Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label Tarikh (Sejarah). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tarikh (Sejarah). Papar semua catatan

Sabtu, 31 Disember 2016

Sebab Penulisan Kitab Al-Mustadrak Al-Hakim



#SoalJawabAdDien #Soalan23

Soalan:

Benarkah Imam Al-Hakim menulis Al-Mustadrak kerana nak menjawab Ahli Bid'ah?
.......

Ad-Dien menjawab:

Ya tujuan Al-Hakim menulis Al-Mustadrak atas permintaan ulama' dan penuntut ilmu dizamannya kerana pada masa itu ada some ahli bid'ah kata yang hadith Nabi ni sikit je, ada 10,000 sahaja.

So memandangkan Al-Hakim pada masa tu boleh dikatakan tokoh ulama' senior, ulama' lain minta dia kumpul hadith² sahih yang sama macam level sanad Al-Bukhari dan Muslim.

Dan dia rasa dia perlu buktikan kesalahan Ahli Bid'ah itu dan dia pun tulis Al-Mustadrak.

Sayang sekali ia tak dapat disiapkan sebagaimana yang Al-Hakim mahukan.

Al-Hakim sebenarnya pakar dlm hadith. Cuma Al-Mustadrak ditulis diakhir umurnya..lebih kurang masa umur 72 tahun. Some ulama' kata masa tu hafalan dia dah berubah..tapi Ibn Hajar jelaskan dalam Nukat bahawa Al-Hakim tak sempat siap semak keseluruhan Al-Mustadrak. Dia just kumpulkan dulu semua riwayat kemudian dia akan cek mana yg tak ok utk dibuang.

Proses semakan tu tak habis..hanya sempat pada bahagian awal mustadrak sahaja. Ibn Hajar kata ada empat juzuk..hanya sempat habis 2 juzuk pertama.

So kalau perhati detail..bahagian awal mustadrak mmg x banyak masalah.
_______
Ad-Dien Abdul Kadir
Sabtu_31/12/2016
telegram.me/addien90

Khamis, 17 September 2015

Bilangan Mazhab Fiqh Yang Pernah Wujud_تعداد لمذاهب أئمة الإسلام الفقهية



فهذا تعداد لمذاهب أئمة الإسلام الفقهية، ذكره عبد الوهاب بن أحمد الشعراني (ت 973 هـ) في 
كتابه " الميزان الشعرانية المدخلة لجميع أقوال الأئمة المجتهدين ومقلّديهم في الشريعة المحمديّة " (1/52)، حيث أورد مثالاً للشريعة المحمديّة ومذاهبها الفقهية قال فيه " مثال عين الشريعة المطهّرة التي يتفرّع منها كل قول من أقوال المجتهدين ومقلّديهم إلى يوم القيامة، ومثال مذاهب جميع المجتهدين المندرسة والمستعملة مثال الخطوط الشارعة إلى العين الوسطى في سائر الجوانب "، وقال الشعراني : " فمن تأمّل في ذلك عرف ما أردناه بقولنا إنه ليس مذهب أولى بالشريعة من مذهب لرجوعها كلّها إلى عين واحدة " .
وها هي مذاهب المجتهدين التي ذكرها

مذهب عبد الله بن مسعود   ( ت 32 هـ
مذهب عائشة رضي الله عنها ( ت 57 هـ
مذهب عبد الله بن عمر   ( ت 73 هـ
مذهب عمر بن عبد العزيز بن مروان بن الحكم ( ت 101 هـ
مذهب مجاهد ( ابن جبر، توفي بعد المئة هجرية بقليل
مذهب الشعبي ( عامر بن شراحيل، توفي بعد المئة هجرية بقليل
مذهب عطاء ( ابن أبي رباح، ت 114 هـ
مذهب الأعمش ( سليمان بن مهران، ت 147 أو 148 هـ
مذهب الإمام أبي حنيفة ( النعمان بن ثابت، ت 150 هـ
مذهب سفيان الثوري ( ت 161 هـ
مذهب الإمام الليث ( ابن سعد، ت 175 هـ
مذهب الإمام مالك ( ابن أنس، ت 179 هـ
مذهب سفيان بن عيينة ( ت 198 هـ
مذهب الإمام الشافعي ( محمد بن إدريس، ت 204 هـ
مذهب إسحاق ( ابن إبراهيم بن راهويه، ت 238 هـ
مذهب الإمام أحمد ( ابن حنبل، ت 241 هـ
مذهب الإمام داود ( ابن علي الظاهري، ت 270 هـ
مذهب محمد بن جرير ( الطبري، ت 310 هـ

انتهى

قال أبو معاوية البيروتي - عفا الله عنه - : فات الشعراني ذكر مذهب الإمام عبد الرحمن بن عمرو الأوزاعي ( ت 157 هـ )، قال الذهبي في سير أعلام النبلاء (7/117) : " كان للأوزاعي مذهب مستقل عمل به فقهاء الشام مدّة، وفقهاء الأندلس مدّة، ثم فني "، وقال عبد الباسط الفاخوري في " تحفة الأنام مختصر تاريخ الإسلام " (ص 82) : " وقد بقي أهل الشام وما يليها وأهل الأندلس يتعبّدون على مذهبه نحو مئتين وعشرين سنة "

قال الذهبي في سير أعلام النبلاء ( 8/91 ) - بعد أن ذكر أئمة التابعين ومن أتى بعدهم، وذكر أصحاب المذاهب الفقهيّة السابق ذكرهم - :

ثم من بعد هذا النمط تناقص الاجتهاد، ووُضِعَت المختصرات، وأخلد الفقهاء إلى التقليد من غير نظر في الأعلم، بل بحسب الاتفاق، والتشهّي، والتعظيم، والعادة، والبلد، فلو أراد الطالب اليوم أن يتمذهب في المغرب لأبي حنيفة لَعَسُرَ عليه، كما لو أراد أن يتمذهب لابن حنبل ببخارى وسمرقند لَصَعُبَ عليه، فلا يجيء منه حنبلي، ولا من المغربي حنفي، ولا من الهندي حنفي .....

وكذلك اشتهر مذهب الأوزاعي مدّة، وتلاشى أصحابه، وتفانوا،

وكذلك مذهب سفيان وغيره ممّن سمّينا،

ولم يبقَ اليوم إلاّ هذه المذاهب الأربعة، وقلّ من ينهض لمعرفتها كما ينبغي فضلاً عن أن يكون مجتهداً،

وانقطع أتباع أبي ثور بعد الثلاث مئة،

وأصحاب داود إلا القليل،

وبقي مذهب جرير إلى ما بعد الأربع مئة،

وللزيدية مذهب في الفروع بالحجاز وباليمن، لكنه معدود في أقوال أهل البدع؛ كالإمامية،

ولا بأس بمذهب داود، وفيه أقوال حسنة، ومتابعة للنصوص، مع أن جماعة من العلماء لا يعتدّون بخلافه، وله شذوذ في مسائل شانت مذهبه .

والله أعلم




Sabtu, 24 Mei 2014

Benarkah Umar Al-Khattab Menanam Anaknya? Satu Kajian Semula

بسم الله الرحمن الرحيم

Seperti yang semua sedia maklum, kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu menanam anaknya ketika beliau masih jahiliyyah sering diceritakan daripada mulut ke mulut, zaman berzaman. Sirah (Sejarah) Islam bukanlah terbina daripada khayalan dan mistik melainkan ianya ialah sebuah fakta yang diriwayatkan dan direkodkan di dalam kitab-kitab sirah sejak dahulu lagi. 

Jika sebelum ini saya pernah menulis tentang semakan terhadap kisah Abdul Rahman bin Auf masuk syurga merangkak dan kisah Hindun memamah hati Hamzah, kali ini saya akan menulis sedikit semakan dan kajian semula terhadap kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu sewaktu jahiliyyahnya. 

Kisah ini bukan sahaja tersebar meluas di Malaysia bahkan dikhabarkan ianya turut tersebar di negara-negara Arab. Sudah tentu ianya disebarkan meluas melalui ceramah-ceramah para agamawan yang tidak mengkaji sumber sejarah ataupun riwayat sesebuah kisah. Walaupun kitab sirah para Imam terdahulu tidak mensyaratkan syarat yang ketat dalam riwayat sirah seperti mana riwayat hadith, namun sirah-sirah yang tidak berasas dan meragukan boleh dikaji dan ditolak. 

Adapun di negara kita, tidak ramai yang mempunyai kemampuan untuk menyemak kesahihan sesuatu riwayat meskipun sebahagian para ustaz dan ustazah. Jangankan kemampuan menyemak riwayat, kesedaran tentang kepentingan menyemak sumber asal sesebuah riwayat pun tidak tertanam dalam masyarakat kita. 

Jadi tidak hairan kisah-kisah yang meragukan boleh tersebar luas dan menjadi modal ceramah di negara kita. Lebih menyedihkan, bukan sekadar kisah-kisah, hadith-hadith palsu dan tersangat lemah juga sering kali disebut-sebut untuk menyedapkan lagi ceramah dan kuliah agama. Disebabkan sebahaian golongan agamawan yang tidak mempunyai disiplin ilmu yang mendalamlah, masyarakat hanyut dalam lautan perkara yang tidak jelas dan tidak benar dalam Islam. 



Permulaan Kisah Umar Al-Khattab Menanam Anak 


Kisah ini dikaitkan dengan sifat Umar  radhiallahu 'anhu  sewaktu zaman jahiliyyahnya yakni sebelum memeluk Islam. Saya sendiri telah mencari dalam kitab-kitab biografi dan sejarah para Imam Ahl Sunna wal Jamaah terdahulu namun tidak ditemukan kisah ini. Kisah ini ditemui dalam sebuah kitab karya ‘Abbas Mahmud Al-‘Uqqad yang bertajuk ‘Abqariyah ‘Umar halaman 221. Disebutkan: 


يقول عباس محمود العقاد في كتابه " عبقرية عمر "ص/221 عن وأد عمر لابنته فقال  

أنه رضي الله عنه كان جالساً مع بعض أصحابه ، إذ ضحك قليلاً ، ثم بكى ، فسأله مَن حضر ، فقال : كنا في الجاهلية نصنع صنماً من العجوة ، فنعبده ، ثم نأكله ، وهذا سبب ضحكي ، أما بكائي ، فلأنه كانت لي ابنة ، فأردت وأدها ، فأخذتها معي ، وحفرت لها حفرة ، فصارت تنفض التراب عن لحيتي ، فدفنتها حية

Bahawa Umar sedang duduk bersama teman-temannya. Ketika itu beliau tertawa sedikit kemudian menangis. Lalu teman-temannya pun bertanya (mengapa Umar menangis)?. Lalu Umar berkata: Ketika kita diwaktu jahiliyyah, kita membuat sebuah berhala daripada tamar Al-Ajwah lalu kita menyembahnya. Kemudian kita makannya (Tuhan yang kita buat dan sembah). Kerana itu aku tertawa. Adapun sebab aku menangis kerana aku pernah mempunyai anak perempuan. Lalu aku ingin menanamnya hidup-hidup. Maka aku bawa dia bersamaku kemudian aku gali lubang untuknya. Kemudian dia menyapu tanah yang ada di janggutkan lalu aku menanamnya hidup-hidup. 



Para muhaqqiq dalam bidang sejarah telah mengkaji kisah ini dan mendapati beberapa kecacatan yang bercanggah dengan fakta yang lebih kuat. Antaranya ialah: 



Hujjah 1: 

Umum diketahui bahawa Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  memiliki anak perempuan sulung bernama Hafsah. Disebabkan itu beliau digelar Abu Hafs (Bapa Kepada Hafsah). Hafsah inilah menjadi isteri kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana yang telah tercatat dalam lembaran sejarah. Ini telah menjadi ijmak seluruh kaum Muslimin dan tiada siapa pun yang menafikannya. 

Jika kisah Umar  radhiallahu 'anhu  menanam anak itu benar, mengapa Hafsah sendiri tidak menjadi mangsanya? Sedangkan Hafsah adalah anak pertamanya dan seorang perempuan yang dilahirkan di Makkah, 14 tahun sebelum peristiwa Hijrah lagi. Bahkan jika benar dakwaan bahawa sejak zaman jahiliyyah amalan menanam anam perempuan telah diamalkan, mengapa masih ramai sahabiah (sahabat nabi yang wanita- yakni yang pernah bertemu dan beriman) yang hidup sejak zaman jahiliyyah di Makkah masih hidup? Kenapa mereka masih ada hingga peristiwa Hijrah? Jika benar menanam anak perempuan menjadi amalan dan tradisi kaum jahiliyyah Mekah, pasti tidak akan wujud lagi sahabat perempuan. 



Tambahan Kajian Keluarga Umar Al-Khattab 


Para Imam terdahulu telah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar Al-Khattab   radhiallahu 'anhu  dan para sahabat yang lainnya. Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar   radhiallahu 'anhu  dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah: 


  1. Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Uthman bin Maz’un yang terkenal antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  dikurniakan tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.
  2. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh. 
  3. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Thabit bin Aflah. Beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.
  4. Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Mereka mendapat anak perempuan bernama Fatimah. 
  5. Ummul Kulthum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar. 
  6. Ummul Kulthum binti Ali bin Abi Talib. Umar beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah. 
  7. Daripada hambanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar telah dikurniakan anak. Anak peremuan daripada Fukayyah bernama Zainab dan dengan Luhayyah anaknya bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar. 



Jadi anak-anak Sayyidina Umar  radhiallahu 'anhu  adalah seperti berikut: 



Lelaki: 

1) Abdullah bin Umar (Ibn Umar) 

2) Abdul Rahman al-Akbar 

3) Abdul Rahman al-Ausath 

4) Abdul Rahman al-Ashghar 

5) ‘lyadh 

6) Aasim 

7) Ubaidullah 

8) Zaid al-Akbar 

9) Zaid al-Ashghar 



Perempuan: 

1) Hafsah 

2) Ruqayyah 

3) Fatimah 

4) Zainab 



Daripada isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafs. 

Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai 3 orang anak ini sahaja. Kalau dakwaan Umar Al-Khattab   radhiallahu 'anhu  menanam anak perempuannya, maka anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafs? 

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, ada dakwaan mengatakan anak itu tidak diketahui jantinanya lelaki atau peremuan ketika ia ditanam. Adakah logik Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun? 



Hujjah 2:

Sebahagian pihak mendakwa bahawa amalan menanam anak perempuan ini terkenal dalam kalangan Bani ‘Adi iaitu kaum Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  sendiri. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas kerana saudara perempuan Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  sendiri bernama Fathimah masih hidup dan berkahwin dengan sepupunya bernama Said bin Zaid. Jika amalan itu benar menjadi adat Bani ‘Adi sudah tentu Fathimah akan ditanam hidup-hidup ketika masih kecil. Tapi mengapa beliau tidak menjadi mangsa bahkan sihat membesar dan berkahwin pula? Ini menunjukkan bahawa amalan kejam itu tidak wujud dalam kalanga Bani ‘Adi. 



Hujjah 3: 

Kisah ini tidak memiliki sanad atau rantaian periwayatan daripada mana asal usulnya. Para Imam terdahulu mereka meriwayatkan kisah-kisah dengan bersanad walaupun ianya lemah atau tertolak. Sedangkan kisah ini tidak diketahui daripada mana sanad periwayatannya daripada mana-mana kitab sirah para imam terdahulu. Tidak mungkin para imam terlepas pandang atau sengaja tidak memuatkannya untuk menjaga nama Umar Al-Khattab. Sesebuah sirah diriwayatkan dengan bersanad dan daripada sanadlah dapat diketahui kebenaran melalui kajian yang dilakukan oleh sejarawan. Tapi kisah yang tiada sanad direkodkan seperti ini, daripada mana asal usulnya? 

Bahkan penulis kitab ‘Abqariyyah Umar sendiri tidak menyebut daripada mana kisah ini diambilnya. Sebahagian para muhaqqiqin dalam bidang sejarah berpendapat bahawa kisah ini direka oleh golongan Syiah al-Rafidhah yang terkenal begitu membenci Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  dan kibar sahabat yang lain. 



Hujjah 4: 

Kajian ini telah disahkan oleh pengkaji sirah mutaakhirin (kontemporari) antaranya As-Syaikh Abdussalam bin Muhsin Ali Isa. Katanya: 

وأما عمر رضي الله عنه فقد ذكر عنه أنه وأد ابنة له في الجاهلية. ولم أجد من روى ذلك عن عمر فيما اطلعت عليه من المصادر ، ولكني وجدت الأستاذ عباس محمود العقاد أشار 
إليها في كتابه عبقرية عمر
Dan aku tidak menemui siapakah yang meriwayatkan kisah sedemikian daripada Umar sepanjang kajianku daripada sumber-sumber rujukan (sejarah zaman-berzaman). Namun, aku mendapati Ustaz ‘Abbas Mahmud Al-Uqqad telah mengisyaratkan kisah itu dalam kitab beliau, ‘Abqariyyah Umar. 

Persoalannya, bagaimana kisah yang tidak diketahui asal usulnya, daripada mana ia datang dan wujud dapat dikatakan benar? Jika benar, tentu ada sahabat atau tabi’in yang meriwayatkan daripada Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  . Atau setidak-tidaknya tentu ada Sahabat atau tabi’in yang menceritakan kisah hidup Umar Al-Khattab . Ibnu Umar sendiri tidak meriwayatkan hal ini. Tidak mungkin anaknya yang juga sahabat Nabi yang agung tidak mengetahui perihal ayahnya sendiri. Satu persoalan yang perlu difikirkan. 

Kisah ini juga telah dibincangkan dan dipersetujui ianya tidak benar oleh Multaqa Ahl Hadith. 





Kesimpulan 

Kisah ini tidak benar dinisbahkan kepada Umar Al-Khattab . Dakwaan ini berkemungkinan datang daripada mereka yang memusuhi Umar Al-Khattab itu sendiri. Sebagai ummat Islam, kita hendaklah lebih berhati-hati sebelum menyebarkan riwayat hadith mahupun sirah para sahabat. Apatah lagi jika ianya melibatkan maruah seorang sahabat yang utama. 


Baca juga kajian sejarah yang pernah saya tulis sebelum ini


 والله أعلم بالـصـواب 

Khamis, 7 Mac 2013

Kepalsuan Kisah Hindun Memamah Hati Hamzah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya ialah kisah Hindun memamah, mengunyah atau memakan hati Sayyidina Hamzah semasa atau selepas peperangan Uhud.

Kisah ini adalah ciptaan dan rekaan Ibnu Ishaq. Dialah orang yang mula-mula sekali di dalam dunia ini yang mengemukakan kisah tersebut. Kemudian at-Thabari menyebarkannya tetapi melalui jalan riwayat Ibnu Ishaq. Ringkasnya Ibnu Ishaqlah merupakan satu-satunya paksi dalam meriwayatkan kisah ini.

Ibnu Ishaq berkata, “Mengikut cerita yang sampai kepada saya menerusi Saleh bin Kaisan, Hindun Binti Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan ‘mutslah’ terhadap sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang terbunuh.

Mereka memotong telinga-telinga dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu) sehingga Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya (anting-anting) kepada Wahsyi, hamba Jubair Bin Muth’im. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya keluar.” [Sirah Ibnu Ishak m.s. 385, Sirah Ibn Hisyam jilid 3 m.s. 36]

Ibnu Jarir at-Thabari pula meriwayatkan dari Muhammad Bin Humaid, dia mengambil cerita ini dari Salamah Al Abrasy. Salamah pula mengambil dari Ibnu Ishaq. Ibnu Ishaq mengatakan, “Saleh Bin Kaisan menceritakan kepadanya…” [Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari jilid 2 m.s. 204]

Salah seorang yang tersebut dalam isnad ini ialah Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Beliau ialah penduduk Ray. Dia selalu menukilkan riwayat dari Ya’kub al-Qummi (seorang penulis kitab-kitab Syiah dan selainnya).

Ya’kub bin Syaibah berkata, “Dia selalu mengemukakan riwayat-riwayat yang sangat mungkar.” Imam Bukhari berkata, “Kedudukannya dipertikaikan.” Abu Zura’ah ar-Razi seorang alim senegeri dengannya berkata, “Dia seorang pendusta besar.” Fadlak ar-Razi juga seorang alim senegeri dengannya berkata, “Saya mempunyai 50,000 riwayat Muhammad bin Hummaid ar-Razi tetapi satupun darinya tidak saya kemukakan kepada orang ramai.”

Pernah Ibnu Kharasy mengemukakan riwayat Muhammad bin Humaid lantas dia berkata, “Demi Allah! Dia berbohong.” Ulama’ hadis yang lain berkata bahawa dia selalu mengambil hadis-hadis orang-orang tertentu kemudian menisbahkannya kepada orang lain. Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang yang lemah.” Saleh Jazarah berkata, “Tidak pernah saya lihat dalam hidup saya seorang yang lebih mahir berbohong dari dua orang iaitu pertama, Muhammad bin Humaid (ahli sejarah) dan kedua, Sulaiman as-Syazkumi.”

Imam Fadhlak ar-Razi pernah menceritakan bahawa, “Saya pernah pergi kepada Muhammad bin Humaid. Ketika itu dia sedang mereka sanad-sanad cerita-cerita palsu.” Imam Zahabi berkata, “Muridnya Muarrikh (sejarawan) at-Thabari telah menulis dengan penuh yakin bahawa Muhammad bin Humaid tidak ingat al-Quran.” Di akhir hayatnya hanya dua orang yang menerima riwayat-riwayat darinya iaitu:

1) Abul Qasim Baghawi

2) Muhammad bin Jarir at-Thabari

Ibnu Humaid meninggal dunia pada tahun 248 H – [ Mizanu al-I’tidal jilid 3 halaman 530, Tahzibu al-Kamal jilid 6 m.s. 286-287]

Seorang lagi yang ada dalam isnad Ibnu Ishak ini ialah Salamah al-Abrasy yang nama penuhnya Salamah bin Fadhl. Dia terkenal dengan gelaran al-Abrasy. Pernah menjadi qadhi di Ray kerana itulah dia dinisbahkan dengan ar-Razi. Kuniahnya ialah Abu Abdillah. Dia terkenal sebagai sejarawan di zamannya selain dianggap sebagai salah seorang perawi penting Maghazi Ibnu Ishaq. Pandangan ulama’ hadis dan rijal terhadapnya dapat dilihat melalui nukilan Imam Zahabi. Beliau menulis, “………Ishaq bin Rahawaih berkata, “Dia seorang dhaif.” Bukhari berkata, “Sesetengah hadisnya mungkar.” Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang dhaif.” Ali Ibnu Madini menceritakan, “Setelah kami pulang dari Ray, riwayat-riwayat yang pernah kami dengar dari Salamah kami buangkan dengan anggapan ia adalah karut dan dusta.”

Yahya bin Ma’in berkata, “Salamah al-Abrasy ar-Razi adalah seorang Syiah.” Abu Hatim ar-Razi berkata, “Dia tidak boleh dijadikan hujjah.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata, “Penduduk Ray sama sekali tidak suka kepadanya, lantaran fahamannya yang salah. Sebagai seorang qadhi, beliau selalu berlaku zalim terhadap orang ramai meskipun dia bersembahyang dengan khusyuk’. Sebelum menjadi qadhi beliau mengajar kanak-kanak dan beliau meningggal dunia pada tahun 191 H.” [Mizanu al-I’tidal jilid 2 m.s. 12, Tahzibu al-Kamal jilid 3 m.s. 252-253]


Ibnu Ishaq mendakwa riwayat ini diambilnya dari Saleh Bin Kaisan. Siapakah Saleh Bin Kaisan itu? Beliau ialah seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai) tetapi beliau lahir selepas 70H dan meninggal dunia pada tahun 140H. Dia lebih tua sedikit dari Muhammad Bin Ishaq sedangkan peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya. Siapakah pula yang menceritakannya kepada Saleh? Tentu sekali beliau bukan merupakan penyaksi peristiwa itu dengan mata kepala sendiri. Sudah tentu sekurang-kurangnya seorang yang ‘ghaib’ dalam isnad ini menjadikannya riwayat munqati’. Sepertimana dimaklumi riwayat munqati’ tidak boleh diterima (sebagai hujah).

Sebenarnya Saleh Bin Kaisan tidak pun meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq sahaja yang mengaitkannya dengan Saleh. Selain dari Ibnu Ishaq, tidak ada sesiapapun mengambil cerita ini baik dari Saleh Bin Kaisan atau orang lain sepanjang pengetahuan sejarah. Di antara sekian ramai anak murid Ibnu Ishaq pula, tidak ada yang meriwayatkan cerita ini darinya selain Salamah al-Abrasy. Kemudian tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Salamah al-Abrasy selain Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Seterusnya tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Muhammad bin Humaid ar-Razi selain dari Ibnu Jarir at-Thabari.

Al-Thabari meninggal dunia pada tahun 310H. Ini bermakna dari tahun 70H hingga tahun 310H, di setiap peringkat hanya ada seorang sahaja yang meriwayatkan kisah ini, seolah-olah ia suatu perkara yang sulit dan perlu dirahsiakan. Ia hanya boleh diterima dari setiap generasi, seorang sahaja!

Sekiranya peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia mempunyai saksi yang melihatnya dengan mata kepala, tentu sekali ia tersebar lebih awal dari itu dan sepatutnya perawi-perawi cerita ini semakin ramai dari satu generasi ke generasi selepas itu. Terbuktilah bahawa kisah ini tidak popular kecuali setelah masyarakat Islam menerima apa sahaja riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan at-Thabari dengan membuta tuli. Kisah ini sebetulnya tidak diketahui oleh sesiapa pun sebelum tahun 70H.


PENILAIAN LOGIK


Dari segi Logiknya, bagaimana Ibnu Ishak hanya nampak Hindun sahaja melakukan perbuatan keji ini dan menuding jari kepadanya sedangkan ramai lagi perempuan-perempuan lain yang turut serta dalam peperangan Uhud selain Hindun seperti Ummu Hakim binti al-Harits Bin Hisyam, Barzah (isteri kepada Safwan bin Umayyah), Barrah binti Mas’ud bin Amar bin Umair as-Saqafiyyah (ibu kepada Abdullah Bin Safwan), Buraithah binti Munabbih bin al-Hajjaj (isteri kepada Amar bin al-’As dan ibu kepada Abdullah bin Amar bin al-As). Sulafah binti Saad, Khunas binti Malik dan Amrah binti Alqamah dan lain-lain lagi. Dalam kesibukan perang dan hingar bingar kedua-dua pasukan yang berperang itu, bagaimana kelihatan kepada Ibnu Ishaq Hindun sedang memakan hati Hamzah dan menjadikan telinga, hidung dan lain-lain anggota Hamzah sebagai gelang kakinya di samping menghadiahkan pula kalung dan subangnya kepada Wahsyi yang telah mensyahidkan Hamzah.

Untuk mengetahui semua tindakan Hindun dengan sah dan tepat, seolah-olahnya Ibnu Ishaq telah mengutus wartawan-wartawan dan juru-juru kamera yang tidak terbabit langsung dalam peperangan, tugas mereka hanyalah menyaksikan dan merakamkan apa yang berlaku dalam peperangan itu lalu melaporkannya kepada Ibnu Ishaq dan menyerahkan pula gambar-gambar sebagai bukti sokongan kepada apa-apa yang disampaikan oleh mereka itu. Untuk mendapat kepastian sedemikian rupa semestinya Ibnu Ishaq dibantu oleh orang-orang tadi. Ini kerana tidak pula orang-orang yang ikut serta secara langsung sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau mereka yang ada di pihak orang-orang kafir tetapi kemudiannya memeluk Islam menceritakan sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq.

Perempuan-perempuan yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah bersama-sama dengan Hindun melakukan mutslah (memotong-motong anggota orang yang telah mati dengan maksud melepaskan geram dan dendam) juga tidak menceritakan seperti mana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq itu. Maka bagaimana kita akan menerima riwayat yang melaporkan kisah tersebut menerusi Saleh Bin Kaisan yang lahir setelah lebih 70 tahun berlakunya peristiwa ini dan mengenepikan pula saksi-saksi mata kepala yang turut serta dalam peperangan ini sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau dari kalangan orang-orang kafir.

Wahsyi yang diketahui dan diterima oleh semua sebagai pembunuh Sayyidina Hamzah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Jubair bin Muth’im tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga memeluk agama Islam. Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada Sayyidina Muawiyah yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah memakan hati Hamzah, kemudiannya juga telah memeluk agama Islam. Semua mereka ini tidak ada pun menceritakan apa yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq pada hal merekalah orang-orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini dan paling patut dirujuk dan diselidiki penjelasan mereka.


SIKAP IMAM BUKHARI

Imam Bukhari jauh berbeza dari Ibnu Ishaq kerana meriwayatkan kisah pembunuhan Sayyidina Hamzah melalui pembunuhnya sendiri bukan melalui orang yang lahir 70 tahun selepas peristiwa itu berlaku. Menurut metod ilmu riwayat, riwayat yang dikemukakan oleh Imam Bukhari lebih wajar diterima kerana beliau mengambil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu. Mari kita perhatikan riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya berhubung peristiwa itu.


RIWAYAT IMAM BUKHARI

Imam Bukhari menukilkan dari Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad-Dhamri dia berkata, “Saya telah berangkat untuk satu perjalanan dengan Ubaidullah bin Adiy bin al-Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi bertanya kepada saya, “Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya kepadanya tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah.” Saya berkata, “Tentu sekali.”

Pada hari-hari itu Wahsyi menetap di Hims. Kami bertanya seseorang, “Di mana rumah Wahsyi?” Orang itu menceritakan, “Itu dia Wahsyi sedang duduk di bawah naungan (bayang) rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam rupanya yang gemuk dan tidak berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami berdiri sejenak setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya. Beliau menjawab salam kami. Perawi berkata, “Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin al-Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak apa-apa darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja.”

Ubaidullah pun bertanya Wahsyi, “Kamu kenalkah siapa saya?” Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah Ubaiullah, kemudian dia berkata, “Demi Allah! Tidak! Ya, Cuma saya tahu bahawa Adi bin al-Khiyar telah berkahwin dengan seorang perempuan dipanggil Ummul Qital binti Abi al-‘Is. Dengannya Adi bin al-Khiyar telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari seorang pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang memerhatikan kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu.” Ubaidullah pun mengalihkan kain dari mukanya. Dia bertanya Wahsyi, “Bolehkah kamu ceritakan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah?” Wahsyi menjawab, “Ya, tentu boleh. Ceritanya begini: Hamzah telah membunuh Thu’aimah bin Adi bin al-Khiyar dalam peperangan Badar. Tuan saya Jubair bin Mut’im berkata kepada saya, “Kalau engkau dapat membunuh Hamzah, engkau merdeka.”

Bila saya keluar untuk berperang pada tahun ‘Ainain’ (Ainain ialah salah satu bukit di Uhud, di hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga keluar bersama orang lain untuk berperang. Bila masing-masing pasukan telah membetulkan saf, maka Siba’ bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata, “Adakah sesiapa yang akan berlawan?” Wahsyi menceritakan, “Dari kalangan pihak lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil ke hadapan seraya berkata, “Oh Siba’! Oh anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau memerangi Allah dan Rasulnya?” Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang lalu dia (Siba’) menjadi seperti kelmarin yang telah berlalu (terus mati). Wahsyi berkata, “Saya ketika itu bersembunyi di sebalik satu batu besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia lalu dekat saya, terus saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu mengenai bahagian pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga pulang bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke Ta’if.”

Bila orang Ta’if menghantarkan utusan-utusan kepada Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada saya, “Nabi tidak mengganggu utusan,” kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi s.a.w. Bila Nabi s.a.w. melihat saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau Wahsyi?” Saya menjawab, “Ya.” Baginda s.a.w. bertanya lagi, “Engkaukah yang telah membunuh Hamzah?” Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah benar.” Nabi s.a.w. pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari pandanganku?” Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ.”

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., Musailamah al-Kazzab memberontak. Saya berfikir dalam hati saya bahawa seharusnya saya keluar untuk menentang Musailamah. Boleh jadi saya akan dapat membunuhnya dengan itu terbalaslah (terbayarlah) pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir begitu saya pun keluar bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam peperangan) saya ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia kelihatan seperti unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya lepaskan lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak kepalanya. Abdullah Bin al-Fadhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr menceritakan kepada saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata, “Seorang perempuan yang ketika itu berdiri di atas bumbung rumah lantas berteriak mengatakan, “Demi Amirul Mukminin (Musailamah al-Kazzab)! Dia telah dibunuh oleh budak Habsyi.” [ Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583]

Demikianlah kedudukan sebenar kisah ini mengikut cerita dari mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. Dari riwayat ini dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut;

1. Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin Muth’imlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.


2. Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh Hamzah. Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain dari hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muth’im. Sekiranya ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya.


3. Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga akhir di pihak orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke rumah bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota orang-orang Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada juga beliau menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika diandaikan beliau tidak melihat apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan Quraisy terhadap orang-orang Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun tetap berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar.


4. Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh Rasulullah s.a.w., Nabi s.a.w. meminta beliau supaya tidak bersemuka dengannya. Tetapi Jubair bin Muth’im, pada ketika pembukaan Mekah tidak pula diminta oleh Rasulullah s.a.w. supaya tidak bersemuka dengannya seperti Wahsyi. Apa yang dilakukan oleh Hindun, jika benar seperti yang didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa Hindun telah membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya – maka kelakuan itu lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana sudah lumrah dalam peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya Rasulullah s.a.w. juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi tetapi sebaliknya apabila Nabi s.a.w. menakluk Mekah, di samping Baginda s.a.w. mengisytiharkan damai, Baginda s.a.w. juga telah mengisytiharkan nama-nama orang yang perlu dihukum bunuh.


Pada ketika itu Hindun tidak tersenarai dalam orang-orang yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi s.a.w. menyatakan kebencian dan dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya mengisytiharkan kepada umum bahawa sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufyan (juga merupakan rumah Hindun) untuk menyelamatkan dirinya, dia terselamat dan mendapat keamanan. Pengisytiharan seperti ini membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Hindun atau Abu Sufyan tidak terlibat sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa lagi untuk dikatakan beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya. Hindun seperti juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama Islam, selepas berbai’ah dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan bersemuka dengan Nabi s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk Islam terhadap Nabi s.a.w. Kata beliau, “Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada manusia yang berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku darimu tetapi hari ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini lebih ku kasihi darimu.”

Lihatlah bagaimana beliau menyatakan isihatinya terhadap Nabi s.a.w. dengan bersemuka dan lihatlah pula apa jawapan Nabi s.a.w. dan bagaimana Nabi s.a.w. menyambut kata-katanya itu. Dari kata-kata Nabi s.a.w. itu kiranya sirnalah segala tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Hindun, ibu mertua Nabi s.a.w., ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada Sayyidina Mu’awiyah. Baginda s.a.w. lantas bersabda, “Ya, demikian juga aku. Demi Tuhan yang nyawaku berada ditanganNya.” [ Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539]


Ini bermakna Nabi s.a.w. juga kasih kepada Hindun seperti mana Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan kasihnya yang sungguh-sungguh itu, Baginda s.a.w. bersumpah dengan Tuhan yang nyawanya berada ditanganNya.

5. Daripada dua riwayat berlainan kandungannya yang dikemukakan oleh dua orang tokoh, Ibnu Ishaq dan Imam Bukhari, tergambar dengan jelas aliran pemikiran dan aqidah masing-masing. Yang pertama berfahaman Syi’ah yang sememangnya membenci para sahabat dan memusuhi mereka sementara yang kedua pula mengasihi sahabat seperti Rasulullah s.a.w. sendiri mengasihi mereka.

6. Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70 tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara langsung dalam peristiwa itu?

7. Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di dalam hati ummah terhadap Sayyidina Muawiyyah yang telah memusnahkan pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor dan 20 tahun sebagai Khalifah. Dia seolah-olahnya menghujah para pembaca riwayatnya dengan cerita yang dikemukakan itu, iaitu Sayyidina Muawiyah adalah seseorang yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kejahatan dan kekejaman itu bukanlah suatu yang baru bahkan ia adalah suatu yang turun temurun diwarisinya dari ibunya yang telah sanggup membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, juga diwarisi dari ayahnya yang merupakan kepala kafir Quraisy dalam peperangan Uhud itu. Inilah sebenarnya motif yang telah melahirkan cerita ini ke alam nyata.

8. Ibnu Ishaq sebetulnya mahu mencabar fikiran ummah dengan suatu alasan di sebalik cerita yang dipersembahkan itu. Bahawa jika Wahsyi yang telah melakukan suatu perkara yang lumrah berlaku dalam sesuatu peperangan pun diminta oleh Nabi s.a.w. supaya tidak menunjukkan mukanya kepada Baginda s.a.w., bagaimanakah pula dengan orang yang telah membelah perut Sayyidina Hamzah lalu mengunyah hatinya? Adakah mungkin Rasulullah s.a.w. dapat menerima orang seperti itu? Kalau pun orang itu kemudiannya memeluk agama Islam dan berbai’ah dengan Nabi s.a.w., tetap juga ada kemungkinan bahawa Nabi s.a.w. menerima keislamannya secara taqiyyah!

Imam Bukhari mengemukakan hadis, “Hindun menyatakan isihatinya kepada Rasulullah s.a.w. secara terbuka dan bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. seperti disebutkan tadi di bawah bab ‘Kelebihan Hindun Binti Utbah’. Apa yang Imam Bukhari mahu abadikan melalui bab ini ialah Hindun bukan sahaja telah diterima keislamannya, bahkan beliau mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Apa yang dapat difahami secara mudah ialah sekurang-kurangnya beliau merupakan mertua kepada Nabi s.a.w. dan ibu kepada Amirul Mukminin Sayyidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan. Itu sahaja pun bagi umat Islam bukan alang kepalang keistimewaannya. 


Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi’ah Di Kalangan Ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.



والله أعلم بالـصـواب 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik