Cari Entri WADi

Jumaat, 14 Mac 2014

Pengertian Engkau Yang Kami Sembah Dan Meminta Pertolongan



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Ayat ini tidak asing lagi bagi ummat Islam. Ia merupakan ayat ke 5 dalam surah Al-Fatihah yang dibaca berulang-ulang kali dalam solat. Ayat yang dimaksudkan ialah

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

       Ulama' Bahasa Arab menyatakan bahawa ayat ini didahului dengan maf'ul bih (objek) iaitu ayat (Kepada Engkau, Allah) kemudian barulah fi'il (kata kerja) iaitu perkataan (kami sembah) dan ayat (kami meminta pertolongan). Ayat ini mengandungi erti yang jelas, kuat dan tepat maksudnya iaitu ummat Islam beribadah dan meminta pertolongan khusus kepada Allah subhanahu wa ta'ala semata-mata, tidak kepada selainNya. 

           Ayat ini dibaca berulang-ulang kali bagi seorang Muslim sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali sehari iaitu sebanyak jumlah rakaat dalam solat fardhunya. Bahkan mungkin lebih banyak lagi jika seseorang Muslim itu mengerjakan solat sunat dan berdoa dengannya. Ayat ini merupakan intisari surah Al-Fatihah bahkan merupakan intisari atau tema utama daripada Al-Quran keseluruhannya. 

            Perkataan (Kami menyembah atau beribadah) yang dimaksudkan di dalam ayat ini mencakupi pengertian ibadah yang luas sebagaimana luasnya Islam itu sendiri. Ibadah yang dimaksudkan termasuklah solat, zakat, puasa, membaca Al-Quran, berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran, bahkan berdoa juga dikira sebagai ibadah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Doa itu ialah Ibadah. [Riwayat Al-Tirmizi, Beliau mengatakan hadith ini darjatnya Hasan Sahih]

Semua ummat Islam maklum bahawa asasnya semua ibadah yang dilakukan hanyalah untuk Allah subhanahu wa ta'ala. Ikhlas kepadaNya dan hanyalah untukNya. Bukan untuk orang lain atau kerana sesiapa pun. Begitulah juga konsepnya dalam berdoa atau meminta pertolongan. Meminta pertolongan, doa, harapan dan sebagainya semestinya kepada pemilik segala kekuasaan iaitu Allah subhanahu wa ta'ala, bukan kepada bomoh, wali, tokoh atau manusia tertentu hanya kerana ketinggian dan kemuliaan darjatnya. Allah ta'ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُو رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun". [Al-Jinn 72:20]
Jika kita beribadah hanya kepada Allah subhanahu wa ta'ala kenapa berdoa dan meminta tidak kepadanya? Kenapa berdoa kepada para bomoh, wali atau tokoh tertentu? Adakah kerana kemuliaan dan kedudukan mereka yang tinggi? Jika begitu apakah Allah ta'ala lebih rendah kedudukannya berbanding mereka? Adakah Allah ta'ala tidak mendengar doa orang lain selain mereka? 




Jawabnya tentu sekali tidak. Allah mendengar semua permintaan hamba-hambanya. Bahkan syaitan yang terkutuk lagi dilaknat itu juga didengar dan dimakbulkan permintaannya untuk ditangguhkan kematian untuk menyesatkan anak adam. Syaitan yang paling keji dan jahat dimakbulkan doa oleh Allah, maka sudah tentu doa orang-orang Islam didengari dan dimakbulkanNya. 


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ

Doa yang dibaca oleh Nabi Zinn Nun (Nabi Yunus) ketika berada di dalam perut ikan ialah: Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau (Ya Allah), Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Tidaklah sesekali seorang Muslim membaca doa ini untuk meminta sesuatu melainkan Allah akan mengabulkannya (menerimanya). [Riwayat Al-Tirmizi, Al-Hakim, dan An-Nasai dalam Sunan Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Asqalani menilai hadith ini Hasan (baik) dalam Al-Futuhat Al-Rabbaniyyah 4/11 dan Takhrij Misykat Al-Masobih 2/431]


Di dalam hadith lain, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hakikat tauhid dan doa sebagaimana yang diajarkannya kepada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma


يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

"Wahai anak, sesungguhnya aku akan mengajarkanmu beberapa kalimat; Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemuiNya dihadapanmu, bila kau meminta, mintalah kepada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya ummat manusia bersatu untuk memberikanmu manfaat (kebaikan), mereka tidak akan dapat memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan dapat membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering. (maksudnya takdir telah ditetapkan) " [Riwayat Al-Tirmizi no. 2516, Berkata Abu Isa (Al-Tirmizi): Hadits ini hasan shahih]


 والله أعلم بالـصـواب 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik