Dalam penulisan yang lepas telah diterangkan perihal asas Al-Firqatun Najiyyah, Jalan Hidup Golongan Selamat. Ia juga turut menyentuh dan menjawab beberapa persoalan asas seperti Siapakah Al-Firqotun Najiyah (Golongan yang selamat)?, Manhaj golongan yang selamat : Manhaj al-Firqotun Najiyyah (Siri 1) dan Manhaj Golongan Yang Selamat : Manhaj al-Firqotun Najiyyah (Siri 2). Kali ini penulis memetik perbahasa yang ketiga dari kitab ini iaitu berkaitan tanda-tanda al-Firqotun Najiyyah atau tanda-tanda golongan yang selamat.
1. Golongan yang selamat, jumlah mereka tidaklah ramai dan boleh dikatakan amat sedikit ditengah-tengah ramainya manusia di akhir zaman. Hal ini sebagaimana yang pernah Rasulullah s.a.w bersabda :
"Berbahagialah orang-rang yang asing. Iaitu mereka yang soleh yang berada di antara sekalian orang-orang yang buruk, dimana orang-orang yang tidak sejalan dengan mereka lebih ramai dari orang-orang yang sejalan" (Riwayat Ahmad: Sahih)
Allah s.w.t turut menggambarkan malah memuji mereka di dalam al-Quran dalam firmanNya:
وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
"Dan sedikit sekali diantara hamba-hambaKu yang bersyukur" (al-Saba':13)
2. Golongan yang selamat banyak dimusuhi oleh manusia, difitnah, dan diberi gelaran-gelaran yang buruk. Nasib yang ditempuhi oleh mereka adalah sama seperti yang ditempuh oleh Nabi dan mereka yang beriman terdahulu sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu." (al-An'am:112)
Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w ketia mendakwah dan menyeru kepada tauhid kepada Allah, kaumnya malah memberi jolokan atau gelaran pembohong dan tukang sihir kepada Baginda. Padahal sebelum menjadi Rasul, mereka sendiri mengakui dan menggelarnya dengan gelaran "As-Sodiq al-Amin" iaitu yang benar lagi boleh dipercayai
3. Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya tentang siapakah golongan yang selamat, beliau menjawab : "Mereka adalah para salaful soleh dan setiap mereka yang mengikut dan menempuh jalan mereka."
Itulah beberapa perkara yang menjadi manhaj dan tanda-tanda mereka yang tergolong dalam golongan yang selamat. Penulisan yang berikut dalam bab ini akan menyentuh isu Aqidah al-Firqotun Najiyyah, insyaAllah.
wallahua'lam bissowab
و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته