Seperti yang semua sedia maklum, kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu menanam anaknya ketika beliau masih jahiliyyah sering diceritakan daripada mulut ke mulut, zaman berzaman. Sirah (Sejarah) Islam bukanlah terbina daripada khayalan dan mistik melainkan ianya ialah sebuah fakta yang diriwayatkan dan direkodkan di dalam kitab-kitab sirah sejak dahulu lagi.
Jika sebelum ini saya pernah menulis tentang semakan terhadap kisah Abdul Rahman bin Auf masuk syurga merangkak dan kisah Hindun memamah hati Hamzah, kali ini saya akan menulis sedikit semakan dan kajian semula terhadap kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu sewaktu jahiliyyahnya.
Kisah ini bukan sahaja tersebar meluas di Malaysia bahkan dikhabarkan ianya turut tersebar di negara-negara Arab. Sudah tentu ianya disebarkan meluas melalui ceramah-ceramah para agamawan yang tidak mengkaji sumber sejarah ataupun riwayat sesebuah kisah. Walaupun kitab sirah para Imam terdahulu tidak mensyaratkan syarat yang ketat dalam riwayat sirah seperti mana riwayat hadith, namun sirah-sirah yang tidak berasas dan meragukan boleh dikaji dan ditolak.
Adapun di negara kita, tidak ramai yang mempunyai kemampuan untuk menyemak kesahihan sesuatu riwayat meskipun sebahagian para ustaz dan ustazah. Jangankan kemampuan menyemak riwayat, kesedaran tentang kepentingan menyemak sumber asal sesebuah riwayat pun tidak tertanam dalam masyarakat kita.
Jadi tidak hairan kisah-kisah yang meragukan boleh tersebar luas dan menjadi modal ceramah di negara kita. Lebih menyedihkan, bukan sekadar kisah-kisah, hadith-hadith palsu dan tersangat lemah juga sering kali disebut-sebut untuk menyedapkan lagi ceramah dan kuliah agama. Disebabkan sebahaian golongan agamawan yang tidak mempunyai disiplin ilmu yang mendalamlah, masyarakat hanyut dalam lautan perkara yang tidak jelas dan tidak benar dalam Islam.
Permulaan Kisah Umar Al-Khattab Menanam Anak
Kisah ini dikaitkan dengan sifat Umar radhiallahu 'anhu sewaktu zaman jahiliyyahnya yakni sebelum memeluk Islam. Saya sendiri telah mencari dalam kitab-kitab biografi dan sejarah para Imam Ahl Sunna wal Jamaah terdahulu namun tidak ditemukan kisah ini. Kisah ini ditemui dalam sebuah kitab karya ‘Abbas Mahmud Al-‘Uqqad yang bertajuk ‘Abqariyah ‘Umar halaman 221. Disebutkan:
يقول عباس محمود العقاد في كتابه " عبقرية عمر
"ص/221 عن وأد عمر لابنته فقال
أنه رضي الله عنه كان جالساً
مع بعض أصحابه ، إذ ضحك قليلاً ، ثم بكى ، فسأله مَن حضر ، فقال : كنا في الجاهلية
نصنع صنماً من العجوة ، فنعبده ، ثم نأكله ، وهذا سبب ضحكي ، أما بكائي ، فلأنه كانت
لي ابنة ، فأردت وأدها ، فأخذتها معي ، وحفرت لها حفرة ، فصارت تنفض التراب عن لحيتي
، فدفنتها حية
Bahawa Umar sedang duduk bersama teman-temannya. Ketika itu beliau tertawa sedikit kemudian menangis. Lalu teman-temannya pun bertanya (mengapa Umar menangis)?. Lalu Umar berkata: Ketika kita diwaktu jahiliyyah, kita membuat sebuah berhala daripada tamar Al-Ajwah lalu kita menyembahnya. Kemudian kita makannya (Tuhan yang kita buat dan sembah). Kerana itu aku tertawa. Adapun sebab aku menangis kerana aku pernah mempunyai anak perempuan. Lalu aku ingin menanamnya hidup-hidup. Maka aku bawa dia bersamaku kemudian aku gali lubang untuknya. Kemudian dia menyapu tanah yang ada di janggutkan lalu aku menanamnya hidup-hidup.
Para muhaqqiq dalam bidang sejarah telah mengkaji kisah ini dan mendapati beberapa kecacatan yang bercanggah dengan fakta yang lebih kuat. Antaranya ialah:
Hujjah 1:
Umum diketahui bahawa Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu memiliki anak perempuan sulung bernama Hafsah. Disebabkan itu beliau digelar Abu Hafs (Bapa Kepada Hafsah). Hafsah inilah menjadi isteri kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana yang telah tercatat dalam lembaran sejarah. Ini telah menjadi ijmak seluruh kaum Muslimin dan tiada siapa pun yang menafikannya.
Jika kisah Umar radhiallahu 'anhu menanam anak itu benar, mengapa Hafsah sendiri tidak menjadi mangsanya? Sedangkan Hafsah adalah anak pertamanya dan seorang perempuan yang dilahirkan di Makkah, 14 tahun sebelum peristiwa Hijrah lagi. Bahkan jika benar dakwaan bahawa sejak zaman jahiliyyah amalan menanam anam perempuan telah diamalkan, mengapa masih ramai sahabiah (sahabat nabi yang wanita- yakni yang pernah bertemu dan beriman) yang hidup sejak zaman jahiliyyah di Makkah masih hidup? Kenapa mereka masih ada hingga peristiwa Hijrah? Jika benar menanam anak perempuan menjadi amalan dan tradisi kaum jahiliyyah Mekah, pasti tidak akan wujud lagi sahabat perempuan.
Tambahan Kajian Keluarga Umar Al-Khattab
Para Imam terdahulu telah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu dan para sahabat yang lainnya. Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar radhiallahu 'anhu dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:
- Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Uthman bin Maz’un yang terkenal antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu dikurniakan tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.
- Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh.
- Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Thabit bin Aflah. Beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.
- Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Mereka mendapat anak perempuan bernama Fatimah.
- Ummul Kulthum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar.
- Ummul Kulthum binti Ali bin Abi Talib. Umar beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah.
- Daripada hambanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar telah dikurniakan anak. Anak peremuan daripada Fukayyah bernama Zainab dan dengan Luhayyah anaknya bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar.
Jadi anak-anak Sayyidina Umar radhiallahu 'anhu adalah seperti berikut:
Lelaki:
1) Abdullah bin Umar (Ibn Umar)
2) Abdul Rahman al-Akbar
3) Abdul Rahman al-Ausath
4) Abdul Rahman al-Ashghar
5) ‘lyadh
6) Aasim
7) Ubaidullah
8) Zaid al-Akbar
9) Zaid al-Ashghar
Perempuan:
1) Hafsah
2) Ruqayyah
3) Fatimah
4) Zainab
Daripada isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafs.
Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai 3 orang anak ini sahaja. Kalau dakwaan Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu menanam anak perempuannya, maka anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafs?
Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, ada dakwaan mengatakan anak itu tidak diketahui jantinanya lelaki atau peremuan ketika ia ditanam. Adakah logik Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun?
Hujjah 2:
Sebahagian pihak mendakwa bahawa amalan menanam anak perempuan ini terkenal dalam kalangan Bani ‘Adi iaitu kaum Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu sendiri. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas kerana saudara perempuan Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu sendiri bernama Fathimah masih hidup dan berkahwin dengan sepupunya bernama Said bin Zaid. Jika amalan itu benar menjadi adat Bani ‘Adi sudah tentu Fathimah akan ditanam hidup-hidup ketika masih kecil. Tapi mengapa beliau tidak menjadi mangsa bahkan sihat membesar dan berkahwin pula? Ini menunjukkan bahawa amalan kejam itu tidak wujud dalam kalanga Bani ‘Adi.
Hujjah 3:
Kisah ini tidak memiliki sanad atau rantaian periwayatan daripada mana asal usulnya. Para Imam terdahulu mereka meriwayatkan kisah-kisah dengan bersanad walaupun ianya lemah atau tertolak. Sedangkan kisah ini tidak diketahui daripada mana sanad periwayatannya daripada mana-mana kitab sirah para imam terdahulu. Tidak mungkin para imam terlepas pandang atau sengaja tidak memuatkannya untuk menjaga nama Umar Al-Khattab. Sesebuah sirah diriwayatkan dengan bersanad dan daripada sanadlah dapat diketahui kebenaran melalui kajian yang dilakukan oleh sejarawan. Tapi kisah yang tiada sanad direkodkan seperti ini, daripada mana asal usulnya?
Bahkan penulis kitab ‘Abqariyyah Umar sendiri tidak menyebut daripada mana kisah ini diambilnya. Sebahagian para muhaqqiqin dalam bidang sejarah berpendapat bahawa kisah ini direka oleh golongan Syiah al-Rafidhah yang terkenal begitu membenci Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu dan kibar sahabat yang lain.
Hujjah 4:
Kajian ini telah disahkan oleh pengkaji sirah mutaakhirin (kontemporari) antaranya As-Syaikh Abdussalam bin Muhsin Ali Isa. Katanya:
وأما عمر رضي الله عنه فقد ذكر عنه أنه وأد ابنة له في الجاهلية.
ولم أجد من روى ذلك عن عمر فيما اطلعت عليه من المصادر ، ولكني وجدت الأستاذ عباس محمود
العقاد أشار
إليها في كتابه عبقرية عمر
Dan aku tidak menemui siapakah yang meriwayatkan kisah sedemikian daripada Umar sepanjang kajianku daripada sumber-sumber rujukan (sejarah zaman-berzaman). Namun, aku mendapati Ustaz ‘Abbas Mahmud Al-Uqqad telah mengisyaratkan kisah itu dalam kitab beliau, ‘Abqariyyah Umar.
Persoalannya, bagaimana kisah yang tidak diketahui asal usulnya, daripada mana ia datang dan wujud dapat dikatakan benar? Jika benar, tentu ada sahabat atau tabi’in yang meriwayatkan daripada Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu . Atau setidak-tidaknya tentu ada Sahabat atau tabi’in yang menceritakan kisah hidup Umar Al-Khattab . Ibnu Umar sendiri tidak meriwayatkan hal ini. Tidak mungkin anaknya yang juga sahabat Nabi yang agung tidak mengetahui perihal ayahnya sendiri. Satu persoalan yang perlu difikirkan.
Kisah ini juga telah dibincangkan dan dipersetujui ianya tidak benar oleh Multaqa Ahl Hadith.
Kesimpulan
Kisah ini tidak benar dinisbahkan kepada Umar Al-Khattab . Dakwaan ini berkemungkinan datang daripada mereka yang memusuhi Umar Al-Khattab itu sendiri. Sebagai ummat Islam, kita hendaklah lebih berhati-hati sebelum menyebarkan riwayat hadith mahupun sirah para sahabat. Apatah lagi jika ianya melibatkan maruah seorang sahabat yang utama.
Baca juga kajian sejarah yang pernah saya tulis sebelum ini
والله أعلم بالـصـواب