Ramai yang keliru atau tertanya-tanya
adakah boleh atau sah solat jika berimamkan imam yang tidak membaca basmallah
(Bismillahirrahmanirrahim) dengan kuat? Situasi ini mungkin tidak biasa dialami
oleh sebahagian orang sehingga merasakan perbuatan itu pelik atau mungkin ada
yang anggap ianya tidak betul lalu merasakan solatnya tidak sah kerana biasanya
di tempat kita Imam membaca basmallah dengan kuat ketika solat Subuh,
Maghrib dan Isyak.
Inilah yang biasanya di hadapi terutama
ketika bermakmumkan imam foreigner (warga asing kebiasaannya luar asia tenggara)
ketika di kampus atau ketika berada di Mekah dan Madinah.
Masalah Khilaf
Membaca Basmallah secara sir (perlahan)
atau jahr (kuat) ketika solat yang ada bacaan jahr yakni Subuh, Maghrib dan
Isyak termasuk perkara yang menjadi perbezaan pendapat yang muktabar dalam
kalangan ulama’ silam. Mereka berbeza pendapat sama ada adakah basmallah sebahagian
ayat daripada Al-Fatihah atau tidak.
Majoriti ulama’ berpendapat bahawa Basmallah
sebelum Al-Fatihah dibaca secara sirr (perlahan) baik dalam solat Jahr (Maghrib,
Isyak, Subuh) atau solat Sirr (Zohor dan Asar). Ini ialah pendapat Imam Abu
Hanifah, Al-Thauri dan Ahmad.
Imam Malik pula berpendapat bahawa
Basmallah tidak perlu dibaca sebelum Al-Fatihah baik dalam solat Sirr ataupun
solat Jahr. Begitu juga ketika ingin membaca surah-surah dalam Al-Quran, tidak
perlu membaca Basmallah. Tetapi boleh dibaca jika solat sunat.
Bagi Imam As-Syafie pula, Basmallah sebelum Al-Fatihah perlu dibaca baik
dalam solat secara Jarh atau sirr. Jika solat secara Jahr, maka Imam membaca
basmallah secara Jahr. Jika solat secara Sirr, maka imam membaca basmallah
secara sirr.
[Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid
1/132]
Sebab Ikhtilaf
Bagi Mazhab Hanafi dan Maliki, Basmallah
bukanlah sebahagian daripada ayat dalam surah Al-Fatihah atau sebahagian ayat
dalam surah lain. Cuma Mazhab Hanafi menyebutkan pengecualiaan bagi Basmallah
termasuk ayat dalam Surah Al-Naml, sebagaimana yang ada pada ayat yang ke 30.
Basmallah bukan sebahagian daripada ayat
Al-Fatihah disisi mereka berdasarkan dalil hadith daripada Anas bin Malik
radhiallahu ‘anhu:
صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى
الله عليه وسلم- وَأَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَلَمْ أَسْمَعْ أَحَدًا مِنْهُمْ
يَقْرَأُ (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ )
“Aku solat
bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar, Umar dan Uthman
radhiallahu ‘anhum dan aku tidak mendengar seorang pun daripada mereka membaca
Bismillahirrahmannirrahim.” [Riwayat Muslim]
Bagi Mazhab Hanbali pula, mereka berbeza
dengan Hanafi dan Maliki dari sudut
Basmallah sebahagian daripada Al-Fatihah. Disisi Hanbali, Basmallah termasuk
sebahagian daripada ayat dalam Al-Fatihah. Dalam bab ini, mereka sependapat
dengan Mazhab Syafie dan dalam bab membaca sirr atau jahr, mereka sependapat
dengan Mazhab Hanafi.
Mazhab Syafie pula berpendapat Basmallah
adalah sebahagian daripada surah Al-Fatihah dan wajib membacanya berdasarkan hadith Abu
Hurairah radhiallahu ‘anhu:
إذا قرأتم الحمد لله فاقرؤوا بسم الله الرحمن
الرحيم إنها أم القرآن وأم الكتاب والسبع المثاني وبسم الله الرحمن الرحيم إحداها
“Jika kalian
membaca Alhamdulillah (yakni Al-Fatihah), maka bacalah
bismillahirrahmanirrahim. Ianya merupakan Ibu Al-Quran dan Ummul Kitab, dan Sab’ul
Mathani dan Bismillahirrahmanirrahim itu salah satu daripada ayatnya.” [Riwayat
Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra]
Basmallah dibaca sama ada kuat atau
perlahan disisi Mazhab Syafie kerana mengikut bacaan Al-Fatihah dalam solat.
Jika dalam solat jahr yang mana Al-Fatihah dibaca jahr, maka basmallah juga
jahr. Begitu juga sebaliknya. Hal ini disebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’
[3/341]
Antara hujjah mazhab Syafie bahawa
basmallah dibaca secara kuat ialah hadith daripada Ali dan Ibn Abbas radhiallahu
‘anhuma:
أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ يَجْهَرُ بِبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
“Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam membaca bismillahirrahmanirrahim secara kuat.” [Riwayat
Al-Thabrani, Al-Daraquthni, Abdul Razzaq- ini adalah lafaz Al-Thabrani]
Dan banyak lagi riwayat lain yang menjadi
hujjah dalam mazhab Syafie.
Adapun hujjah jumhur yang mengatakan
Basmallah dibaca secara sir (perlahan) adalah berdasarkan beberapa hadith,
salah satunya ialah hadith daripada Aisyah radhiallahu ‘anha:
كَانَ رَسُولُ
اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَسْتَفْتِحُ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيرِ وَالْقِرَاءَةَ
بِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam memulakan solat dengan takbir dan membaca
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin (tanpa basmallah)” [Riwayat Muslim]
Kesimpulan
Isu ini merupakan salah satu isu khilaf
muktabar yang berlaku dalam kalangan ulama’ silam. Masing-masing mempunyai
sandaran dalil dan ijtihad tersendiri. Jika kita sudah biasa beramal dengan
method mazhab Syafie, maka tidak boleh bagi kita untuk menyalahkan atau
menganggap sesat orang yang berbeza dengan kita.
Jika kita solat dibelakang imam yang
berbeza mazhabnya dengan kita, solat kita masih lagi sah dan bacalah basmallah
sebagaimana biasa. Tidak perlu kita mengulangi solat semata-mata kerana imam
tersebut tidak sama dengan apa yang kita amalkan.
Semoga penulisan ringkas ini memberikan
pencerahan dan ilmu yang berguna untuk kita semua amalkan dalam kehidupan.
Wallahua’lan.
__________________
Ad-Dien Abdul Kadir
Jumaat_27/05/2016