Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label Telegram Channel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Telegram Channel. Papar semua catatan

Selasa, 21 Mac 2017

Kesalahan Ibu Bapa Menipu Anak Kecil


 
"Adik, tolong ambilkan air untuh abah..."
*Buat tak tahu sebab khusyuk tengok upin ipin..
"Kalau adik ambilkan, abah bagi adik coklat cadbury yang adik suka.."
"Wahhh..adik dah lama tak makan coklat tu!"
Lalu anak kecil itu pergi ke dapur dan membawakan segelas air.
"Nah airnya, bak coklat adik..."
"Ahhh..lega tekak abah, coklat adik tu takde sekarang..nanti abah belikan ye."
"Alaaaa...ingatkan ada!" rungut anaknya sambil menarik muka tanda tidak puas hati. Dia kemudiannya kembali menonton televisyen. 
..........
Selalu situasi ini berlaku dan kita lakukan kepada anak kecil bukan? Kita menggunakan helah dan hadiah untuk menyuruh mereka melakukan sesuatu. Perbuatan beri upah ini tiada salahnya, tapi tahukah anda jika anda tidak memberi apa yang anda katakan bermakna anda telah menipunya dan perbuatan menipu kanak-kanak termasuk salah satu dosa.

Ya, dosa yang orang ramai terlepas pandang . Yang selalu ibu bapa & orang dewasa lakukan.
Dalam hadith riwayat Abu Daud, Abdullah bin Amir pernah dipanggil oleh ibunya untuk diberikan sesuatu lalu Nabi bertanya kepada ibu Abdullah bin Amir apakah yang akan dia berikan kepada anak kecil itu.. Wanita itu menjawab kurma. Kemudian Baginda memberi peringatan, jika dia tidak memberikan kepada anaknya, maka dia dikira berdusta.

Dalam hadith riwayat Ahmad, baginda mengatakan:

من قال لصبي تعال هاك ثم لم يعطه فهي كذبة
"Sesiapa yang mengatakan kepada budak kecil 'Kesini, ambil ini' kemudian dia tidak memberikannya maka dia dikira berdusta.
Sebahagian orang menipu kanak-kanak kerana mereka biasanya tidak menuntut kembali janji itu sedangkan hakikatnya perbuatan ini meletakkan pelakunya dalam perbuatan menipu. [Al-Dhiya' al-Lami' min al-Khutab al-Jawami' 7/514]

Islam menyuruh agar menanam sifat jujur dan benar dalam diri kanak-kanak sehingga mereka menjadi sama seperti itu dan itu semua disampaikan melalui perbuatan dan percakapan. [Mausu'ah al-Akhlaq al-Islamiyyah 1/342]

Buat ibubapa dan sekalian orang dewasa, mari kita tanam dalam diri kita selepas ini:
  •  Menipu budak-budak sama seperti menipu orang dewasa.
  • Janji dengan budak-budak pun perlu ditunaikan. Jangan beri janji palsu.

Beginilah Islam mengajar kita bergaul dengan kanak-kanak.
wallahua'lam.
..........
Ad-Dien Abdul Kadir
17/03/2017_Jumaat
telegram.me/addien90


Rabu, 4 Januari 2017

Air Tiada Ketika Berwudhu', Perlu Ulang Atau Sambung Semula?




Soalan:

Dalam keadaan berwudhu tetiba air berhenti/tiada nak basuh kaki masa tu dalam keadaan 10 minit begitu air tu baru on bolehkah teruskan wudhu @ perlu perbaharui wuduk sekali lagi.?


Ad-Dien menjawab:

Jumhur ulama' berpendapat tidak wajib muwalat (bersambung terus menerus) ketika wudhu' tetapi ianya sunat. Sebahagian ulama' yang mewajibkannya juga membenarkan tafriq (memisahkan basuhan wudhu') dalam sesuatu tempoh jika dharurat atau ada uzur/keperluan mendesak. Mazhab Syafie dan Hanafi berpendapat ianya sunat sahaja sebagaimana yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu', Al-Mawardi, As-Suyuti dan ulama' lain.

Muwalat dalam bahasa mudahnya ialah kita terus membasuh anggota wudhu' yang berikutnya tanpa berhenti dalam sesuatu tempoh.

Contohnya lepas basuh muka terus basuh kedua tangan kemudian terus dengan kepala dan seterusnya hinggalah selesai wudhu'. Macam yang selalu kita lakukan ketika berwudhu', itulah yang dinamakan muwalat.

Jika kita berhenti dalam sesuatu tempoh kerana sesuatu sebab seperti soalan diatas, atau kerana keuzuran/dharurat yang lain, maka dibolehkan untuk berhenti seketika kemudian sambung basuhan wudhu' itu apabila telah mendapati air.

Jika tempoh berhenti wudhu' itu agak lama (mungkin beberapa jam) mengikut pendapat mazhab Syafie, boleh untuk sambung wudhu' tersebut. Namun memperbaharui wudhu' dan mengambilnya secara muwalat adalah lebih afdhal.

