بسم الله الرحمن الرحيم
|| Keringanan Di Dalam Syara' ||
Islam agama yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang. Tidak memberatkan ummatNya melebihi kemampuan yang mereka ada. Jika kewajiban itu tidak mampu ditunaikan disebabkan masyaqqah (halangan/kesusahan), maka rukhsah atau keringanan diberikan.
Namun sebahagian orang ada yang tersalah faham maksud keringanan atau rukhsah ini. Ada yang menganggap jika ianya susah untuk dilakukan maka rukhsahnya ia (kewajiban itu ) tidak perlu dilakukan. Keringanan sebegitu memang ada namun tidaklah bersifat mutlak untuk semua keadaan.
Keringanan yang diberikan syarak bersifat universal, praktikal dan sesuai dengan keadaan hamba. Para Ulama' silam telah membahagikan keringanan ini kepada beberapa bahagian. Antaranya Imam Izz ibn Abd As-Salam, Ibn Nujaim Al-Hanafi dan sebagainya.
Berikut merupakan pembahagian keringanan yang dibahagikan oleh para ulama':
1. Takhfif Isqat (تخفيف إسقاط)
Keringanan yang menggugurkan kewajiban atau dalam erti kata lain tidak perlu melakukan kewajiban tersebut jika ada halangan. Contohnya solat fardhu Jumaat tidak wajib dikerjakan jika sedang musafir atau ada halangan tertentu. Jihad tidak wajib jika mempunyai keuzuran.
2. Takhfif Tanqis (تخفيف تنقيص)
Keringanan yang mengurangkan bebanan, bukan tak perlu buat terus kewajiban itu. Contohnya solat Zohor dan Asar dalam keadaan musafir boleh di jama' (gabung) dan qasar (pendekkan) menjadi dua rakaat sahaja setiap satunya.
3. Takhfif Ibdal (تخفيف إبدال)
Keringanan yang bersifat menggantikan atau menukar. Contohnya asal wudhu' itu menggunakan air tapi jika ketiadaan air maka boleh bertayammum. Solat pada asalnya mesti berdiri namun boleh ditukar kepada duduk, baring dan sebagainya jika sakit.
4. Takhfif Taqdim (تخفيف تقديم)
Keringanan yang bersifat mendahulukan yang mana pada asalnya ianya dilakukan kemudian. Contohnya membayar zakat segera sebelum cukup haulnya (waktunya) atau solat jama' taqdim Asar dilakukan dalam waktu Zohor ketika musafir.
5. Takhfif Ta'khir (تخفيف تأخير)
Keringanan yang bersifat mengakhirkan/melewatkan sesuatu yang pada asalnya dikerjakan awal. Contohnya mengakhirkan solat Zohor dalam waktu Asar ketika musafir.
6.Takhfif Tarkhis (تخفيف ترخيص)
Keringanan yang diberikan kerana terpaksa, dipaksa atau terdesak. Contohnya dibenarkan makan/minum yang haram kerana tiada makanan/minuman yang halal.
7. Takhfif Ta'yir (تخفيف تعيير)
Keringanan yang bersifat mengubah atau menukar. Contohnya boleh menukar cara solat ketika solat di medan perang atau solat dalam keadaan ketakutan musuh.
Moga bermanfaat.
Ditulis di facebook pada 10/11/2014