Cari Entri WADi

Isnin, 20 Jun 2016

Benarkah Bulan Ramadhan Tiada Syaitan?






Seringkali apabila tibanya bulan Ramadhan masyarakat akan mengatakan bahawa Syaitan sudah tiada, sudah diikat, kejahatan yang dibuat bukan lagi dari bisikan syaitan tapi hawa nafsu semata-mata dan sebagainya.

Secara dasarnya anggapan tiada syaitan dibulan Ramadhan tidak tepat. Anggapan bahawa syaitan diikat pula boleh diterima pakai namun perlu perincian lanjut apakah makna sebenar Syaitan diikat dibulan Ramadhan itu.

Anggapan itu semua berasal daripada hadith sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
"Jika masuknya bulan Ramadhan maka akan dibuka pintu-pintu langit, ditutup pintu-pintu neraka jahannam dan syaitan-syaitan akan dibelenggu." [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim; ini ialah lafaz Al-Bukhari. Lafaz Muslim terdapat perbezaan iaitu (dibuka pintu-pintu rahmat)]



Bukan Semua Syaitan Dibelenggu

Berdasarkan hadith diatas, timbullah anggapan bahawa semua Syaitan tiada lagi di bulan Ramadhan. Namun timbul pula persoalan lain, jika semua syaitan sudah tiada, kenapa masih ada maksiat, jenayah atau kerasukan di bulan Ramadhan?

Tulisan ini akan mengupas apa maksud sebenar hadith Syaitan dibelenggu diatas.

Kata Imam Al-Baihaqi (wafat 458H):

"Maksudnya Syaitan tidak bebas pada bulan Ramadhan untuk merosakkan manusia yang membawa kepada bebasnya manusia daripadanya kepada selainnya disebabkan kebanyakan Muslimin sedang fokus berpuasa yang mana ianya (puasa) dapat mengawal nafsu shahwat, ditambah pula dengan membaca Al-Quran dan amal ibadah yang lainnya. Wallahua'lam." [Fadhail Al-Awqat 1/141]


Kata Imam Ibn Abdil Barr Al-Maliki (wafat 463H) :

فمعناه عندي والله أعلم أن الله يعصم فيه المسلمين أو أكثرهم في الأغلب من المعاصي فلا يخلص إليهم فيه الشياطين كما كانوا يخلصون إليه منهم في سائر السنة
"Adapun maksudnya (Syaitan dibelenggu) bagiku, wallahua'lam bahawa Allah menjaga orang Islam atau kebanyakan daripada mereka daripada maksiat dan syaitan-syaitan tidak bebas kepada mereka sebagaimana mereka bebas pada sepanjang tahun (selain bulan Ramadhan)." [Al-Tamhid lima fi Al-Muwatta' min Al-Maani Al-Asanid 16/153]


Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) ketika membahaskan isu ini berkata:

والمراد بالشياطين بعضهم وهم المردة منهم وترجم لذلك بن خزيمة في صحيحه
"Yang dimaksudkan dengan Syaitan-syaitan (dibelenggu) ialah sebahagian daripada mereka. Mereka ialah syaitan-syaitan besar/ganas diantara mereka. Ia telah disebutkan oleh Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya." [Fath Al-Bari 4/114]


Apabila kita merujuk kepada Sahih Ibn Khuzaimah (wafat 311) seperti yang disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar, ternyata benar apa yang disebutkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitabnya:

باب ذكر البيان أن النبي - صلى الله عليه وسلم - إنما أراد بقوله: "وصفدت الشياطين" مردة الجن منهم، لا جميع الشياطين، إذ اسم الشياطين قد يقع على بعضهم
"Bab penjelasan tentang apa yang dimaksudkan oleh ucapan Nabi :'Syaitan dibelenggu' ialah ketua-ketua jin, bukan seluruh syaitan dimana perkataan syaitan merujuk kepada sebahagian daripada mereka (jin-jin yang besar/ganas)." [Sahih Ibn Khuzaimah 2/907]


Ini bertepatan dengan hadith yang menyebutkan lebih terperinci berkaitan hal tersebut yang mana Nabi bersabda:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ، فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ.
"Bila tibanya malam pertama bulan Ramadhan syaitan dan jin-jin besar/ganas akan dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satupun pintu neraka yang terbuka. Pintu-pintu syurga pula dibuka, tidak ada satupun pintu syurga yang tertutup. Maka ada penyeru menyeru, wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan (maksiat) berhentilah. Dan Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadhan." [Riwayat Al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah]





Kenapa Masih Ada Maksiat Bulan Ramadhan?

Ada beberapa faktor yang disebutkan ulama' antaranya:

1. Yang dibelenggu hanyalah Syaitan dan Jin yang besar/ganas sedangkan syaitan yang biasa masih bebas.

2. Syaitan tersebut hanya dibelenggu leherdan tangannya dan dia masih boleh membisikkan keburukan terutama kepada mereka yang lalai dan dekat dengan keburukan.

3. Kata As-Sindi (wafat 1257H) dalam Hashiyahnya:

ولا ينافيه وقوع المعاصي، إذ يكفي وجود المعاصي شرارة النفس وخبائثها، ولا يلزم أن تكون كل معصية بواسطة شيطان، وإلا لكان لكل شيطان شيطان ويتسلسل، وأيضاً معلوم أنه ما سبق إبليس شيطان آخر، فمعصيته ما كانت إلا من قبل نفسه، والله تعالى أعلم
"Ianya tidak menafikan adanya segala bentuk maksiat. Kerana boleh jadi maksiat itu ada disebabkan pengaruh jiwa yang buruk dan jahat. Dan timbulnya maksiat, tidak selalunBabberpunca daripada syaitan." [Hashiyah As-Sindi 'ala Sunan An-Nasaie 1/503)]


Imam Al-Qurtubi (671H) berkata sebagaimana yang dinaqalkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar:

إنما تقل عن الصائمين الصوم الذي حوفظ على شروطه وروعيت ادابه أو المصفد بعض الشياطين وهم المردة لا كلهم كما تقدم في بعض الروايات أو المقصود تقليل الشرور فيه وهذا أمر محسوس فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره اذلا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية لأن لذلك اسبابا غير الشياطين كالنفوس الخبيثة والعادات القبيحة والشياطين الإنسية
"Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab tidak ada berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Ini merana kemaksiatan itu turut terjadi kerana beberapa faktor lainnya selain daripada syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri (manusia yang jahat)." [Fath Al-Bari 4/114]


Wallahua'lam
Dijawab pada 20/06/2016 | Isnin 
15 Ramadhan 1437H

Isnin, 13 Jun 2016

Masalah Gosok Gigi Ketika Berpuasa

Soalan:

*Klik gambar untuk paparan lebih jelas jika membaca dari smartphone.







Ad-Dien Menjawab:








Isu ini dibahaskan disisi para fuqaha' dalam bab bersiwak bagi orang yang berpuasa. Di zaman ini bersiwak atau menggosok gigi menggunakan ubat gigi moden termasuk dalam perbahasan yang sama. Ulama' berbeza pendapat dalam isu bersiwak/menggosok gigi selepas waktu zawal (Zohor).



Pendapat pertama: Boleh bersiwak/gosok gigi bagi orang yang berpuasa pada seluruh waktu siang baik sebelum zawal (waktu pagi hingga sebelum Zohor) atau selepas waktu zawal (zohor hingga petang sebelum maghrib). Ini ialah pandangan mazhab Hanafi dan Maliki. Mereka berhujjah dengan hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan bersiwak yang tidak terikat dengan waktu yang khusus. Antaranya sabda Nabi:

لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ
"Kalaulah tidak memberatkan ummatku nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk bersiwak." [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim; ini adalah lafaz Muslim]


Pendapat kedua: Boleh bersiwak/gosok gigi sebelum waktu zawal (sebelum Zohor) dan makruh jika orang yang berpuasa menggosok gigi atau bersiwak selepas waktu Zohor. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie dan Hanbali.

Mereka berhujjah dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ المِسْكِ
"Demi diriku yang berada dalam genggaman tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum disisi Allah daripada bau haruman kasturi." [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Mulut orang yang berpuasa yakni perut yang kosong kebiasaannya memang sedikit berbau dan bau itu bukanlah sesuatu yang disengajakan melainkan ianya hikmah daripada berpuasa itu sendiri. Menurut mereka, perbuatan menggosok gigi akan mengurangkan sifat bau mulut orang yang berpuasa.


Sketsa Muhasabah Bersama




Kesimpulan:

Masalah ini merupakan masalah yang diperselisihkan oleh ulama'. Ia khilaf yang muktabar. Seseorang itu boleh memilih pandangan mana yang menurut mereka lebih kuat dan yakin untuk diamalkan berdasarkan hujjah dan ilmu yang ada.

Apabila telah memilih pandangan tertentu, tidak boleh menyalahkan atau merendah-rendahkan orang yang berbeza pandangan dengannya kerana ianya merupakan khilaf yang muktabar disisi para ilmuan Islam itu sendiri.


Wallahua'lam
Dijawab Pada 08/06/2016 | Rabu
03 Ramadhan 1437H

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik