السلام عليكم
Serban adalah satu pakaian berupa kain panjang penutup kepala berbentuk bulat menutup separuh atas kepala . Serban ialah istilah yang digunakan di Malaysia yang bermaksud penutup kepala dan dianggap suci, tidak boleh dipijak sewenang-wenangnya. Ini adalah sebagai menghormati kepala sama seperti pantang duduk di atas bantal kerana hormat kepala. Akhir-akhir ini kerap kali tersiar dalam penulisan malah dalam ceramah-ceramah dan pengajian tidak kira di masjid atau di kaca televisyen yang mana penceramah memetik hadith ini untuk menyandarkan bahawa solat dengan memakai serban itu lebih utama dari tidak memakainya. Bahkan penceramah yang dikhabarkan kepada penulis adalah penceramah yang sedang meningkat naik namanya dan menjadi buah mulut ramai orang. Semoga Allah merahmati dan meredhainya serta kita semua.
Berikut adalah takhrij bagi hadith kelebihan memakai serban:
ان الصلاة بعمامة تعدل خمسا وعشرين صلاة بغير عمامة
"Sesungguhnya solat dengan berserban menyamai dengan dua puluh lima solat tanpa memakai serban"
Di dalam lafaz yang lain
الصلاة في العمامة بعشرة الاف حسنة
"Solat dengan berserban mendapat sepuluh ribu kebaikan"
Takhrij
1. Berkata Ibn Arraq al-Kannani:
"Sanad hadith ini dhaif (lemah). Di dalam sanadnya terdapat rawi bernama Abban bin Abi 'Iyash dan beliau merupakan seorang yang terkenal sebagai kazzab (pendusta) dalam kalangan muhaddith" (Tanzih al-Syariah)
2. Berkata Ibn Hajar al-Asqalaini :
"Hadith ini adalah mungkar bahkan ianya maudhu' (palsu) dan di dalam sanadnya terdapat rawi yang majhul (tidak dikenali)" (Lisan al-Mizan)
Ibn Hajar turut menukilkan hadith maudhu' berkenaan pemakain serban ketika solat dengan lafaz yang lain:
الصلاة في العمامة بعشرة الاف حسنة
"Solat dengan berserban mendapat sepuluh ribu kebaikan"
3. Berkata al-Sakhawi berkaitan hadith ini:
"Hadith ini mungkar dan maudhu' (palsu)" (al-Maqasid al-Hasanah)
Komentar WADi
Tidak ada hadith yang sahih yang menyatakan kelebihan dan galakan memakai serban ketika solat mahupun di luar solat. Serban juga bukanlah sesuatu yang dituntut oleh sunnah Rasulullah s.a.w namun memakainya bukanlah pula sesuatu yang tercela atau dilarang. Ia adalah diharuskan disisi syara'. Serban merupakan pakaian uruf (adat) bagi kaum arab. Rasulullah s.a.w dan para sahabah r.a dari kalangan kaum Arab dan itu sudah menjadi kebiasaan mereka untuk memakai serban atau penutup kepala. Tambahan suatu masa dahulu membuka kepala bagi masyarakat arab lelaki merupakan suatu keaiban bagi mereka.
Bagi masyarakat di negara ini, memakai serban dan jubah itu memberi makna yang berbeza kerana ia bukanlah uruf di negara ini. Hanya sahaja mereka yang memakainya dianggap golongan agamawan dan para alim ulama' serta ustaz. Namun begitu memakai serban dan jubah diharuskan dan mendapat pahala jika dasarnya sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah s.a.w dan bukan kerana menganggap ia sunnah yang thabit dari Rasulullah sebagaimana hadith yang telah dijelaskan di atas. Kesimpulannya, memakai serban dalam solat atau diluar solat itu diharuskan bukan kerana ia adalah sunnah dari hadith yang datang dari Rasulullah namun sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah dan sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
والله أعلمُ بالـصـواب