السلام عليكم
Sebagaimana tajuk yang dinyatakan di atas, hadith ini amat mahsyur dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini dan nusantara. Sejak dari kecil lagi, pasti kita akan mendengar bait-bait ucapan ini keluar dari mulut ibu bapa, guru-guru dan orang lain. Kebiasaannya ia berkisar seputar galakan untuk terus belajar sejak kecil hinggalah bertemu ajalnya. Hadith maudhu' yang kedua ini mesejnya hampir sama dengan hadith maudhu' pertama yang telah dinyatakan sebelumnya iaitu Hadith Maudhu' 01: Menuntut Ilmu Hingga Ke China
Apakah benar ini adalah hadith yang thabit dari Rasulullah? Berikut adalah sedikit penjelasannya.
اطْلُبُوا الْعِلْمَ مِنَ الْمَهْدِ إِلَى اللَّحْدَ
(Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad)
Dalam lafaz lain
طَلَبُ الْعِلْمَ مِنَ الْمَهْدِ إِلَى اللَّحْدَ
(Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad)
Takhrij
1. Hadith ini palsu lagi tiada sandaranya kepada Rasulullah s.a.w . Berkata Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz:
2. Berkata Muhaddith mutaakhirin, Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah:
"Ia bukanlah hadith sahih dan tidak datang daripada Rasulullah s.a.w " (Qiimatu al-Zaman 'Inda al-Ulama')
3. Berkata Yusuf al-Qaradhawi:
"Ia bukanlah hadith yang datang daripada Rasulullah s.a.w walaupun makna hadith ini adalah benar dan baik" (Taisir al-Fiqh Li al-Muslim al-Mua'shir)
Komentar WADi
Kata-kata ini bukanlah hadith yang datang daripada Rasulullah s.a.w dan ia adalah maudhu' jika menisbahkan ia thabit (pasti) daripada Rasulullah s.a.w. Sekalipun mesej yang terkandung di dalamnya adalah benar dan baik menurut Islam, namun adalah salah jika menyatakan ia adalah sebuah hadith yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Barangkali amaran berdusta atas nama Rasulullah s.a.w ini tidak diketahui ramai.
Daripada Abdullah bin Amr r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمَّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Barang siapa yang berdusta atas namaku, maka bersiap sedialah dia untuk dimasukkan ke dalam neraka.( Riwayat al-Bukhari no.3274)
Hadith menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad tidak ditemui dan dimasukkan di dalam kitab-kitab kibarul hadith (kitab-kitab besar/utama) seperti Khuttub Sittah (Kitab Yang Enam) iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami' al-Tirmizi, Sunan Abu Daud, dan Sunan al-Nasaaei. Tidak ada satu pun lafaz yang ditemui di dalam kitab-kitab tersebut, malah turut tidak ditemui dalam kitab hadith lain yang tersohor seperti Musnad Ahmad, Sahih Ibn Khuzaimah, Sahih Ibn Hibban, Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Baihaqi dan lain-lain lagi.
Lafaz ini banyak didengar di dalam kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang tidak meneliti sumber hadith berkenaan. Sikap sebegini adalah tidak wajar sama sekali memandangkan ianya akan disebarkan kepada masyarakat awam yang sudah pasti akan menerima bulat-bulat apa yang disampaikan melainkan mereka yang bersedia mengkaji kesahihannya. Kalimah ini banyak ditemui di dalam buku-buku berkaitan akhlak, dan adab. Antara yang mahsyur diperkatakan adalah daripada Ihya' Ulumuddin karangan al-Ghazali.
Kitab Ihya' Ulumuddin adalah kitab yang banyak dipakai oleh masyarakat Islam khususnya di Nusantara. Sebuah kitab yang penuh dengan ilmu dan hikmah, ia sudah pasti memberi manfaat dan ilmu yang berguna buat pembacanya. Adapun begitu, terdapat kekurangan yang perlu diteliti dan dinilai oleh pembaca Ihya' Ulumuddin iaitu terdapat banyak hadith-hadith yang dhaif dan maudhu' (palsu) di dalamnya. Ulama' telah bersepakat dan bersetuju bahawa banyak hadith dhaif dan maudhu' di dalam Ihya' Ulumuddin namun mereka tidak menyalahkan al-Ghazali kerana beliau juga adalah manusia biasa yang melakukan kesilapan dan beliau bukanlah tergolong dalam kalangan Imam Hadith dan muhaddith sebagaimana muhaddith terdahulu.
Sebaliknya, al-Iraqi telah berusah menyemak dan menilai semula hadith-hadith yang terdapat di dalam Ihya' Ulumuddin demi memberi penjelasan dan manfaat kepada pengamalnya memandangkan kitab ini mahsyur dan diamalkan dengan meluas. Segala usaha al-Iraqi itu telah dimuatkan dalam karyanya bertajuk al-Mughni 'an Hamli al-Asfar. Jika anda ingin membeli kitab Ihya' Ulumuddin, adaah disarankan agar membeli versi yang bercetak bersama dengan kajian al-Iraqi di bahagian nota kaki/ footnote sebagai panduan dalam hadith.
والله أعلمُ بالـصـواب