaranya surah Al-Baqarah ayat 30 - 38, dan surah Al-A’raaf ayat 11 - 25.




Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam

selepas membaca kisah ni mesti ada pengajaran dan hikmah yg boleh diambil kan??

baiklah berikut adalah beberapa pengajaran dan hikmah buat kita semua melalui kisah Nabi Adam dan hawa...

1.Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan Allah, dan dalam apa yang diciptakan-Nya kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia, bahkan oleh makhluk-Nya yang terdekat. Sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah akan menciptakan manusia keturunan Adam untuk menjadi khalifah-Nya di bumi, sehingga mereka seakan-akan berkeberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah menciptakan jenis makhluk lain daripada mereka yang sudah patuh rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagungkan nama-Nya.

2.Bahawasanya manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan berfikir dan kekuatan fizikal dan mental, ia tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Hal mana telah terjadi pada diri Nabi Adam yang walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga, ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu. Ia telah lupa dan melalaikan peringatan Allah kepadanya tentang pohon terlarang dan tentang Iblis yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah.

3.Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa tidaklah ia sepatutnya berputus asa dari rahmat dan ampunan Tuhan, asalkan ia sedar akan kesalahannya dan bertaubat tidak akan melakukannya kembali. Rahmat Allah dan maghfirah-Nya dpt mencakup segala dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya kecuali dosa syirik, bagaimanapun besar dosa itu asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan.

4.Sifat sombong dan congkak selalu membawa akibat kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya, dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir oleh Allah dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya hingga hari Kiamat, karena kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam, dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah.


dah habis baca???ringan-ringankan tangan utk berkongsi dengan sahabat-sahabat diluar sana,

selamat beramal, anda buat anda dapat

Ad-Dien

addienblog.blogspot.com

Khamis, 16 Disember 2010

Sirah?Penting ke?





Dalam konteks memahami Islam, sejarah adalah merupakan suatu yang sangat penting dipelajari.Apatah lagi mempelajari sejarahRasulullah dan para sahabat atau dalam istilah khususnya disebut sebagai sirah. Dengan mempelajari sirah, kita dapat mengetahui bagaimana cara dan bentuk penyampaian yang dilakukan oleh Rasulullah, peringkat yang dilalui oleh baginda untuk mencapai matlamat dakwah. Melalui sirah, seseorang pendidik akan dapat mengetahui cara dan kaedah terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Misalnya, bagi seorang jeneral tentera dia dapat mengetahui etika peperangan, layanan yang diberi oleh baginda terhadap orang tawanan dan pesanan-pesanan Rasulullah kepada panglima perang.

Pendek kata, semua golongan masyarakat daripada petani sehinggalah kepada ketua negara perlu mempelajari sirah untuk meningkatkan lagi personaliti dan prestasi pekerjaan mereka masing-masing. Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang muslim memperolehi  gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah ia difahami secara konsepsional sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya ialah:

1. Memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya sahaja tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasulyang didukung oleh Allah dengan wahtu dan taufik dariNya. 

2. Agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan.Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna. Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang beermaksud 

: “ Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.” (al-Ahzab 21)


3. Manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah s.a.w. dan sikapnya.


4. Dengan mempelajari sirah ini seseorang muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum. 


5. Setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Adalah Rasulullah s.a.w. seorang dai, pemberi nasihat dan guru yang terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikan selama beberapa periode dakwahnya. Satu perkara yang menjadikan sirah ini cukup relevan sehingga hari ini ialah kerana seluruh kehidupan baginda mencakupi seluruh aspek sosial dan kemanusiaan yang ada pada manusia baik sebagai peribadi ataupun sebagai anggota masyarakat yang aktif. Kehidupan Rasulullah memberikan kepada kita kehidupan yang mulia, baik sebagai seorang pemuda Islam yang lurus perilakunya atau sebagai pendakwah kepada Allah dengan hikmah dan nasihat yang baikyang mengerahkan segala kemampuan untuk menyempurnakan risalah Islam. Juga sebagai ketua negara yang mengatur segala urusan dengan adil dan bijaksana, sebagai suami teladan dan seorang ayah yang penuh kasih sayang, sebagai panglima perang yang mahir, sebagai negarawan yang pandai dan jujur, dan sebagai muslim secara keseluruhannya dapat melakukan secara seimbang antara kewajipan beribadat kepada Allah dan bergaul dengan keluarga dan masyarakat dengan baik.






Maka kajian sirah nabi adalah untuk melahirkan aspek-aspek kemanusiaan ini secara keseluruhan yang tercermin dalam qudwah yang paling sempurna dan terbaik. Umpamanya, jika anda seorang pembuka kota negara, ambillah pengajaran yang dilakukan oleh Rasulullah selepas kemenangan di Badar, Hunain dan pembukaan Mekah dan jika anda mengalami kegagalan ambillah pengajaran perang Uhud yang mana baginda berada di antara sahabatnya yang telah syahid dan mengalami kecederaan. Jika anda seorang guru lihatlah pengajaran yang dilakukan oleh Rasulullah di Suffat dalam masjid nabawi dan jika anda seorang pelajar maka  gambarkanlah anda berada di antara Jibrail yang menyampaikan wahyu kepada nabi. Jika anda sebagai hakim, ikutilah penyelesaian Rasulullah s.a.w dalam meletakkan hajarul Aswad.


Secara umum sumber dan rujukan sirah ada tiga iaitu:


al-Quran, al-Sunnah nabawi yang shahih dan kitab-kitab sirah. Al-Quran merupakan rujukan utama untuk memahami sifat-sifat umum Rasulullah s.a.w. dan mengenal tahap-tahap umum dari sirah yang mulia ini. Al-Quran mengunakan dua pendekatan dalam mengemukakan sirah nabi ini iaitu dengan mengemukakan sebahagian kejadian dari kehidupan dan sirahnya seperti ayat-ayat yang menjelaskan tentang perang badar, 
perang uhud serta ayat-ayat yang mengisahkan perkahwinan dengan Zainab binti Jahsyi. Kedua mengomentarikan peristiwa-peristiwa yang terjadi untuk menjawab masalah-masalah yang timbul, mengungkapkan masalah yang belum jelas atau nasihat yang terkandung di dalamnya. Semua itu berkaitan dengan salah satu aspek dari sirahnya. Tetapi perbicaraan al-Quran tentang semua itu disampaikan secara umum dan terputus-putus serta penyajian secara global. Demikianlah cara al-Quran dalam menyampaikan setiap kisah tentang para nabi dan umat-umat terdahulu. 

Al-Sunnah pula adalah rujukan kedua yang terkandung dalam kitab-kitab hadis yang muktabar walaupun pada permulaannya belum tersusun secara urutan dan sistematik kerana pada kebanyakan ulamak hadis menyusun kitab mereka berdasarkan bab-bab feqah. Di antara keistimewaan sumber kedua ini ialah bahawa sebahagian besarnya isi riwayatnya dengan sanad yang shahih yang bersambung dengan Rasulullah seperti peristiwa haji al-Wada’ yang diriwayatkan secara terperinci. Antara buku rujukan terbaik dalam kategori ini ialah buku Asas fi Sunnah (Bahagian Sirah) oleh Said Hawa yang mana beliau telah menyusunhadis-hadis dan membahagikannya mengikut urutan masa hayat Rasulullah dari kitab-kitab hadis yang muktabar.


Sumber ketiga ialah kitab-kitab sirah yang ditulis oleh pengkaji sirah nabi seperti Ibn Hisham yang terkenal dengan kitab sirah Ibn Hisham. Dalam kategori ini, terdapat kitab yang hanya membicarakan tentang peperangan yang disertai oleh Rasulullah seperti kitab Maghazi Urwah bin Zubir, kitab yang hanya membicarakan tentang mukjizat nabi seperti Dala’il al-Nubuwwah oleh Ibn Qutaibah, kitab yang hanya membicarakan akhlak nabi seperti Kitab al-Syama’il oleh al-Munziri. 




Pada zaman sekarang, terdapat buku-buku berkaitan sirah dalam bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulamak di sini atau terjemahan. Antaranya buku terjemahan sirah yang boleh didapati di pasaran ialah Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi. Kisah-kisah Nabi Muhammad telah tersebar luas ke alam Melayu dan kisah ini digubah kembali ke dalam bahasa Melayu dalam bentuk hikayat seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, Cerita Nabi Lahir, Hikayat Khatim al-Nabi dan Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah. Kitab-kitab ini merupakan penyaduran, ringkasan dan terjemahan dari bahasa Arab dan bahasa Parsi.

Antara kepentingan sirah kepada kehidupan manusia dan pembinaan umat ialah kajian sirah dapat melengkapkan kefahaman tentang akidah kerana beriman kepada nabi menuntut supaya kita lebih memahami maklumat-maklumat diri Baginda s.a.w. Keduanya adalah menunaikan perintah Allah yang menyuruh supaya umat Islam mengikuti contoh teladannya. 

Oleh itu, melalui sirah umat Islam mendapat gambaran yang lebih lengkap dan terperinci tentang kehidupan Rasulullah. Di samping itu, ia dapat membantu dan mempermudahkan lagi mempelajari ilmu-ilmu lain seperti tafsir dan sejarah Islam. Ia juga menonjolkan nilai-nilai keinsanan yang praktis yang dilakukan oleh Rasulullah untuk ikutan generasi muda kini supaya Rasulullah sentiasa menjadi qudwah mereka sepanjang hayat.

Untuk bahagian sirah ni, penulis akan bermula serba sedikit dengan kisah-kisah dan sirah Nabi Adam dan seterusnya. Insyaallah. Segala kekurangan dan kesilapan amatlah dikesalkan.Moga redha allah ke atas kita semua. Insyaallah.

Jazakumulloh



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik