Cari Entri WADi

Ahad, 5 Februari 2012

Hadith Maudhu' 01: Menuntut Ilmu Hingga Ke China



السلام عليكم




Hadith Maudhu' (موضوع) bermakna hadith yang palsu, dibuat-buat atau direka-reka dengan sengaja atau bersebab. Hadith maudhu' direka dan kemudiannya dinisbahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana hadith sahih dan hasan yang benar. Ia tergolong dalam kelompok hadith-hadith yang dhoif dan menurut Ibn Solah, hadith maudhu' adalah dalam kategori hadith dhoif yang paling teruk sekali. ('Ulum al-Hadith).

Definisi dan penerangan lanjut akan diterangkan dalam siri yang akan datang insyaAllah. Entri ini adalah khusus untuk menyenaraikan beberapa hadith yang dinilai maudhu' (palsu) oleh para muhaddith mutaqaddimin dan mutaakhirin. 


Hadith Menuntut Ilmu Hingga ke China



اطْلُبُو الْعِلْمَ وَلَوْ بِالصَّينِ

Tuntulah ilmu walau ke negara China


Takhrij:

Hadith ini dinilai maudhu' oleh ramai muhaddith dalam kitab-kitab karangan mereka. Antaranya ialah:

1. Syeikh Al-'Ajluni dalam kitabnya Kashf al-Khafa'
2. Syeikh Ali al-Qari dalam kitabnya al-Maudhu'at al-Kabir.
3. Syeikh Al-Albani dalam kitabnya Silsilah Ahadith al-Dhaifah wa al-Maudhuah.
4. Syeikh Al-Arraq al-Kanani dalam kitabnya Tanzih al-Syariah.
5. Syeikh Al-Jarrahi dalam kitabnya  Kashf al-Khafa'
6. Syeikh Bin Baz dalam kitabnya al-Tuhfat al-Karimah fi Bayan Ba'dhi Ahadith Maudhu'ah wa Saqimah

Hadith ini dinilai maudhu' kerana 'illah (sebab-sebab yang mencacatkan) pada sanadnya. Di dalam sanad tersebut terdapat seorang rawi bernama Abu Atikah Tharif ibn Sulaiman. Mengikut penilaian para muhaddith, beliau tergolong dalam rawi yang tidak thiqah, lemah dan salah seorang pemalsu hadith atau pereka hadith palsu. 


Huraian WADi:

Hadith ini antara yang sering bermain di mulut-mulut kebanyakan orang ramai tidak kira orang awam bahkan para agamawan yang turut terlepas pandang akan hal ini. Para blogger, dan facebooker juga dengan begitu mudah menyebarkan hadith maudhu' ini tanpa mengetahui akan kebenaran status kesahihannya. Tujuan mereka mungkin baik iaitu ingin menggalakkan agar rajib belajar dan menuntut ilmu walaupun hingga jauh dari tanah air. Ada juga di antara mereka yang berhujah bahawa Rasulullah menggalakkan umatnya menuntut ilmu hingga ke negara China. Ini adalah satu hujjah yang tidak tepat dan benar. 

Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (Syeikh Bin Baz):

"Seandainya ini adalah hadith sahih, maka ia tetap tidak akan menunjukkan kelebihan dan keutamaan negara China dan juga rakyatnya. Maksudnya ialah hadith ini sekiranya ia sahih, ia menunjukkan keutamaan mencari ilmu itu walaupun ianya terpaksa menempuh jarak dan perjalanan yang jauh dan panjang. Justeru itu maksud hadith ini bukanlah menggalakkan untuk ke negara China itu sendiri kerana ia amat jauh dari tanah Arab" (al-Tuhfat al-Karimah fi Bayan Ba'dhi Ahadith Maudhu'ah wa Saqimah)


Beberapa Hadith yang sahih berkenaan menuntut ilmu yang boleh digunapakai oleh kita adalah seperti berikut:


طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلَّ مُسْلِمٍ

Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap Muslim (Riwayat Ibn Majah, Sahih)


وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًايَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ الله لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga (Riwayat Muslim, Sahih)


Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith sahih dan hasan berhubung dengan kepentingan dan kelebihan menuntut ilmu ini. Semuanya bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Jadi mengapa perlu menyebarkan hadith palsu seperti ini?. Semoga kita lebih berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu hadith. 



والله أعلمُ بالـصـواب
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik