Cari Entri WADi

Jumaat, 21 November 2014

Fatwa Imam An-Nawawi: Imam Diam Selepas Membaca Al-Fatihah



بسم الله الرحمن الرحيم



Dalam solat Jahriyah (yakni solat yang bacaannya dibaca dengan kuat iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak-pen) setelah imam membaca Al-Fatihah, dia diam untuk memberikan kesempatan kepada makmum membaca surah Al-Fatihah. Adakah perkara itu disunnahkan bagi Imam untuk saktah (diam) dengan diam yang sebenar-benarnya atau adakah ketika itu dia membaca surah dalam Al-Quran atau bertasbih secara sir (perlahan)?

Adakah perbuatan ini berdasarkan daripada syara’ atau adakah ulama’ yang menyebutkan pendapat ini?


Imam An-Nawawi rahimahullah menjawab:

Dalam keadaan saktah (imam diam) ini bagi Imam untuk berzikir, berdoa, atau membaca Al-Quran secara sir (diam). Menurut pendapatku, membaca Al-Quran pada ketika itu lebih utama kerana memang ketika itulah tempatnya (untuk membaca Al-Quran).

Adapun alasan yang menunjukkan bahawa sebaiknya imam melakukan hal yang demikian yakni membaca Al-Quran, berdoa atau berzikir dan bukannya diam yang sebenar-benar diam kerana tidak ada waktu diam bagi Imam (ketika waktu solat berdasarkan syara’). 

Begitu juga hujah diatas berdasarkan qiyas iaitu diqiyaskan dengan keharusan Imam membaca Al-Quran sewaktu makmum menunggu untuk solat Khauf. Jika orang bertanya: “Mengapa ianya disebut saktah (diam) sedangkan disitu Imam diperintahkan untuk membacakan Al-Quran atau berzikir?” 

Jawab: Ianya (istilah diam) tersebut tidaklah terlarang (tidak salah) sebagaimana halnya sesudah takbiratul ihram juga dinamakan saktah (diam) padahal ketika itu disunnahkan untuk membaca doa iftitah. 

Diriwayatkan dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim:

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku bertanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Wahai Rasulullah, engkau diam seketika di antara takbiratul ihram dengan Al-Fatihah itu, apakah yang engkau baca?”

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku membaca

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِى وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ ، اللَّهُمَّ نَقِّنِى مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَاىَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ


Ya Allah, jauhkanlah antara aku dan dosaku sebagaimana engkau menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah sucikanlah aku dari dosa-dosaku sebagaimana sucinya kain putih dari kotoran. Ya Allah besihkanlah kesalahanku dengan air, salji dan air sejuk” [Riwayat Al-Bukhari no. 744 dan Muslim no. 1382]


           

            Ianya dinamakan saktah (diam) padahal Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa iftitah. Memang ketika itu merupakan waktu diam jika dibandingkan dengan bacaan jahr (secara kuat) sebelum dan sesudah doa iftitah.

            Ulama’ yang menyebutkan masalah ini ialah As-Syaikh Abul Faraj As-Sarkashi rahimahullah di dalam kitabnya Al-Amaali. Dia berkata di dalam kitab itu:

“Di dalam waktu diam (diam sejenak selepas Imam membaca Al-Fatihah) disunnahkan berdoa dengan doa yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu: “Allahumma baa’id…hingga akhir ayat.”

Pendapat As-Sarkashi rahimahullah ini bagus namun pendapat yang rajah ialah pada ketika saktah (diam) Imam iaitu setelah membaca Al-Fatihah maka hendaklah dia membaca ayat Al-Quran dengan sir seperti yang telah kami sebutkan sebelumnya.

Jika ada orang bertanya bahawa berdoa dan membaca Al-Quran pada ketika itu tidak disebutkan di dalam riwayat yang bersumberkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maka bagaimanakah hal tersebut?

Jawabnya ialah sebagaimana tidak adanya dalil yang menetapkan sedikian maka tidak ada pula dalil yang meniadakan atau dalil yang melarangnya. Oleh kerana itu masalah ini ialah masalah yang tidak ada nasnya dan terhadap masalah yang tidak mempunyai nas maka dilakukan qiyas seperti yang kami sebutkan tadi.

Wallahua’lam.
[ Fatawa Al-Imam An-Nawawi Al-Musamma bi Masaail al-Manthuurah bab
الحديث على السكتة بعد الفاتحة في حق الإمام ]


 والله أعلم بالـصـواب 


Isnin, 17 November 2014

Hadith Penghulu Istighfar



بسم الله الرحمن الرحيم




Istighfar yang terbaik; Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar)
------------------

Terdapat beberapa lafaz istighfar (memohon ampunan kepada Allah) yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam kepada kita. Inilah lafaz istighfar yang terbaik yang disebutkan di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rahimahullah. Imam Al-Bukhari mengatakan

حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ حَدَّثَنَا الْحُسَيْنُ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُرَيْدَةَ قَالَ حَدَّثَنِي بُشَيْرُ بْنُ كَعْبٍ الْعَدَوِيُّ قَالَ حَدَّثَنِي شَدَّادُ بْنُ أَوْسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Telah menceritakan kepada kami Abu Ma'mar, telah menceritakan kepada kami Abdul Warith, telah menceritakan kepada kami Al-Husain, telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Buraidah dia berkata; telah menceritakan kepadaku Bushair bin Ka'b Al-'Adawi dia berkata; telah menceritakan kepadaku Syaddad bin Aus radhiallahu 'anhu dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam;


سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ 

"Sesungguhnya istighfar yang paling baik ialah; kamu mengucapkan:


اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Allahumma Anta Rabbi Laa Ilaaha Illa Anta Khalaqtani Wa Ana 'Abduka Wa Ana 'Ala 'Ahdika Wa Wa'dika Mastato'tu A'uuzu Bika Min Syarri Maa Sona'tu Abuu-u Laka Bini'matika 'Alayya Wa Abu-u bizanbi Faghfirli Fa Innahu Laa Yaghfiruz Zunuuba illa Anta

Terjemahannya:

(Ya Allah, EngkaulahTuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hambaMu. Aku menetapi ikrarMu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui dosaku kepadaMu dan aku akui nikmatMu kepadaku, maka ampunilah aku kerana tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain dariMu) '."


قَالَ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
Beliau (Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam)bersabda: 'Jika Da mengucapkan di waktu siang dengan penuh keyakinan lalu meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk ahli syurga. Dan jika dia membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk ahli Syurga.'

[Riwayat Ahmad no. 16662; Al-Bukhari no. 6306; Sunan Ibn Majah no. 3872; Abu Daud no. 5070; Jami’ Al-Tirmizi no. 3393; Sunan As-Sughra Imam An-Nasai no. 5522; Sahih Ibn Hibban no. 932; Mustadrak Al-Hakim no. 1828- isnad hadith di atas ialah isnad Al-Bukhari]

Info Rijal (Perawi) Al-Hadith:-------------

1. Abu Ma’mar. Beliau ialah Abdullah bin Amru bin Maisarah. Masyhur dengan gelaran Abdullah bin Amru Al-Tamimi. (wafat 224 Hijrah)

2. Abd Al-Warith bin Sa’id bin Zakwan. Antara kibar ulama’ yang meriwayatkan daripadanya ialah Sufyan Al-Thauri, Qutaibah bin Sa’id, Ali bin Madini dan sebagainya. (Wafat 180 Hijrah)

3. Al-Husain di dalam sanad ini ialah Al-Husain bin Zakwan Al-Mu’allim. Antara kibar ulama’ yang meriwayatkan daripadanya ialah Abdullah bin Mubarak, Yahya bin Sa’id Al-Qattan, Syu’bah bin Hajjaj dan sebagainya. (wafat 145 Hijrah).

4. Abdullah bin Buraidah Al-Aslami, Qadhi di Maru/Marwa (kini ia tertelak di Turkmanistan). Termasuk salah seorang Al-Mu’ammar. Sempat bertemu para sahabat seperti Anas bin Malik, Aisyah, Abu Hurairah, Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Abu Musa Al-Asy’ari dan sebagainya (wafat 115 Hijrah)

5. Bushair bin Ka’ab Al-‘Adawi salah seorang Mukhadram menurut Ibn Hajar Al-Asqalani. Beliau sempat bertemu dengan sahabat Nabi seperti Abu Hurairah, Abu Darda’ dan Abu Zar.

6. Syaddad bin Aus bin Thabit ialah salah seorang Sahabat Nabi, golongan Ansar (orang Madinah). Beliau ialah Anak saudara Hasan bin Thabit, penyair Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.Bapa Syaddad yakni Aus bin Thabit termasuk salah seorang Ahli Badar dan Syuhada’ di Badar.(wafat 64 Hijrah)

Moga kita sama-sama dapat lazimi Sayyidul Istighfar ini. Di dalamnya penuh dengan nilai-nilai Akidah yang suci, penyerahan diri dan permohonan keampunan yang besar maknanya.

Tulisan asal: https://www.facebook.com/addien90/posts/849675785052391




 والله أعلم بالـصـواب 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik