Cari Entri WADi

Rabu, 7 Mac 2012

Nasihat: Menggunakan Hadith Dalam Penulisan




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Hadith merupakan sumber rujukan dan panduan yang amat penting buat umat Islam. Ia merupakan suatu penguat dan sandara dalam sesebuah hujah, serta menjadi sumber kedua selepas nas-nas al-Quran al-Karim. Di dalam hadith-hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terdapat sumber-sumber hukum berkaitan kehidupan manusia seperti ibadah, muamalah, jinayah, dan sebagainya. Disamping itu juga terdapat kisah-kisah tauladan dan sirah di dalam hadith, perihal syurga dan neraka, galakan ibadah dan ancaman kepada dosa dan sebagainya. 

Menggunakan hadith di dalam penulisan merupakan suatu perkara yang baik sekali apatah lagi jika penulisan itu berunsurkan keagamaan khususnya atau penulisan yang menyelitkan sedikit nasihat atau renungan umumnya. Jika diperhatikan di dalam kemajuan teknologi hari ini, di mana kewujudan internet dan media elektronik memudahkan lagi penyebaran hadith-hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melalui penulisan-penulisan yang ada di laman maya. Jika dahulu, para penuntut ilmu perlu membuka pelbagai kitab-kitab hadith yang tebal dan banyak untuk merujuk hadith, namun kini dengan hanya menaip kata kunci bagi hadith itu melalui laman carian di internet, maka dengan mudah sahaja kita akan menjumpai hadith tersebut. Dan inilah antara kemudahan yang ada pada zaman kita ini yang tidak dikecapi oleh mereka yang terdahulu di dalam perjalanan mencari ilmu-ilmu agama ini.

Namun begitu dewasa ini penggunaan hadith di dalam penulisan umpama sebuah perkataan yang tidak ada makna yang besar buat segelintir penulis. Hadith digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa membuat rujukan terlebih dahulu terhadap hadith tersebut. Jika diperhatikan hari ini, dengan kemunculan blogger-blogger yang membawa tema tertentu dalam penulisan mereka, banyak sekali kelihatan di dalam penulisannya terkandung sesuatu perkataan yang bukan hadith namun dengan mudah penulis menulisnya sebagai hadith yang thabit dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam


Kesalahan Menggunakan Hadith Dalam Penulisan


1. Menggunakan Hadith Palsu (al-Maudhu' al-Hadith) Dalam Penulisan. 

Al-Maudhu'  dari kata wada' al-syaik bermaksud meletakkannya dan ia disebut sedemikian kerana ia sengaja diletakkan bukan pada tempatnya. Menurut istilahnya ia bermaksud sesuatu yang sengaja dibuat-buat dan kemudian disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dengan cara berdusta. Ia merupakan tingkatan hadith yang paling buruk dalam tingkatan hadith. (Tadrib al-Rawi :178, Taisir Mustalah al-Hadith:89)

Banyak sekali kelihatan dalam penulisan-penulisan di blog, laman sosial seperti facebook dan sebagainya yang dengan mudah menggunakan kata-kata yang bukan dari hadith Rasulullah kemudian menyandarkannya sebagai hadith yang thabit dari Baginda. Ia bererti melakukan sesuatu yang diada-adakan dan berdusta atas nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sekaligus menyebarkan pula hadith maudhu' (palsu) kepada mereka yang bakal membaca penulisan tersebut. 

Daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمَّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِن النَّرِ

"Barangsiapa yang sengaja berdusta dengan namaku, maka bersedialah dia untuk dicampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari no.3274)

Oleh itu berhati-hatilah sebelum anda menulis atau quote sesebuah hadith dalam penulisan anda kerana bimbang ia adalah hadith maudhu' yang bukan sahaja memberi pengaruh kepada orang ramai yang membacanya malah memberi ancaman kepada diri sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu. diatas. 


2. Menisbahkan Hadith Dhaif Setaraf Dengan Hadith Sahih

Al-Dhaif adalah lawan dari kata al-Quwa (kuat). Secara istilahnya al-Dhaif al-Hadith bermaksud hadith-hadith yang didalamnya tidak ada sifat-sifat yang ada pada hadith sahih dan hasan. (Ulum al-Hadith Lil Ibn Solah)

Terdapat juga penulis yang mengamalkan sikap menisbahkan hadith-hadith dhaif sama tarafnya dengan hadith hadith sahih. Ini biasa berlaku bagi mereka yang tidak menyemak hadith namun ingin menggunakan hadith-hadith dalam penulisan mereka. 

Contohnya adalah seperti berikut, penulis tersebut menggunakan hadith yang dhaif kemudian dinyatakan ia sebagai hadith ini sahih atau Riwayat al-Bukhari atau Muslim atau Muttafaq 'alaih. Hadith yang digunakan asalnya tiada dalam kitab sahih as-Syaikhain (Bukhari dan Muslim) namun sebagai jalan mudah diletakkan sahaja diakhirnya (Riwayat Bukhari/Muslim/Muttafaq'alaih). Ini sudah pasti akan memudharatkan mereka yang membaca kemudian berhukum dengannya. Bahkan ini juga dinekali sebagai penipuan dalam periwayatan hadith, tadlis. Bagi mereka yang mampu menyemaknya atau mengenali hadith tersebut sudah tentu ia tidak akan mempercayai atau terpengaruh dengannya. Namun bagaimana pula bagi mereka yang tidak mampu untuk menyemaknya? atau yang bersikap taqlid buta tanpa mengkaji? Sudah tentu ia akan memberi kesan kepada orang yang membacanya.


3. Menyebarkan Hadith Tanpa Ilmu

Menyebarkan hadith merupakan suatu amalan yang mulia lagi terpuji jika niatnya benar dan caranya juga benar. Niat yang benar adalah dengan niat kerana Allah, untuk menegakkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia dan untuk mengelakkan perkara-perkara bid'ah yang keji  dan menyalahi sunnah. Niat yang baik memerlukan perlaksanaan dengan ilmu yang baik maka barulah hasilnya juga baik. Jika anda ingin menunaikan solat dengan niat ibadah keranaNya namun anda tidak benar dalam solat, tidak tahu solat dengan baik dan menyalahi sunnah Rasulullah, sudah pasti perlaksanaan solat itu tadi tidak baik sekalipun niatnya baik. Begitu juga dengan menyampaikan hadith, niat sahaja tidak mencukupi. Anda perlu melazimi diri untuk bertanya dan beroleh ilmu tentangnya. Ada sebilangan yang berhujah dengan dalil hadith berikut untuk membenarkan tindakan mereka.

Daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


بَلَّغُوا عَنِّي وَلَوْ ايَةً
"Sampaikanlah dariku walau satu ayat" (Riwayat al-Bukhari no.3274)

Hujah itu memang benar dan thabit dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, namun demikian mereka terlupa akan pesan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam ayat seterusnya dalam hadith tersebut: 

Daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



بَلَّغُوا عَنِّي وَلَوْ ايَةً وَحَدَّثُوا عَنْ بَنِى ِٕاسْرَئِيلَ وَلاَ حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمَّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِن النَّرِ

"Sampaikanlah dariku walau satu ayat. Kamu boleh menyampaikan riwayat (yang benar) daripada kalangan Bani Israel dan tidak berdosa (jika kamu tidak menyampaikannya). Barangsiapa yang sengaja berdusta dengan namaku, maka bersedialah dia untuk dicampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari no.3274)"


Semak Dahulu Sebelum Menggunakan Hadith Dalam Penulisan


Sikap menyemak dahulu sumber-sumber hadith ini jarang dimiliki oleh penulis-penulis dewasa ini. Boleh dikatakan sebilangan kecil sahaja yang bersikap berkati-hati dan teliti sebelum menggunakan hadith. Sikap ini penting untuk memastikan hadith yang akan digunakan itu sahih dan betul menurut syarat-syarat hadith Maqbul (diterima). Lazimkan diri bertanya dan merujuk kepada mereka yang punya ilmu dalam hadith seperti ustaz-ustazah yang mahir, tokoh-tokoh agama yang anda kenali, sahabat-sahabat yang mempelajari atau yang mengetahui tentang ilmu hadith dan sebagainya. Bertanyalah kepada mereka yang punya sikap yang berhati-hati terhadap hadith dan beramal dengan ilmunya kerana boleh jadi terdapat juga sebilangan kecil golongan agamawan yang turut tidak berhati-hati dalam menyatakan hadith malah lebih malang turut menyebarkan hadith-hadith maudhu' kepada ummah. Nauzubillahiminzalik. 

Amalkan di dalam diri anda, untuk menilai sesuatu kenyataan , hujah, teori, dan sebagainya sebelum menerima, berpegang dan beramal dengannya. Jauhilah sikap bertaqlid buta tanpa ilmu kerana ia akan menyesatkan dan menutup pintu kebenaran buat anda. Lazimi diri anda dengan persoalan sebegini sebelum berpegang dengannya:

Sahih kah? 
Dari mana sumbernya?
Siapa yang mengeluarkan nya?
Siapa yang mensahihkannya?
Apakah ia benar, palsu, dan sebagainya?
Perlu semak dan kaji dahulu sebelum percaya ni.
Perlu semak dan kaji dahulu sebelum beramal ni..

Jika anda senantiasa melazimi persoalan diatas, insyaAllah akan banyak kebenaran dalam ilmu tidak kira Ilmu agama atau dunia yang anda perolehi. Kemudian setelah menyemaknya dan meyakini kesahihannya, maka tiada lagi keraguan untuk anda menyebarkannya, bertaqlid dan beramal dengannya. Kerana anda telah yakin akan kebenaranya berdasarkan kemampuan anda untuk menyemak.

Tidaklah penulis menyatakan bahawa penulis terlepas daripada melakukan kesilapan sebegini namun penulis mengamalkan sikap berjati-hati dalam penulisan yang melibatkan penggunaan hadith berdasarkan ilmu dan kemampuan yang ada pada diri. Adapun segala yang ada di dalam blog ini masih dalam proses semakan memandangkan mungkin ada beberapa entri yang menggunakan hadith dhaif melalui penulisan dari penulis mahupun bekas penulis blog ini suatu masa dahulu. Adapun kebanyakan entri adalah dinyatakan sumber hadithnya untuk rujukan bersama. 



والله أعلمُ بالـصـواب

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik