Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Setiap hari dalam hidup kita, pasti ada ketika nya kita bercanggah pendapat atau mungkin menghadapi suasana tegang dengan kawan-kawan atau orang lain. Maklumlah rambut sama hitam namun hati lain-lain. Setiap individu ada pendapat dan pandangan masing-masing yang mungkin tidak sama dengan kita hingga boleh mengakibatkan ketegangan atau mungkin kearah pergaduhan.
Bagaimana anda menangani situasi begini…
Adakah dengan bergaduh???caci maki???kutuk mengutuk???Tahukah anda bahawa Islam suka kepada orang yang mengambil langkah berdiam. Diam bukan maknanya kita kalah atau mengaku kalah. Mengalah atau mengelak daripada pergaduhan itu adalah lebih baik sebenarnya walaupun kita dalam pihak yang benar.
Kita sediah maklum Allah s.w.t melarang hambanya daripada menggunakan kata-kata kesat, ada unsur-unsur penghinaan, caci maki, kutukan dan lain-lain. Penggunaan bahasa kesat dan kasar boleh menyakiti hati teman-teman lain atau sesiapa sahaja yang mungkin mendengarnya. Namun zaman kini saya sendiri penuh kehairanan bagaimana segelintir teman-teman diluar sana yang sering mengamalkan bahasa kesat dalam setiap kata-katanya. Sampai suatu tahap jika kawan-kawan yang berkata lembut dan penuh adab diperlekehkan dan dianggap “skema”, touching, poyo dan berbagai lagi gelaran yang sewaktu dengannya. Persoalannya adakah mereka tiada perasaan???adakah mereka terlalu jahil atau salah didikan???sungguh Allah lebih mengetahui akan setiap hamba ciptaannya.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling degil dan suka bertelingkah (bergaduh)”.Menurut Imam al-Ghazali, tanda-tanda lidah yang kotor ialah:
1. Berkata-kata yang tidak berfaedah
2. Suka bercakap yang batil (bohong)
3. Suka memaki hamun
4. Bersumpah palsu
5. Suka mengejek dan hina orang lain serta membuka aib orang
6. Suka bertelingkah@ bertikam lidah
7. Berlebih-lebihan dalam bercakap
8. Suka mencari kesalahan dan keburukan orang lain
9. Suka mengumpat
10. Puji bukan pada tempat atau mengampu
11. Bergurau berlebih-lebihan
Baginda juga bersabda : “Sesungguhnya Allah membenci kepada orang yang buruk perangai dan kotor lidahnya”.(Riwayat al-Tarmizi). Oleh itu kita perlulah sentiasa menjaga lidah dan berhati-hati dalam percakapan kita. Sungguh lidah itu tidak bertulang dan ia lebih tajam dari pedang. Peribadi seseorang juga boleh kita nilai daripada tutur katanya.
Saya juga menasihati diriyang penuh noda ini agar sentiasa menjaga lidah kerana tidak juga lepas daripada dosa daripada mulut ini. Mari kita sama-sama berubah. Sedikit-sedikit dan istikamah. Tepuk dada tanya iman, InsyaAllah.