بسم الله الرحمن الرحيم
Islam agama rahmat yang diturunkan oleh Allah ta'ala buat seluruh alam. Ajaran Islam bukan sekadar mengerjakan ibadah solat dan puasa. Bukan juga sekadar pergi ke haji apabila cukup kemampuan. Islam lebih sekadar itu. Terbatasnya kefahaman dalam beragama muncul disebabkan kejahilan kita sendiri dalam memahami apa ertinya kita beragama.
Agama Islam bukan hanya mengarah membuta tuli. Jauh sekali dari memaksa ummatnya untuk beriman kepada Tuhan yang Esa tanpa memberikan suatu keyakinan yang utuh di hati. Jadi bagaimana cara memahami Islam? Apakah kaedah terbaik untuk kita kenal Islam, seterusnya menambahkan keyakinan akan wujudnya Allah pemilik alam ini?
Mengenal Tuhan Dengan Ilmu
Islam terbina dengan ilmu yang diturunkan melalui wahyuNya. Dari ilmu itulah kefahaman dan keyakinan terbentuk hingga akhirnya kita tunduk dengan kewujudan zat yang Maha Esa lagi Berkuasa. Zaman berzaman Tuhan mengutuskan wakilNya untuk menjelaskan hakikat KeesaanNya melalui tanda, bukti dan penjelasan yang nyata. Bukan sekadar mendakwa tanpa sebarang asas kukuh yang boleh meyakinkan hati.
Begitulah jua bagi kita, ummat dari Nabi yang terakhir. Diturunkan kepada kita Al-Quran sebagai panduan, rujukan dan kajian. Membaca Al-Quran tanpa berfikir dan mengambil pelajaran darinya seakan tidak sempurna tujuan ia diturunkan. Entah berapa banyak seruan Ilahi yang menyebut tentang berfikir dan merenung secara sihat dengan akal yang waras. Semua ini seruan kearah ilmu. Al-Quran merupakan sebaik-baik kitab yang menggabungkan ilmu berlandaskan wahyu dan akal, agama dan rasional.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur. [Al-Furqan 25:50]
Dan Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; dan Dia lah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu berfikir? [Al-Mu'minun 23:80]
Asas penting dalam beragama ialah berfikir. Dengan berfikir, manusia akan belajar dan mengenal kebenaran seterusnya membawa kepada iman yang suci lagi kukuh. Kisah kembara Nabi Ibrahim mencari hakikat iman dan ketuhanan tersemat di dalam Al-Quran. Alam yang terbentang luas ini diamati dengan sedalam-dalamnya. Siapakah pemilik dan pencipta alam ini? Siapakah yang berkuasa mengadakan semua ini? Semua ini difikirkannya sehari-sehari hingga hilangnya keraguan dan munculnya keimanan yang suci lagi bersih.
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin. Ketika malam telah gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: "Inilah Tuhanku", tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: "Saya tidak suka kepada yang tenggelam".Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: "Inilah Tuhanku". Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat". Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar". Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. [Al-An'am 6:75-78]
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri sering menghabiskan masanya di Gua Hira'. Ketika penduduk Makkah sibuk menyembah Al-Latta, Al-Uzza dan segala macam berhala rekaan tangan mereka, baginda menyendiri mencari ketenangan dan berfikir tentang kekuasaan Tuhan. Ritual-ritual pelik dan keburukan-keburukan manusia disekelilingnya tidak menjadikannya turut ikut sama tenggelam dalam kebodohan dan tipu daya nafsu dalam memahami makna hidup bertuhan.
Islam Turun-Temurun
Bagaimana pula kita hari ini? Setelah sekian lama memegang gelaran Islam dek keturunan darah kaum kerabat, kita merasakan kitalah yang paling faham Islam itu apa. Apabila dikatakan melayu, kitalah yang paling kedepan membangga-bangga Islam, membawa slogan seakan-akan Islam itu Melayu dan Melayu Itu Islam.
Hari ini manusia dari segenap pelusuk dunia mulai berhijrah daripada kegelapan kepada sinaran Islam. Dahulunya mereka datang dari pelbagai latar belakang agama, peribadi dan kehidupan, namun akhirnya mereka kembali kepada cahaya. Keislaman mereka bukan mudah. Bukan hidayah itu tiba-tiba sampai ketika mereka sedang bermaksiat. Bukan dengan mistik dan magik para ahli silap mata yang mengkhayalkan.
Mereka mengkaji dan mencari kebenaran melalui bacaan, pertanyaan dan penyelidikan sendiri. Bahkan ada juga yang membaca terjemahan Al-Quran sepenuhnya dan mendalami makna dan mesejnya, hanya semata-mata untuk mencari kebenaran Islam. Sesuatu yang tidak semua orang Islam dari keturunan mampu buat bukan? Tanyalah diri anda sendiri dengan jujur.
Mereka mengkaji dan mencari kebenaran melalui bacaan, pertanyaan dan penyelidikan sendiri. Bahkan ada juga yang membaca terjemahan Al-Quran sepenuhnya dan mendalami makna dan mesejnya, hanya semata-mata untuk mencari kebenaran Islam. Sesuatu yang tidak semua orang Islam dari keturunan mampu buat bukan? Tanyalah diri anda sendiri dengan jujur.
Ketika mereka mengembara dalam kembara ilmu, berjalan mencari Tuhan, kita malah selesa dengan warisan keturunan. Kita malah jadi malas berfikir dan mengkaji kebenaran dan makna Islam, dengan menganggap bahawa Islam warisan itu sudah cukup. Merasakan diri lebih baik keislamannya daripada orang muallaf yang "baru" memeluk Islam, sentimen ini sudah sebati dalam diri sebahagian pewaris Islam turun-temurun. Lihat sahaja jika dia ditegur atau dinasihati oleh saudara agamanya tentang Islam, pasti sahaja membara api berang hingga terkeluar segala macam ungkapan yang tidak enak.
"Engkau nak nasihatkan aku? Aku dah lama Islam dari kau. Kau baru kenal Islam. Jangan nak berlagak alim. Jangan nak memandai-mandai nak nasihatkan orang!"
Mentaliti sebegini hanya menyerlahkan lagi kejahilan dalam beragama. Baik dan dalamnya kefahaman agama dinilai semata-mata kerana telah lama memegang gelaran Islam dalam kad pengenalan. Kebodohan apakah ini? Inilah realiti sebahagian ummat. Selesa dengan gelaran Islam tapi jahil tentang Islam. Jauh dari ajaran Islam tapi cukup marah jika dikatakan tidak berapa "Islam". Ajaib bukan?
Islam bukan milik mana-mana bangsa. Islam untuk semua manusia baik dari bangsa dan keturunan apapun dia. Islam bukan milik orang Arab dan orang Melayu. Sekalipun ia turun di tanah Arab, bukanlah bermakna Islam itu untuk bangsa mereka sahaja. Bangsa ialah salasilah keturunan manusia, bangsa bukan agama. Kita berlainan bangsa namun bersatu dalam satu agama yang sama. Islam bukanlah kepunyaan bangsa tertentu, sekalipun takrifannya dalam perlembagaan persekutuan mengaitkannya dengan Melayu. Itu sekadar takrifan undang-undang buatan insan, bukan wahyu.
Apabila seseorang itu menjadi Muslim, bangsa apa pun dia bukanlah suatu masalah dan alasan untuk merendah-rendahkannya. Dalam Islam, Manusia tidak mulia dengan latar belakang bangsanya. Orang berkulit putih lebih baik dari orang berkulit hitam, itu bukan ajaran Islam. Orang melayu lebih baik Islamnya dari orang Cina dan India Islam, sudah tentu ia juga bukan ajaran Islam. Naungan di bawah Islam membuatkan manusia sama rata. Orang kaya atau miskin, bangsawan atau hamba, hitam atau putih semuanya tidak membuatkan Tuhan pilih kasih. Hanya amal kebaikan dan taqwa yang membezakan insan dimataNya.
Beragama Dengan Berfikir
Belajar dan berfikir tidak mengira sempadan waktu dan usia. Muda atau tua, baru memeluk Islam atau Islam sejak lahir, sudah alim atau baru mahu berubah, semuanya perlu belajar. Islam menuntut kita untuk menggunakan akal fikiran untuk sentiasa berfikir. Itulah fungsi ia dikurniakan kepada kita. Bukan hanya membeku tanpa digunakan. Berfikir bukan hanya untuk hal ehwal duniawi malah dalam urusan agama juga, akal fikiran amat penting untuk digunakan. Bukanlah Islam ini hanya logik semata. Namun, Islam ini terbina atas gabungan ilmu dari wahyu dan rasional. Tidak bertuhankan logik akal dan tidak pula merendahkannya.
Jika para muallaf mendapat hidayah dan memeluk Islam setelah merentasi pencarian ilmu dan hakikat Tuhan, kita yang telah Islam juga begitu. Tidak cukup dengan ikut-ikutan amalan orang-orang tua terdahulu sebagai tanda kita berilmu. Mentaliti harus diubah dengan kembali membuka dan mengkaji ajaran Islam yang terkandung dalam warisan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Orang kita sebahagiannya hanya tunduk mengikut apa sahaja amalan orang tua-tua terdahulu. Daripada dirinya kecil hinggalah menjadi tua, ia diwarisi pula kepada generasi seterusnya. Hanya kerana amalan itu diislamisasikan iaitu dihiasi dengan nilai dan ciri-ciri islam, maka kita pun mudah sahaja menerima, mengamal bahkan mewariskanya bulat-bulat. Tidak pernah kah berfikir adakah ianya benar datangnya daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah?
Tersasar dari Islam yang tulen lantaran kesalahan kita sendiri, ummat Islam sekian lama yang tidak pernah mengkaji dan berfikir daripada khazanah Al-Quran dan As-Sunnah. Peninggalan nenek moyang kita sesuatu yang berharga jika tidak menyelisihi syariat. Tapi bagaimana mungkin untuk kita mengetahui ia mengikut syariat jika kita tidak langsung berfikir dan mengkaji kebenarannya?
Al-Quran ada menceritakan perihal orang-orang yang tidak mahu mengikut ajaran Islam lantaran amalan itu telah sekian lama diwarisi dari nenek moyang mereka. Sekalipun konteks ayat ini berkaitan orang bukan Islam, namun konsepnya ada persamaan yang boleh difikirkan. Bukankah Al-Quran menyuruh kita berfikir?
Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutilah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? [Al-Baqarah 2:170]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk? [Al-Maidah 5:104]
Berfikir dalam beragama akan menambahkan lagi erti sebenar kita sebagai Muslim. Berusahalah semampu mungkin untuk menkaji, mendalami dan mencari hakikat Islam dengan belajar daripada petunjuk yang ditinggalkan untuk kita seperti sabda Nabi yang mulia:
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekali2 kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabinya. [Al-Muwattho’ Malik]
Hari ini jika ditanya kepada ummat Islam yang Islamnya dari lahir apakah sudah membaca terjemahan Al-Quran (sekurang-kurangnya sekali) dalam bahasa mereka, tentu sedikit yang melakukannya. Itu belum lagi dengan Sunnah-sunnah nabi yang telah dimuatkan dalam buku-buku hadith yang dikumpulkan para ulama' terdahulu dengan penat lelah. Tentu sahaja, masih ramai yang belum pernah membukanya.
Persoalan yang harus difikirkan ialah, bagaimana mungkin kita mendakwa kita berpegang dengan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi? Sedangkan keduanya tidak pernah kita buka, baca, fahami dan tadabbur (kaji)?
Ini tidak menghairankan kerana jika disoalkan kepada kebanyakannya tentang perihal agama (seringkali saya menyoalnya, ini pengalaman sendiri). Kenapa solat wajib membaca Al-Fatihah dan bukan surah lain diawalnya? Atau kenapa perlu membasuh anggota wuduk muka dahulu dan bukan kaki? Atau kenapa berpuasa disiang hari dan bukan malam?
Jawapan kebiasaannya:
Bukan dengan jawapan yang sepatutnya, iaitu kerana Allah dan Rasul yang memerintahkan seperti itu di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kenapa tak dapat menjawab sepontan soalan yang dirasakan mudah ini? Kerana kita tidak pernah mengkaji asal-usul amalan dan cara kita beragama. Hanya ikut-ikutan apa yang orang ramai dan nenek moyang lakukan tanpa berfikir kebenaran tentangnya.
Pendek kata, kerana kita tidak pernah membuka dan mengkaji kalam Allah dan RasulNya.
Persoalan yang harus difikirkan ialah, bagaimana mungkin kita mendakwa kita berpegang dengan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi? Sedangkan keduanya tidak pernah kita buka, baca, fahami dan tadabbur (kaji)?
Ini tidak menghairankan kerana jika disoalkan kepada kebanyakannya tentang perihal agama (seringkali saya menyoalnya, ini pengalaman sendiri). Kenapa solat wajib membaca Al-Fatihah dan bukan surah lain diawalnya? Atau kenapa perlu membasuh anggota wuduk muka dahulu dan bukan kaki? Atau kenapa berpuasa disiang hari dan bukan malam?
Jawapan kebiasaannya:
Sebab semua orang buat macam tu.. atau
Sebab mak ayah saya cakap macam itu... atau
Sebab ustaz/ustazah cakap macam itu... dan yang semisal dengannya.
Bukan dengan jawapan yang sepatutnya, iaitu kerana Allah dan Rasul yang memerintahkan seperti itu di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kenapa tak dapat menjawab sepontan soalan yang dirasakan mudah ini? Kerana kita tidak pernah mengkaji asal-usul amalan dan cara kita beragama. Hanya ikut-ikutan apa yang orang ramai dan nenek moyang lakukan tanpa berfikir kebenaran tentangnya.
Pendek kata, kerana kita tidak pernah membuka dan mengkaji kalam Allah dan RasulNya.
Fikir-fikirkanlah sejenak.
Sekian.
Sekian.