Cari Entri WADi

Rabu, 31 Ogos 2011

Amalan Sunnah di Hari Raya Aidilfitri


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat sekalian muslimin dan muslimat..salam Aidilfitri dari WADi, maaf zahir dan batin diucapkan. Semoga bulan mulia ini diisi dengan manfaat dan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t insyaAllah. Lama blog ini tidak diupdate dalam bulan ramadhan yang lalu asbab kekangan masa dan pengisian aktiviti lain yang perlu saya utamakan. 

Sedang kita menyambut Syawal dengan kegembiraan dan suka, adakah kita sedar akan sunnah yang perlu diamalkan bersamanya. Adakah sambutan hari raya kita ini selaras dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.? atau kita hanya mengikut adat budaya tanpa bersandar pada Al-Quran dan sunnah?. Harus diketahui bahawa menyambut perayaan ini juga merupakan suatu ibadah. Suatu ibadah itu pula haruslah dilakukan dengan mengikut ketetapan dari Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Barulah ia diterima oleh Allah s.w.t, insyaAllah 

Antara sunnah di hari raya yang boleh kita sama-sama amalkan ialah :

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Dilakukan pada pagi 1 Syawal sebelum menunaikan solat hari raya Aidilfitri.

Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatta'

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”

Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.


2. Memakai bau-bauhan yang wangi
Sunnah ini hanya bagi kaum lelaki.


3. Memakai pakaian yang paling baik
Pakaian tidak semestinya baru tettapi pakaian yang indah dan rapi sudah mencukupi. Daripada Jabir r.a. katanya : “Bagi Nabi saw ada satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah : 1765)

Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.


4. Makan terlebih dahalu sebelum menunaikan solat hari raya ‘Aid al-Fitri
Sunnah memakan tamar dalm bilangan ganjil jika tiada sudah cukup memkan apa-apa juadah sekali pun.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا

Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (al-Bukhari : 953)

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengomentari hadith ini dengan berkata : “Demikian itu kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, padanya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari : 2/446)


5. Mengajak seluruh ahli keluarga ke tempat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri
Sunnah mengajak seluruh ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan perempuan yang dating haid, diasing perempauan yang dating haid daripada perempuan yang boleh solat.

Bagi perempauan yang dating haid sunnah mereka turut serta ke temapat solat supaya mereka dapat menyaksikan upacara solat Hari Raya dan mendengar khutbah solat raya aidilfitri.

Ummu ‘Athiyah radhiallahu’ anha telah berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ, فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ.

Maksudnya:
Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 981.


6. Keluar dengan berjalan ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.’anhuma katanya :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

Maksudnya : “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (al-Bukhari : 986)

Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar katanya :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًاMaksudnya : “Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” (al-Albani menghasankan hadith ini di dalam Sahih Ibn Majah)


Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini 
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt
iv. Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan solatur rahim.


7. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt :

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)

Sahih juga daripada ‘Abdul Rahman al-Salamiy katanya : “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha, Waki’ berkata : “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 3/122)

Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat di masjid, di rumah dan di pasa-pasar.

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.


8. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya 
Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan :

1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ - Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua)


2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.

Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. 
Jubair bin Nufair berkata : “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , 
Ibn Hajar berkata : Isnad (riwayat ini ) Hasan. (Fath al-Bari : 2/446)


9. Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya, sebahagian mengatakan hukumnya sunat, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ‘ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdillah bin Baz menyebut : “Pendapat ini lebih terserlah pada dalil-dalilnya dan lebih hampir kepada kebenaran.”

- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah

Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r’anhuma :

أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ

Maksudnya : “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”


wallahua'lam.



Isnin, 15 Ogos 2011

Haram @ Halal Duit Dari Game Show??

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat sekalian pembaca WADi. Alhamdulillah masuk Ramadhan yang ke 15 hari ini. Moga kita semua dalam rahmat dan redha Allah s.w.t, insyaAllah. Kali ini WADi terpanggil untuk mengupas isu wang hadiah yang didapati dari pertandingan "Game Show" yang ada di negara ini. Wang yang ditawarkan amat lumayan dan banyak. Cukup untuk membeliakkan mata kita semua sekalipun WADi sendiri. Ya, mungkin dengan hadiah wangan yang banyak, akan menyenangkan hidup kita yang sentiasa kekeringan dan tidak cukup duit.

Menurut  (Fatwa Mufti Brunei, Irsyad Hukum 2000), Untuk membezakan sesuatu permainan itu ada unsur judi atau tidak, ia ditentukan oleh unsur apakah pengguna dikehendaki mengeluarkan sesuatu pelaburan khusus atau bayaran extra untuk menyertainya atau ia tidak melibatkan sebarang perbelanjaan extra. Ini perlu dilihat satu persatu, Game demi game.


Who Wants 2B a Millionaire (WW2BaM)



Who Wants 2B a Millionaire (WW2BaM) terbitan NTV7 ditaja oleh Digi. Sudah ada fatwa di Mesir dan negara2 Telok Arab yg mengharamkannya. CAP (Consumer Association of Penang) juga menggesa kerajaan mengharamkan gameshow WW2B aM kerana penganjur menggunakan keuntungan caj talian 1-600 dengan mengaut keuntungan. Cara penyertaan: Peserta dikehendaki mendail talian 1-600 pada kadar caj yg mahal untuk menjawab beberapa soalan sebelum di senaraipendekkan dan terpilih.

Game Telefon dan menang
 Game Telefon dan menang (anjuran Telekom Malaysia di TV3) ialah celebrity (selalunya para artis) akan menekan butang dan sistem elektronik akan memilih 4 digit terakhir telefon pelanggan. Kemudian pelanggan akan memanggil dan menjawab soalan dan jika menang akan mendapat hadiah. pelanggan juga tidak perlu membeli apa-apa barangan dan perkhidmatan cuma caj telefon pada kadar biasa.


Roda Impian



Terbitan Astro Broadcasting dalam saluran Astro Ria. Sesiapa yg berminat untuk menyertai pertandingan ini tidak disyaratkan membeli apa-apa dari Astro,cuma mereka hendaklah memohon untuk menjadi peserta samada memohon secara bertulis, panggilan telefon atau secara on-line. Kemudian pihak Astro akan memanggil untuk audition/screen test biasanya jika 10,000 pemohon, hanya 100 orang yg dishortlisted (senarai pendek) untuk audition (ujibakat) di Pusat penyiaran Astro di ibupejabatnya di KL. Mereka yg layak dari sesi audition (ujibakat) ini sahaja yg layak menyertai rancangan Roda Impian.


Perbandingan
Jika kita membuat perbandingan, kita dapati gameshow WW2B aM lebih hampir kpd judi kerana kos menyertainya dan sudah ada fatwa dari Timur Tengah yg mengharamkannya dan juga gesaan dari persatuan pengguna. Manakala gameshow seperti Roda Impian-Astro dan Telefon dan menang-Telekom Malaysia tidaklah kita dapati unsur judi yg ketara melainkan kos yg perlu dikeluarkan untuk melayari web site untuk mendaftar bagi Astro dan mendail nombor bagi gameshow Telekom. Kos juga terlibat jika anda terpilih untuk ujibakat di studio Astro. Jika dibandingkan, gameshow Telekom (telefon dan menang) lebih murah dan mudah berbanding gameshow Astro.





Rumusan
Jika kita ragu2 dan was-was, langkah terbaik disarankan oleh Islam ialah menjauhi yg syubhat. Adapun perbuatan menghakis hukum-hakam agama ini adalah perbuatan Yahudi sbgmn hadis keluaran Ibn Baththah yg disahihkan oleh Imam atTermidzi," Jangan kamu berbuat dosa seperti mana spt Yahudi, mereka menghalalkan larangan-larangan Tuhan dengan helah yg kecil-kecil." Maka tipudaya Yahudi ialah memasukkan unsur-unsur dosa dan yg haram ini secara kecil-kecilan supaya manusia tidak terasa kerana halusnya itu.

Pokoknya: gameshow itu adalah angan-angan dan jarum-jarum yahudi, walaupun ia nampak halal, tapi spt mana maksud hadis di atas, ia ada jerat2 dan perangkap Yahudi untuk meruntuhkan hukum2 agama. (berdasarkan beberapab Fatwa Mufti Brunei, Irsyad Hukum tahun 2000 mengenai beberapa jenis gameshow dan funfare di Brunei) Allahu a'alam

Sabtu, 6 Ogos 2011

Ilmu Duniawi VS Ilmu Akhirat



Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk. 

Ilmu adalah sumber pengetahuan. Semua manusia di muka bumi ini perlukan ilmu tidak kira siapa pun dia, pasti ada suatu ilmu dalam dirinya. Lihat sahaja seorang anak kecil yang terbaring kemudiannya belajar merangkak sehinggalah mampu berjalan. Setiap hari anak kecil itu akan memikirkan bagaimana dia ingin merangkak dan bagaimana ingin berjalan. Tanpa ilmu bagaimana mungkin anak kecil mampu berjalan?. Begitu juga dengan manusia lainnya. Semua memerlukan ilmu untuk kelangsungan hidup. 

Islam juga mementingkan ilmu buat umatNya. Masih ingatkah kita pada firman Allah yang mula-mula diturunkan kepada Rasulullah s.a.w menerusi Surah Al-Alaq ayat pertama?. Allah berfirman : 

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)” (Al-Alaq:1) 

Perumpamaan ilmu itu adalah umpama cahaya yang menyinari hati dan akal fikiran. Tanpa hadirnya ilmu maka hati dan fikiran berada dalam kegelapan dan kesesatan. Sebab itulah Islam menekankan aspek keilmuan kepada umatNya kerana ilmu itu dapat diaplikasi dan digunakan untuk kemaslahatan agama, dunia dan akhirat. Perlu diingat ilmu yang dituntut itu adalah ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat. Abu Darda’ berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 

“Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerena redha terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang. Ketahuilah bahawa ulama’ adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan yang sangat besar.” 

(Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Baihaqi, dan Ibnu Hibban) 



Berdasarkan hadis diatas, ternyata ilmu itu adalah harta yang sebenar dan berharga melebihi kekayaan dan kemewahan yang sementara. Ilmu adalah warisan para nabi. Para nabi membawa ilmu yang diilhamkan dari pemilik segala ilmu iaitu Allah s.w.t. Biarpun para nabi membawa ilmu agama yang suci lagi mulia, tidaklah bermakna ilmu selain dari ilmu agama itu adalah sia-sia. Semua ilmu yang baik itu ada manfaatnya, tiada yang sia-sia. Cuma yang menjadikan ilmu itu sia-sia dan tiada harga apabila ilmu duniawi itu ditekankan lebih dari ilmu akhirat. Kadang-kala kita terlalu sibuk dengan ilmu dunia hingga mengabaikan ilmu yang yang akan menentukan nasib kita di sana nanti. 


Muhasabah diri sejenak, sedalam mana ilmu akhirat kita berbanding ilmu duniawi yang kita belajar sejak dari sekolah hingga ke universiti. Adakah keduanya seimbang? Atau adakah ilmu duniawi menguasai hidup kita melebihi ilmu ukhrawi?. Tepuk dada, tanyalah iman kita. Punya ilmu agama tidak bermakna kita tidak boleh menjadi seorang doktor, jurutera, usahawan dan sebagainya. Betulkan persepsi kita dan hayatilah ilmu Islam yang indah. Maka dengan itu, ummah mampu melahirkan doktor, jurutera mahupun usahawan yang soleh dan solehah. Itu yang terbaik. 

Mari merenung mesej yang besar maknanya dalam sebuah riwayat ketika Rasulullah s.a.w telah wafat, disebutkan bahawa Abu Dzar al-Ghiffari r.a, pada suatu hari dia pergi ke pasar di Kota Madinah. Ketika itu dia merenung dan melihat masyarakat di sekitar kota itu penuh dengan kekacauan dan kesibukan. Mereka menyibukkan diri dengan pelbagai urusan duniawi dan menjadikan akal mereka sebagai Tuhan. Melihat peristiwa itu maka timbullah rasa takut dan bergetarlah hati Abu Dzar melihat kelalaian mereka. Lantas Abu Dzar pun berteriak “Wahai sekalian manusia!. Apa yang sedang kamu lakukan dengan harta dan perdagangan kamu sehingga tidak memerhatikan peninggalan dan warisan Nabi Muhammad s.a.w yang sedang dibahagikan di masjid ketika ini?.” 

Sebaik sahaja mendengar teriakan keras Abu Dzar itu, berlarianlah mereka semua ke Masjid Nabawi dengan harapan bahawa mereka dapat memperolehi harta warisan tersebut. Sesampainya mereka semua di masjid suci itu, mereka terkejut kerana tiada satu pun harta seperti yang dikhabarkan oleh Abu Dzar sebentar tadi. Hanya yang ada adalah mereka yang sedang sujud kepada Allah, serta para ilmuan dan murid-mudridnya. 

Mereka pun kembali kepada Abu Dzar dan bertanya “Wahai Abu Dzar, kami tidak menjumpai satu harta warisan pun seperti yang engkau khabarkan melainkan hanyalah orang yang beribadah dan mempelajari ilmu!!”. Abu Dzar pantas menjawab, “Itulah sebenarnya warisan Nabi Muhammad s.a.w kepada kita semua.” 

Sama-samalah kita menghisap diri yang alpa ini. Dalam kesibukan kita mengejar ilmu dunia yang tidak terbatas, jangan sesekali kita lupa keutamaan ilmu suci yang dibawa oleh Rasulullah. Moga ilmu yang kita miliki menjadikan kita lebih dekat kepada Allah s.w.t, insyaAllah. 




Telah ku sampaikan 

Akan pesan dan ingatan 

Dari ilham Pemilik Ilmu yang Abadi 

Kepada sekalian pewaris ilmu 

Sekalian saudaraku 

Agar kita beringat 

Walau siapa pun kita


Khamis, 4 Ogos 2011

Sahur Itu Apa???



Assalamualaikum warahmatutllahi wabarakatuh buat semua pembaca WADi sekalian. Hari ini masuk hari ke 4 kita semua serta umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa. Bulan Ramadhan sememangnya bulan pesta ibadah bagi mereka yang beriman, soleh dan solehah. Tidak kurang juga bulan ini menjadi paksi untuk mereka yang ingin berubah ke arah kebaikan. Alhamdulillah, puji-pujian hanya kepada Allah s.w.t.

Sahur adalah sesuatu yang akrab dengan mereka yang berpuasa di Bulan Ramadhan atau puasa sunat yang lainnya. Sahur dan puasa umpama adik-beradik, berkait rapat umpama isi dengan kuku. Sahur diambil dari kata as-Saharu yang bererti bahagian akhir malam yang hampir dengan waktu Subuh atau terbitnya fajar. Makna asal Sahur ialah sibuk atau kesibukan dengan sesuatu perkara yang menghampirinya. Perkataan SAHUR digunakan kerana pada waktu ini kita disibukkan dengan mengambil makanan dan makan tatkala waktu subuh semakin menghampiri. 

Hukum Sahur

Hukum Sahur adalah Sunat. Imam Nawawi (631H-676H) menyatakan bahawa jumhur ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa sahur adalah istihbab (amat digalakkan/dituntut). Perlu kita ingat kembali bahawa ibadah sunat adalah ibadah tambahan untuk mengisi kekosongan yang ada pada ibadah fardhu kita. Ibadah wajib yang kita lakukan sudah tentu tidak sempurna seperti Baginda dan para sahabat. Oleh itu, ibadah sunatlah yang akan menampung dan menyempurnakan ibadah wajib kita semua. Menghidupkan Sahur bererti kita telah menghidupkan amalan sunat yang akan diberikan ganjaran oleh Nya, insyaAllah.

Waktu Sahur

Persoalan waktu sahur ini bukanlah suatu yang asing lagi. Ramai diantara kita yang masih kurang jelas perihal sebenar waktu sahur ini. Ada yang mengandaikan makan sebelum tidur itu dikira sahur dan sebagainya. Ulama' telah bersepakat bahawa waktu sahur itu adalah bermula pertengahan malam hinggalah menjelang Subuh. Namun begitu, adalah disunatkan agar melambatkan sahur sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a bahawa Zaid bin Thabit r.a berkata :

"Kami telah bersahur bersama Rasulullah s.a.w kemudian kami bangun untuk mendirikan solat. Anas bin malik bertanya berapakah kadar masa untuk keduanya (antara selesai sahur dengan azan Subuh). Zaid bin Thabit berkata, kadar bacaan 50 ayat" (riwayat Muslim, no.47)

Dalam Fath al-Mun'im, Ibnu Hajar Al-Ashqalani (773H-852H) menganggar bahawa ia (kadar bacaan 50 ayat) di antara 4 minit atau selama mengambil wuduk. Dalam satu riwayat lain, tatkala Ibnu Mas'ud bersegera berbuka puasa dan melambatkan sahur, Aisyah r.ha. berkata:

"Begitulah yang Rasulullah s.a.w lakukan (segera berbuka puasa dan melambatkan sahur)"
 (riwayat an-Nasa'i, no.2158)

Makanan Untuk Sahur

Tidak ada makanan yang khusus sewaktu sahur. Ia bergantung kepada keadaan dan kesesuaian kita semua. Namun perlu diingat bahawa ketika bersahur, adalah penting untuk menjaga pemakanan dan tidak makan dengan melampaui batas dan berlebih-lebihan, sama seperti yang dituntut ketika berbuka puasa. Biarlah sederhana dan mencukupi sahaja. Apa sahaja makanan yang dimakan (halal) ketika bersahur akan mendapat keberkatan dari Allah s.w.t hatta hanya dengan segelas air. Dari Abu Said al-Khudri r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

"Makan sahur itu ada keberkatan, maka jangan kamu tinggalkannya walaupun salah seorang dalam kalangan kamu hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat (rahmat Allah dan pengampunan) atas mereka yang bersahur" (riwayat Ahmad, no.11086)



Makanan yang terbaikdan dianjurkan ketika sahur ialah Kurma. Sama seperti berbuka, memakan kurma dapat memberikan tenaga yang mencukupi dalam badan, insyaAllah. Kurma juga adalah makanan yang diberkati dan dipuji Rasulullah s.a.w. baginda pernah bersabda :

"Sebaik-baik makanan sahur bagi seorang Mukmin itu ialah buah Kurma"
(riwayat Abu Daud, no.2347)

Semoga kita sama-sama berusaha untuk menghidupkan amalan Sahur. Sungguh dalam sahur itu ada keberkatan untuk kita semua. Selamat BerSAHUR dan selamat berpuasa.


- Amal Dengan Ilmu -

WADi

Selasa, 2 Ogos 2011

Kenapa Perlu Berpuasa??? (Part 2)

Ramadan 2011 Singapore Dates


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh pembaca WADi sekalian, salam Ramadhan, moga kita sama-sama mendapat dalam bulan yang penuh keberkatan ini, insyaAllah. Entri kali ini ialah sambungan daripada entri
Kenapa Perlu Berpuasa??? tempoh hari. 

Faedah dan manfaat dengan berpuasa yang berikutnya ialah :

4. Sihat Tubuh Badan
Kesihatan tubuh badan adalah nikmat yang sangat besar buat manusia. Dengan berpuasa, sistem tubuh badan kita akan lebih terurus dan teratur berbanding tidak berpuasa. Sistem tubuh ini melibatkan keseluruhan tubuh sama ada darah, organ dan urat saraf serta yang lainnya. Apabila kita berpuasa, perut akan menjadi kosong dengan makanan. Mengosongkan perut bererti kita menyucikan perut daripada bermacam jenis makanan ang kita makan sejak syawal yang lepas. Kita boleh umpamakannya seperti "membasuh" kotoran dalam perut dan hasilnya darah menjadi bersih dan stabil tekanannya, sistem pencernaan lancar dan sebagainya. 

Hal ini telah disebut oleh Syaikh Najib al-Kailaani dalam kitabnya berjudul Ash-Shaum wash-Shihhah (Puasa dan Kesihatan)

"Perhatikan pula bahawa denyutan jantung yang normal ialah 70-80 kali seminit. Adapun ketika berpuasa, darah mengalir ke rusuk akan berkurangan. Dengan demikian denyutannya akan menurun sehingga 60 kali seminit. Ini bererti ia memberi kesempatan kepada jantung untuk beristirehat dan meringankan bebannya. Ini amat penting bagai seseorang berusia lanjut (tua), penghidap penyakithati dan penderita hipertensi (tekanan darah tinggi)."


5. Mengurangkan Syahwat
Nafsu dan syahwat adalah sesuatu yang diberikan Allah s.w.t kepada sekalian manusia. Semua dari kita sedar akan bahayanya rangsangan syahwat. Syahwat adalah salah satu senjata utama syaitan untuk membinasakan dan menyesatkan anak adam. Daripada Ibnu Mas'ud r.a, Rasulullah s.a.w pernah berpesan dalam sabdanya :

"Wahai pemuda-pemudi sekalian! Barang siapa diantara kamu mampu untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menundukkan pandangannya, lebih menjaga dan memelihara kemaluannya (kehormatannya), dan barangsiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa baginya sebagai Khisha' (dapat menahan nafsu syahwat)" (Hadiht riwayat Bukhari :878, Muslim : 794, at-Tirmizi : 1081, dan an-Nasaai : 3210)

6. Mendisiplinkan Diri
Ramadhan menjadikan kita semua lebih berdisiplin. Jika kita menghayati Ramadhan dengan baik, kita akan mendapat bulan ini adalah bulan "mendisiplinkan diri". Bermula daripada sahur, kita dikehendaki bangun di awal pagi sedang orang lain nyenyak diulit mimpi. Kemudian di siang harinya menahan diri dari makan dan minum serta sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa dan mengurangkan pahala puasa. Menjaga ibadah yang wajib dan menambah ibadah sunat yang sebelum inikita jarang sekali mendirikannya. Hadirnya bulan Ramadhan kita terpanggil untuk solat tarawikh, menderma, berzakat, memberi makanan, menjaga pandangan, menjaga lidah dan sebagainya. Jika di bulan lain agak sukar melatih diri, maka Allah hadirkan Ramadhan untuk kita mentarbiah dan melatih diri menjadi lebih berdisiplin. Mudah-mudahan dengan "kem motivasi" selama sebulan ini membuatkan kita terus berjaya di bulan selepas Ramdhan hinggalah sampaike Ramadhan yang akan datang.  insyaAllah

Hari ini 02 Ramadhan 1432H, selamat berpuasa dan menambah amalan serta mengurangkan dosa, agar kita menjadi hamba yang bersyukur dan bertakwa.


- Amal Dengan ilmu -

WADi

Isnin, 1 Ogos 2011

Kenapa Perlu Berpuasa???


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat sekalian pembaca WADi. Kali ini saya sambung entri berkaitan syiam atau puasa sempena bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak. Hari ini hari pertama kita berpuasa yakni pada 1 Ramadhan 1432 Hijrah. Kenapa kita perlu berpuasa?. Persoalan seperti ini adalah persoalan yang biasa, lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru berpuasa untuk pertama kalinya seperti adik-adik yang sudah baligh mahupun mereka yang baru memeluk Islam.

Dalam entri yang lepas telah sy coretkan akan kewajiban puasa itu kepada sekalian Muslim. InsyaAllah, kali ini saya cuba untuk menyenaraikan faedah dan hikmah kita berpuasa mengikut kemampuan saya. Antara hikmah atau faedah berpuasa ialah :

1. Meningkatkan Ketakwaan Kepada Allah s.w.t
Ketakwaan adalah sesuatu yang menentukan kejayaan kita di akhirat kelak. Selain daripada ketaatan kita menjalankan ibadah fardhu yang lain seperti solat, zakat atau haji, puasa juga adalah merupakan suatu kemestian bagi kita , Umat Islam. Allah s.w.t menyebut dalam firmanNya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa" (Al-Baqarah : 183)

puasa adalah suatu jalan untuk kita menahan diri daripada godaan dan pujukan nafsu yang membuta lagi menyesatkan. Kerana itulah dalam Islam puasa bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga, malah perkara-perkara yang membatalkan puasa itu sendiri. 

2. Melatih Diri Bersabar
Allah menjadikan puasa sebagai medah tarbiah dan ujian buat hambaNya. Dalam bulan ini kesabaran kita akan teruji dengan bermacam-macam ujian. Ujian utama itu adalah menahan lapar dan dahaga. Ujian lain adalah ujian mengawal nafsu dalam diri dan ujian untuk kita beribadah, sama ada lebih baik ibadah, sama seperti bulan lain atau lebih teruk daripada sebelum ramadhan, nauzubillah. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Puasa itu adalah sebahagian daripada sabar" (Hadith Hasan riwayat at-Tirmidzi)

Allah juga telah berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"

Dalam puasa, tahap kesabaran itu terbahagi kepada 3 cabang :

Pertama adalah sabar dalam mengerjakan ketaan dan ibadah. Sabar ini bermaksud kita bersabar dalammelaksanakan perintah Allah s.w.t seperti solat. Sudahlah diuji dengan lapar dan dahaga, kita sabar pula dengan solat, kita berzikir, membaca Al-Quran dan melakukan amalan sunat yang lainnnya. Kesabaran dalam ibadah adalah permulaan untuk membentuk jiwa dan rohani yang kuat dan mantap. Kedua ialah sabar dalam melakukan maksiat. Ia bermaksud kita sedaya upaya menahan diri daripada melakukan maksiat ketika berpuasa dengan tujuan nafsu yang degil itu dapat di didik dengan baik. Kerana itulah Islam menggalakkan puasa, kerana puasa dapat mendidik nafsu. Sabar yang ketiga ialah sabar dalam ujian seperti sabar dengan kesusahan sepanjang ramadhan. Jika kebiasaan dapat tidur nyenyak dan cukup, tibanya ramadhan perlu bangun sahur di awal pagi, sebelum subuh pula. Kebiasaannya di siang hari ada sarapan, makan tengah hari dan minum, di bulan Ramadhan tidak dapat semua itu. Itulah kesabaran dalam ujian dari Allah.

3. Membentuk Akhlak Mulia

Boleh ke pulan puasa membentuk akhlak yang mulia dalam diri kita?. Boleh, insyaAllah jika kita ikut panduan dan seruan Ramadhan dengan betul dan ikhlas, akhlak kita akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Ramadhan adalah bulan untuk umat islam beribadah dan membuat kebajikan serta kebaikan. Ramai orang-orang soleh dan beriman berlumba-lumba beribadah di bulan ini. Bukan kerana untuk menunjuk amal namun kerana ganjaran setiap amalan itu dilipatkan berkali ganda daripada biasa. Hanya Allah yang mengetahui nilainya. Islam menekankan Umat islam supaya tidak mementingkan diri sendiri, tidak mudah marah, bersifat kasar dan lain-lain perkara yang tidak baik sepanjang bulan Ramadhan. Diriwayatkan Nabi Yusuf a.s pernah berkata :

"Aku takut kekenyangan, nanti aku akan lupa orang yang lapar" ('Ibaadaatul Islam, Muhyiddin Mastu:153)

insyaAllah akan disambung entri ini dalam entri berikutnya. Sama-sama kita menambah amalan kita dibulan puasa. Nasihat WADi untuk diri dan semua, jangan abaikan amalan wajib dek kerana mengejar amalan sunat. Kejar yang wajib dahulu, kemudian ditambah dengan amalan sunat, insyaAllah.

- Amal Dengan Ilmu -


WADi



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik