السلام عليكم
Bab 1. BID’AH DALAM AGAMA
Barangsiapa beranggapan bahawa agama Islam ini masih kurang sempurna dan memerlukan tambahan-tambahan demi kemaslahatan diri dan golongan jelas menunjukkan kejahilan mereka sendiri. Mereka yang menambah-nambah dalam urusan agama ini adalah ahli/ tukang-tukang bid’ah. Tukang-tukang dan ahli bid’ah ini kelak akan menanggung dosanya dan dosa para pengikutnya yang tertipu dan tersesat. Berikut adalah pendapat ulama muktabar mengenai bid'ah
Imam Malik Bin Anas berkata, “Barangsiapa menganggap baik perbuatan bid’ah, sama dengan menuduh Nabi Muhammad telah mengkhianati risalahnya”.
Imam Syafi’e berkata: "Andaikata aku mengetahui ahli bida’h itu dapat berjalan di angkasa, aku tetap tidak akan menerimanya."
Amar Bin Yahya pernah berkata, “Aku pernah mendengar ayah menceritakan dari datuk , “Kami pernah duduk di pintu rumah Abdullah Bin Mas’ud sebelum solat subuh. Tiba-tiba Abu Musa datang, lantas bertanya: Apakah tadi Abu Abdul Rahman datang?. Kami menjawab: Tidak. Lantas ia duduk bersama kami, sampai beliau datang. Dan tatkala ia datang, kami semua berdiri mendampinginya. Kemudian Abu Musa bertanya kepada Abu Abdul Rahman, “Hai Abu Abdul Rahman sesungguhnya saya tadi melihat di masjid ada satu perkara yang belum pernah saya lihat. Menurut anggapanku, perbuatan itu adalah baik”. Abu Abdul Rahman kemudian bertanya, “Apakah dia itu?” Jawab Abu Musa “Jika kau mahu, akan saya terangkan. Iaitu tadi aku melihat di masjid ada satu kumpulan duduk dalam bulatan sambil menantikan solat, dalam tiap-tiap bulatan ada seorang lelaki membawa batu kerikil, seraya ia berkata: Bacalah Takbir 100 kali, merekapun kemudian bertakbir 100 kali. Dan ia berkata: Bacalah Lailahaillallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga. Lalu ia berkata: Bacalah Subhanallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga”.
Mereka kemudian berkata, “Demi Allah kami tiada bemaksud melainkan yang benar”.
Abu Abdul Rahman kemudian menyanggahnya, “Banyak sekali orang yang bermaksud berbuat baik, tetapi mereka tidak mendapatnya (kebaikan dan ganjaran pahalanya)”.
Para ulama mendefinisikan bid’ah ialah satu cara ibadah yang direka orang yang menyerupai syarak (agama); yang dimaksud dengan ‘cara’ di sini ialah sebagaimana yang dilakukan oleh syarak dengan tujuan untuk mengabdi kepada Allah dengan berlebih-lebihan.
Orang yang membuat cara baru dalam bentuk apa pun yang disandarkan pada agama (ibadah), dapat dicop sebagai penipu agama. Mereka mengkhayalkan kebatilannya itu untuk dilihatkan kepada orang lain sebagai sesuatu yang benar (haq) . Mereka gemar membuat sesuatu perkara yang nampaknya seolah-olah agama tetapi pada hakikatnya menyimpang dari tuntutan agama.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa mengada-ada cara baru tentang urusan kami (ibadah) ini, padahal tidak bersumber darinya, dia itu tertolak”. ( Riwayat Muslim)
“Barangsiapa beramal satu amalan (ibadah) yang tidak ada contoh dari kami, ia tertolak” (Riwayat Muslim)
Bila bid’ah bermaharajalela ianya merupakan kesempatan bagi musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam. Dengan tersebar luasnya perbuatan dan amalan bid’ah di kalangan pemeluk-pemeluk Islam yang jahil, orang ramai akan menyangka amalan bid’ah itu adalah dari agama Allah yang murni. Akibatnya yang murni menjadi kabur dan rosak. Ada yang berpendapat bahawa untuk melumpuhkan kemajuan Islam, harus dibesar-besarkan bid’ah dan khurafat, kerana kedua hal ini merupakan penghalang bagi cepatnya perkembangan Islam.
Mengapa bid’ah dapat melumpuhkan potensi Islam dan dapat menghancurkan pemerintahan? Sebabnya bid’ah merupakan tipuan yang tak ubahnya dengan tipuan dalam perdagangan. Barang yang baik dicampur dengan barang yang buruk yang kemudiannya dibawa ke pasar untuk ditawarkan kepada orang ramai seraya dikatakan bahawa barang tersebut adalah baik, tidak cacat dan tidak ada aib sedikit pun.
Sedangkan dalam hal ibadah, kita wajib berittiba’ (mengikut sepenuhnya tanpa pindaan) kerana itu adalah asas dalam agama. Jadi mereka model-model dan cara-cara baru dalam ibadah adalah bid’ah yang sesat dan terkutuk.
Apabila sesuatu perkara bid’ah itu dihubungkan dengan agama, misalnya minta upah kerana membaca Al Quran ketika menghantarkan mayat dengan maksud bertaqarrub kepada Allah, perkara seperti itu merupakan perbuatan dosa dan maksiat yang berlipat ganda. Manakala dalam urusan muamalah, dasarnya pula ialah mengikuti perkembangan kemaslahatan umat.
Firman Allah swt yang bermaksud:
وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“… dan berbuat baiklah kamu sekelian agar kamu memperolehi kejayaan.” (Al-Haj : 77)
Dan firman-Nya yang maksudnya:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ“... dan bertolong-tolonglah kamu sekalian untuk kebaikan dan ketakwaan”. (Al-Maidah : 2)
Berbuat baik dan tolong menolong untuk kebaikan dan bertakwa adalah soal-soal yang pelaksanaannya diserahkan penuh kepada kita, sehingga kita bebas membuat cara-cara baru. Cara-cara baru tersebut tidak boleh disalahkan dan ditolak.
Allah swt berfirman yang maksudnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا“ Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh ingat yang banyak dan bertasbihlah kepada Allah di waktu pagi dan petang”. (Al Ahzab ayat 41-42)
Perintah memperbanyak zikir dan bertasbih seperti tersebut di atas, bukanlah bererti memberi kebebasan kepada setiap orang untuk menambah rakaat sembahyang, azan dan sembahyang hari raya atau menyusun wirid yang kemudian ditetapkan untuk selalu dibaca dalam waktu-waktu tertentu. Ibadah-ibadah ini pokok persoalannya adalah masalah akhirat. Sedangkan masalah akhirat itu ghaib bagi manusia.
Kerana itu, biar bagaimanapun tingginya kedudukan seseorang, mereka tidak mempunyai hak dan kebebasan untuk menambah cara-cara baru. Sedangkan dalam masalah keduniaan, tidak ada satu pun halangan untuk melaksanakan satu perintah dengan berbagai macam cara, baik cara-cara itu sudah pernah dipakai oleh orang-orang dahulu mahu pun belum. Misalnya tentang menjaga hak dan harta orang lain serta mengatur kemaslahatan umat, kesemuanya itu merupakan maksud yang menjadi matlamat syariat Islam.
Bid’ah yang diharamkan oleh syarak berkisar pada masalah ubudiyah yang sama sekali tidak dapat diagak-agak atau diijtihadkan. Orang yang mengerjakan satu perbuatan (ibadah) yang tidak pernah dicontohkan oleh Nabi s.a.w. , sama seperti meninggalkan perintahnya. Apabila sudah pasti bahawa Rasulullah saw tidak pernah mengerjakannya, kita wajib meninggalkannya sekalipun larangannya tidak ada. Dan kalau kita kerjakan, itu termasuk bidaah.
Sebagai contoh , amalan ta’ziyah (bela sungkawa) terhadap orang yang meninggal dunia dengan membaca Al Quran dan berkumpul dengan makan-makan bersama. Mencari rahmat dan pahala memang sudah ada sejak dahulu, tetapi cara tersebut tidak pernah terjadi pada masa Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Padahal, waktu itu sudah ramai orang yang mati dan sahabat-sahabat r.a. pun adalah di kalangan mereka yang sentiasa mencari rahmat. Waktu itu tidak ada seorang pun yang mendirikan khemah kemudian diadakan pembacaan Al Quran dan berkabung berganti-ganti.
Tradisi ini jelas hukumnya bid’ah dan agama tidak membenarkannya kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakannya, walaupun larangannya pun tidak ada. Jika tradisi itu kita biarkan, kita setujui dengan alasan mencari keredaan Allah dan untuk menghantarkan orang yang pergi (mayat) supaya mendapat kasih dan rahmat Allah swt, kita sebenarnya berburuk sangka (su’u zhon) terhadap peribadi Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya.
Nauzubillahimin zalik!
Kami merasa sangat khuatir terhadap amalan ibadah yang banyak dikerjakan orang yang nabi sendiri dan para sahabat tidak pernah mengamalkannya. Padahal merekalah sebenarnya yang lebih patut untuk mengamalkannya kalau sekiranya hal tersebut dipandang baik sebagai jalan untuk bertaqarrub kepada Allah swt.
Mengapa kita harus memberatkan diri terhadap sesuatu yang Allah sendiri sudah memberikan keringanan (rukhsah)? Mengapa pula kita harus menyibukkan diri pada sesuatu yang Allah sendiri mendiamkannya? Bahkan Nabi s.a.w. sendiri pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan beberapa ketetapan maka jangan kamu sia-siakan dia. Allah telah menentukan beberapa ketentuan, maka jangan langgar dia. Allah telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untuk kamu bukan lantaran lupa, maka jangan kamu perbincangkan dia”. (Riwayat Daruquthni, Ibn Solah menilai hasan)
Penulis Asal : Penulis: Dr Yusuf Qardhawy dan Muhammad Al-Ghazali (Buku: Bid'ah dan Syirik)
Editor : WADi
والله أعلمُ بالـصـواب