[Rujuk Al-Majmu' 1/452, Al-Hawi lil Mawardi 1/164-165, Al-Mughni Ibn Qudamah 1/192]

Wallahua'lam.
_________

Ad-Dien Abdul Kadir
Isnin_02/01/2017
telegram.me/addien90

Jumaat, 30 Disember 2016

Lelaki Yang Buat Wanita Menangis Akan Disebat Malaikat?










Telah tersebar poster ancaman yang sangat dahsyat bagi lelaki wanita dan membuatkan mereka menangis.

Antara hukumannya ialah:

1. Dianggap sebahagian daripada keturunan arab jahiliyyah.

2. Seorang dayus dan haram mengambil akad nikah.

3. Di neraka nanti lehernya akan dijerut oleh Malaikat dengan tulang belakang perempuan itu.

4. Haram ke syurga.

5. Haram cium bau syurga.

6. Jarak dengan neraka adalah senipis sehelai rambut (poin nombor 3 tadi kata dah diseksa di neraka?!)
..........

Kandungan dalam poster ini hanyalah rekaan semata-mata. Dalam ilmu hadith, bentuk sebegini dipanggil At-Tarhib iaitu ancaman.

Antara faktor kemunculan hadith palsu ialah sebagai At-Tarhib iaitu untuk memberikan ancaman kepada manusia akan sesuatu kesalahan supaya mereka rasa takut untuk melakukannya.

Niatnya memang baik tapi ianya tetap salah. Niat yang baik tak bermaksud kita boleh sesuka hati mereka-reka sesuatu berkaitan agama.

Walaupun ia tidak didakwa sebagai hadith tapi ia mungkin akan dipercayai oleh masyarakat awam yang tidak punya pengetahuan mendalam tentang agama.

Kesalahan dalam poster ini;

1. Mereka-reka azab khusus terhadap sesuatu perbuatan. Dalam Islam, hanya Allah dan Rasul sahaja yang ada autoriti/hak untuk menyebutkan tentang sesuatu azab khusus.

2. Azab yang dinyatakan (6 azab) itu terlalu berlebih-lebihan hingga tak sepadan dengan dosa yang dilakukan. Memang inilah bentuk hadith palsu. Ulama' hadith mengatakan bahawa antara tanda sesuatu hadith itu palsu ialah, ancaman atau ganjaran yang diberikan terlalu melampau, tidak sepadan dengan perbuatan.

3. Mendakwa tentang hal ghaib tanpa dalil yang sahih. Perkara berkaitan dengan kiamat, syurga dan keindahannya, neraka dan azab-azab di dalamnya adalah termasuk perkara ghaib yang mana kita semua tidak tahu bagaimana keadaannya. Perkara ghaib tersebut diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul.

4. Dakwaan ianya daripada Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga boleh jadi sengaja direka. Memang menjadi adat orang yang mereka sesuatu berkaitan agama pasti akan menyandarkannya kepada mana-mana tokoh/orang yang berpengaruh untuk menjadikan dakwaannya itu diterima ramai walaupun sebenarnya ia tak disebutkan pun oleh mereka. Selagi tidak ada bukti yang sahih/valid ianya daripada UAI, maka ia dianggap dakwaan palsu.

Kesimpulan:

Ancaman bagi lelaki yang membuat wanita menangis atau terasa hati ini adalah palsu dan rekaan semata-mata. Tidak bersumberkan mana-mana kitab hadith yang muktabar.

Sesiapa yang mereka atau pernah share kepada oranv lain, sila padam dan jelaskan kepalsuan ini.

wallahua'lam.
_________

Ad-Dien Abdul Kadir
Khamis_08/12/2016

Sabtu, 29 Oktober 2016

Imam Hanafi, Maliki Tak Wujud!




|Imam Hanafi, Maliki Tak Wujud! |

Selalu kita dapati sebahagian orang bercakap atau menulis berkaitan mazhab maka mereka menyebutkan

"Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Hanbali..."

Sedangkan Imam bernama sedemikian tak wujud!

Bahkan pernah juga cover buku yang terjebak sama menggunakan perkataan sedemikian. Mungkin anda juga pernah jumpa di kedai-kedai buku.

Sebenarnya nama Hanafi, Maliki dan Hanbali adalah nama Mazhab, bukan nama Imam Mazhab. Apabila nama Imam disebutkan sedemikian, maka ia merupakan suatu kesalahan.

Sebutan yang betul ialah;

1. Imam Abu Hanifah. Bukan Imam Hanafi tapi Mazhab Hanafi.

2. Imam Malik. Bukan Imam Maliki tapi Mazhab Maliki.

3. Imam Ahmad bin Hanbal. Bukan Imam Hanbali tapi Mazhab Hanbali.

--------

Imam Syafie pula? Kenapa boleh sebut Mazhab Syafie?

Sebabnya adalah nama Imam As-Syafie (الشافعي) diakhiri dengan huruf ya (ي).

So, apa kena mengena huruf (ي) ni dengan isu yang kita bincangkan?

Ada kena mengena. Ia berkaitan ilmu tatabahasa Arab.

Dalam bahasa Arab, bila seseorang itu dinisbahkan/dikaitkan kepada sesuatu sama ada namanya, tempat atau sifat tertentu, maka huruf akhirnya hendaklah diletakkan huruf (ي)

Huruf (ي) ini disebut sebagai ya An-Nisbah/nasab. Ya nisbah memiliki simbol syaddah/tasydid (يّ) sebagai bentuk penegasan manakala huruf sebelumnya (ي) hukumnya mestilah dijadikan kasrah (berbaris bawah).

Contoh:

Nama Malik (مَالِكٌ) dinisbahkan kepada mazhab, maka perlu ditambah huruf (ي) nisbah. Maka jadilah Maliki (مَالِكِيٌّ). Huruf (ك) menjadi kasrah (baris bawah) selepas diletak (ي) nisbah.

Nama Syafie (الشافعي) pula memang berakhir dengan huruf (ي) dan huruf sebelumnya iaitu (ع) memang dah kasrah (baris bawah), jadi tiada masalah. Terus saja sebut sebagai Mazhab Syafie.

---------

Huruf (ي) nisbah ini jika dalam tatabahasa English dikenali sebagai suffix (imbuhan akhir) yang ditambah dengan huruf "-ian/an".

Contoh, orang yang dinisbahkan/dikaitkan dengan Malaysia a.k.a orang Malaysia= Malaysian.

Orang America= American.

Orang yang dikaitkan dengan dunia Academic= Academician

Dan sebagainya.

Begitulah konsepnya. Manakala dalam bahasa Melayu, setakat pengetahuan saya, tiada imbuhan akhir untuk menunjukkan penisbahan sebegini.

Wallahua'lam.

Semoga bermanfaat.
_______
telegram.me/addien90
Ad-Dien Abdul Kadir
Khamis 13/10/2016

Ahad, 22 November 2015

Penjelasan Fitnah Imam Main Whatsapp Ketika Solat!





#SoalJawabAdDien #Soalan16

Isu ini antara isu yang viral di laman sosial dan ramai yang tanya tentang ini. Saya baca begitu banyak tomahan, kutukan, fitnah dan yang sewaktu dengannya. Saya tak mengenali ustaz ini tapi dakwaan beliau sedang "whatsapp/mesej" sambil solat bagi saya keterlaluan dan tak masuk akal.

Sebahagiannya mendakwa ustaz ini sesat, jahil dan macam-macam lagi ucapan yang tak elok didengar.

Sedangkan perkara ini bukanlah benda yang baru dalam perbincangan fiqh Islam. Para ulama' membahaskan isu ini biasanya dalam bab qiraatul quran bil mushaf athna solah (bab baca Al-Quran menggunakan mushaf ketika solat)

Para ulama' berbeza pandangan dalam isu ini dan ada beberapa masalah yang dibincangkan. Ringkasnya membaca Al-Quran dengan menggunakan mushaf Al-Quran dibenarkan dalam Mazhab Syafie dan Hanbali dan ianya dibenarkan bagi Imam sahaja untuk solat sunat sahaja seperti solat tarawih dan sebagainya.

Kata Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab (4/27):

"Membaca Al-Quran daripada mushaf tidaklah membatalkan solat sama ada dia hafaz atau tidak (ayat tersebut)..."

Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi (wafat 620H) dalam kitabnya Al-Mughni (1/411):

"Imam Ahmad berkata: Tidak mengapa jika membaca Al-Quran dengan melihat mushaf ketika solat qiam (solat sunat malam)..."

Kata Imam Zakaria Al-Ansari (wafat 926H) dalam Athna al-Matholib syarh Raudh At-Tolib (kitab penting mazhab Syafie):

"...Menyelak mushaf masa solat bagi Imam tu tak termasuk pergerakan besar yang boleh membatalkan solat..."


Kesimpulan:

Apa yang dilakukan oleh ustaz berkenaan bukanlah suatu kesalahan dan ia dibenarkan. Hanya sahaja mushaf yang digunakan berbentuk moden (aplikasi dalam telefon).

Kesemua syarat yang disebutkan oleh ulama' silam yang membenarkan melihat mushaf dipenuhi oleh ustaz tersebut iaitu:

1. Imam (bukan makmum)
2. Dilakukan pada solat sunat (dalam video itu solat tarawih)

Jadi, cercaan buruk yang dikatakan kepada ustaz tersebut sangat tidak patut dan menunjukkan kejahilan pengutuk tersebut. Semoga isu ini dapat diakhiri dengan baik.

Sampaikan pada mereka yang viralkan isu ini.

Wallahua'lam.
______________
@Ad-Dien Abdul Kadir

12/11/2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik